Jangan buang harga! 5 cara jadi pilihan pelanggan

harga

Sejak zaman dulu lagi, ada je perniagaan yang suka buang harga untuk jadi pilihan pelanggan. Zaman sekarang, penangan TikTok Shop membuatkan budaya buang harga dalam kalangan usahawan bertambah dahsyat.

Ramai usahawan berlumba-lumba nak buang harga sampai kadang-kadang jadi tak masuk akal harganya. Adakah ini budaya yang sihat dalam kalangan usahawan?

Mungkin pelanggan gembira dan membeli dengan anda, tetapi adakah strategi ini menguntungkan perniagaan? 

Jangan buat keputusan terburu-buru, takut merugikan perniagaan anda sendiri. Selain daripada menurunkan harga, ada banyak lagi cara lain yang usahawan boleh lakukan untuk merangsang pelanggan untuk membeli dengan anda. 

5 cara jadi pilihan pelanggan selain buang harga

1. Tingkatkan kualiti produk atau perkhidmatan

Pelanggan cenderung memilih produk yang menawarkan kualiti yang baik dan selalu akan memastikan bahawa produk yang mereka beli berfungsi dengan baik dan tahan lama.

Daripada bersusah payah buang harga, lebih baik fokus untuk tingkatkan kualiti produk atau perkhidmatan anda untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan. 

Pelanggan jarang berkira untuk bayar lebih jika mereka yakin akan mendapatkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik dari yang lain.

Kualiti yang baik juga akan menarik pelanggan untuk membuat pembelian berulang.

2. Pengiklanan dan pemasaran yang efektif

Pemasaran adalah nadi perniagaan. Jangan bertangguh lagi, buat orang kenal produk atau perkhidmatan anda sekarang. Jika jenama anda sendu, pelanggan akan hilang keyakinan untuk membeli. 

Gunakan strategi pengiklanan dan pemasaran yang sesuai, kreatif serta efektif untuk menarik perhatian pelanggan seperti pengiklanan digital, media sosial, atau kerjasama dengan influencer.

Hebahkan kelebihan produk atau perkhidmatan anda dengan jelas dan menarik untuk menarik minat pelanggan untuk membeli. 

Jika tak ada modal yang besar untuk pemasaran, zero cost marketing kan ada. Banyak platform percuma atau dengan bayaran rendah yang boleh anda gunakan sebagai medium pemasaran.

3. Beri layanan yang baik pada pelanggan

Komunikasi yang baik sangat penting untuk buat pelanggan membeli dan terus membeli dengan anda. Berikan respons yang cepat, selesaikan masalah dengan pantas, dan berikan pengalaman yang memuaskan kepada pelanggan agar dapat membina kesetiaan dan menggalakkan pembelian semula.

Sediakan juga kaedah bayaran yang mudah. Target pelanggan anda bukan seorang dua, tapi ramai. Sukar membuat bayaran adalah salah satu punca pelanggan tak nak membeli. Sekarang dah ada pelbagai kaedah bayaran yang mudah dan fleksibel seperti pembayaran secara atas talian, tunai, kad kredit, pembiayaan  atau QR Pay.

Jika menjual atas talian, pastikan penghantaran dibuat tepat pada masanya dan produk diterima dengan baik. Penghantaran yang pantas dan berkesan akan meningkatkan kepuasan pelanggan.

4. Harga yang berpatutan

Trend membeli sekarang dah tak macam dulu, pelanggan akan beli apa yang mereka suka. Peningkatan kos hidup dan harga membuatkan pelanggan lebih memilih apa yang mereka ingin beli dan mempertimbangkan nilai untuk wang yang mereka bayar. 

Jangan letak harga di luar jangkaan dan jangan pula sampai buang harga. Produk dengan harga yang berpatutan tetapi berkualiti biasanya akan menjadi pilihan.

5. Ulasan pelanggan

Biasa kita lihat kedai-kedai yang menjual secara online sangat mementingkan ulasan yang baik dari pengalaman pelanggan yang membeli. Ulasan dari pelanggan sebelumnya sering menjadi penentu dalam pemilihan produk. 

Pelanggan biasanya melihat ulasan untuk mendapatkan pandangan tentang pengalaman orang lain dengan produk tersebut. 

Lagi bahaya, ada pelanggan yang gemar viralkan pendapat mereka tentang sesuatu produk atau perkhidmatan. Dari pendapat ini akan mempengaruhi keputusan membeli bakal pelanggan. 

Lebih-lebih lagi sekarang ni zaman boikot, hati-hati jika anda tak nak jadi jenama yang akan diboikot pula nanti.

Jangan cepat nak buang harga

Menjadi pilihan pelanggan bukanlah sekadar tentang menawarkan harga yang rendah semata-mata. Ia melibatkan kesedaran tentang nilai yang anda bawa. Dengan mengaplikasikan prinsip-prinsip yang telah dibincangkan, insya-Allah anda boleh mengukuhkan kedudukan perniagaan dalam ingatan dan pilihan pelanggan. 

Jadi, janganlah tergesa-gesa membuang harga. Fikirkan untung rugi yang perlu ditanggung ekoran keputusan anda. Fokus kepada apa yang penting untuk anda fokuskan dan biarkan pelanggan membuat pilihan yang bijak.

Selebihnya berserah dan berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kelancaran rezeki yang tiada henti.

Artikel terbaru

Leave a Reply