Salah satu kemahiran yang wajib ada untuk menjadi usahawan yang berjaya adalah empati. Anda bukan sahaja dapat mengekalkan hubungan baik dengan staf, malah disenangi oleh pelanggan juga.
Kuasai rasa empati boleh meningkatkan komunikasi dengan orang lain dan mewujudkan hubungan yang hebat serta menjadikan tempat kerja yang positif.
Apa itu empati?
Keupayaan untuk memahami perasaan dan pengalaman orang lain. Dengan empati membolehkan anda memahami perspektif orang lain, mengukuhkan hubungan serta berupaya membangunkan dunia yang lebih baik.
Mungkin anda akan lebih memahami bahawa tindakan anda memberi kesan kepada orang lain yang membawa kepada perbualan yang lebih produktif terutamanya apabila berinteraksi dengan orang yang mempunyai latar belakang dan perspektif yang berbeza.
Mengapa empati penting dalam bisnes?
Setiap orang mempunyai nilai, pemahaman, latar belakang serta perspektif yang berbeza-beza serta unik. Empati memberikan anda keupayaan untuk memahami orang lain dalam pasukan kerja sekaligus membantu bisnes lebih mudah mencapai matlamat.
1. Perbaiki komunikasi
Apabila anda mengamalkan sikap empati, anda mampu untuk menyesuaikan gaya komunikasi dengan orang lain atau kumpulan yang anda berinteraksi pada masa itu. Selaraskan nada suara atau bahasa badan agar sesuai dengan perbualan.
Sebagai contoh, cara komunikasi anda mungkin berbeza apabila bercakap dengan staf di dalam dan luar waktu kerja.
2. Mengeratkan hubungan dengan staf
Anda boleh menjadi leader yang lebih baik apabila anda menggunakan empati. Cuba fahami latar belakang dan perspektif staf untuk membina hubungan dan kepercayaan antara satu sama lain.
Pertimbangkan untuk mendengar masalah mereka dan biasakan memberi kata-kata yang memberi semangat apabila mereka berkongsi idea.
3. Meningkatkan pemikiran yang kreatif
Apabila anda menggunakan empati di pejabat, anda juga boleh membangunkan penyelesaian yang lebih kreatif. Menggunakan empati boleh membantu anda dan team memberi idea untuk mengenal pasti strategi yang menarik minat pelanggan.
Memahami produk atau perkhidmatan dari sudut pandangan penerima juga boleh membantu anda mengenal pasti cabaran atau peluang yang anda tidak terfikir sebelum ini dan lebih bersedia untuk mencuba penyelesaian baharu.
4. Meningkatkan peluang jualan dan pelaburan
Empati di pejabat boleh membantu anda memahami dengan lebih baik motivasi pihak berkepentingan semasa dan masa depan anda, seperti pelanggan dan pelabur. Sebagai contoh, pelabur mungkin ada cara dan minat tersendiri dalam memilih kolaborasi, jadi anda boleh mengamalkan empati dengan menyelidik bakal pelabur anda. Temui latar belakang mereka untuk mengenal pasti sebarang persamaan yang mungkin anda kongsi.
Anda boleh menggunakan taktik penyelidikan dan kaedah perbincangan yang sama apabila mendapatkan kontrak dengan pelanggan baharu atau mengemas kini kontrak lama dengan pelanggan semasa. Kenal pasti cabaran yang mungkin dialami oleh syarikat mereka yang anda boleh bantu selesaikan.
5. Meningkatkan perkhidmatan pelanggan
Mempunyai empati boleh meningkatkan kemahiran perkhidmatan pelanggan anda kerana anda boleh menjangkakan kehendak dan keperluan mereka. Apabila pelanggan menghubungi tentang sesuatu isu, mereka mungkin kecewa dan mahu anda mendengarnya.
Dengan membenarkan mereka meluahkan masalah, anda boleh menunjukkan kepada mereka bahawa anda sangat menghargai apa yang mereka luahkan. Pelanggan yang rasa dihargai lebih terbuka kepada sebarang cadangan dari anda.
Bagaimana untuk menjadi lebih empati
Terdapat beberapa cara anda boleh meningkatkan kemahiran empati di pejabat. Gunakan langkah ini untuk mengembangkan empati anda.
1. Mendengar dengan kerap
Amalkan empati dengan mendengar untuk lebih memahami soalan atau permintaan mereka sebelum memikirkan jawapan. Strategi ini membolehkan anda menumpukan hanya pada keperluan orang lain dan sebagai hasilnya, memahami sepenuhnya perasaan dan perspektif mereka.
2. Ubah cara percakapan
Pertimbangkan cara terbaik untuk berkomunikasi dengan staf atau pelanggan anda. Sebagai contoh, anda mungkin lebih formal dengan rakan sekerja, tetapi gunakan perkataan yang lebih mudah difahami apabila bercakap dengan pelanggan.
Jika anda mampu, berkomunikasi dalam bahasa yang biasa mereka tuturkan seperti bahasa ibunda yang berbeza.
3. Tawaran untuk membantu
Empati juga boleh membantu anda memahami dan menangani cabaran di pejabat seperti bebanan kerja yang meningkat atau perkara peribadi. Tunjukkan empati dengan menawarkan bantuan dalam apa jua cara yang anda boleh.
Gerak isyarat ini menunjukkan bahawa anda seorang leader yang berdedikasi untuk memastikan kejayaan staf dan akan membantu mereka capai matlamat secara berpasukan.
5. Bertanyakan soalan
Empati menekankan untuk memahami perspektif yang berbeza dan mungkin tidak semudah dengan cuba membayangkan perasaan orang lain. Bertanyakan pelbagai soalan tentang keperluan, perasaan dan perspektif mereka boleh membantu anda memahami dengan lebih baik cara untuk membantu mereka.
Contohnya, jika pelanggan ingin produk tertentu yang syarikat anda tidak tawarkan lagi, anda boleh bertanya keperluan mereka menggunakan produk tersebut. Maklumat ini boleh membantu anda memberi pendapat tentang produk lain yang boleh memenuhi keperluan khusus mereka.
Kukuhkan empati dalam diri
Walaupun anda tidak sepenuhnya memahami dan bersetuju dengan perspektif orang lain, anda boleh mengamalkan empati dan pastikan staf atau pelanggan anda berasa mereka adalah penting.
Apabila anda mengamalkan empati, ini boleh memberi kesan yang positif pada bisnes dan untuk membina bisnes anda lebih berjaya.