Hari ini, Rolex merupakan salah satu jenama jam tangan paling berprestij di dunia. Selain itu, menurut Interbrand, sebuah agensi yang mengukur populariti jenama dan nilai jenama, Rolex ialah jenama jam tangan tunggal yang paling diiktiraf di dunia.
Jenama Rolex yang sinonim dengan kemewahan dan kejayaan telah bekerja keras untuk membina reputasi prestij.
Sebagai contoh, Rolex telah menggunakan cogan kata ‘a crown for every achievement’ (mahkota untuk setiap pencapaian) untuk menekankan bahawa ia bukan sekadar jenama biasa, tetapi menjadi jenama simbolik buat individu yang berjaya.
Tambahan pula, Rolex, menurut Forbes adalah jenama ke-69 paling berharga di dunia.
Namun begitu, Rolex pada asalnya bukanlah jenama mewah seperti yang kita lihat sekarang pada hari ini.
Jika kita kembali ke masa lalu, jam tangan Rolex pada awalnya dikenali sebagai “tool watches”. Ia dibangunkan sebagai alat untuk profesional dalam bidang yang berbeza, yang benar-benar memerlukan jam tangan semasa melaksanakan tugas.
Rolex bukanlah jenama mewah pada masa itu tetapi melalui usaha, Rolex terus membina reputasinya dan mengambil langkah yang menggerakkannya ke arah yang betul.
Sudah tentu perkara paling penting yang dititikberatkan adalah pembangunan, penghalusan, dan penambahbaikan produknya.
Ini kerana jika anda mahu menjadi jenama mewah, anda juga perlu berusaha menghasilkan produk yang unggul.
Sebagai contoh, bandingkan sahaja model jam Submariner yang baharu dan lama. Cara jam tangan ini dihasilkan adalah sangat berbeza.
Selama beberapa dekad, Rolex telah mengeluarkan banyak inovasi teknikal bagi meningkatkan prestasi jam tangannya.
Tambahan pula, memandangkan produk telah ditambah baik secara berterusan, Rolex juga mempunyai sebab untuk terus menaikkan harga mereka dan untuk bergerak ke arah itu, mereka juga telah memperkenalkan logam berharga dan batu permata pada rekaan jam tangan mereka untuk meningkatkan eksklusiviti serta mengekalkan harga yang tinggi.
Dahulunya, Rolex tidak begitu menggemari logam berharga atau batu permata pada rekaan jam tangannya namun ia mulai berubah apabila mereka mengeluarkan model seperti Day-Date – jam tangan yang diperbuat eksklusif menggunakan logam berharga.
Jadi bilakah Rolex menjadi jenama mewah?
Soalan yang sukar untuk dijawab kerana reputasi dan jenama bukanlah sesuatu yang anda bina dalam sekelip mata, sebaliknya ia merupakan hasil daripada tindakan yang konsisten dan berulang.
Namun begitu, boleh dikatakan bahawa tahun 1960-an- ke 1980-an adalah waktu ketika Rolex mulai serius dalam pasaran mewah.
Ada dua perkara yang telah menyumbang kepada penghasilan Rolex sebagai jenama mewah. Pertama, Rolex melakukan pemasaran dengan sangat baik. Kedua, mereka melakukan inovasi dalam reka bentuk dan teknikal.
Boleh dikatakan bahawa Rolex telah menunjukkan prestasi yang baik dalam kedua-dua perkara itu. Malah, Rolex mungkin merupakan salah satu jenama jam tangan teratas yang paling meningkat naik dalam industri jam tangan. Ini termasuk inovasi seperti model Oyster, Glidelock, Datejust, Day-Date, pemutar kekal dan banyak lagi.
Dengan menjadikan produk mereka hanya boleh dimiliki oleh golongan tertentu, rasa kemewahan dan prestij dapat dipertingkatkan.
Imej yang berjaya diwujudkan oleh Rolex ialah memiliki Rolex menunjukkan bahawa anda telah berjaya dalam hidup.
Imej ini telah menyebabkan ramai orang mengimpikan untuk membeli jam tangan Rolex suatu hari nanti. Tidak semua jenama jam tangan boleh melakukannya, tetapi Rolex telah berjaya.
Apa yang bijak tentang ini ialah mereka menanam cita-cita dan impian terhadap pelanggan mereka dan apabila masanya tiba, mereka menjadi sebahagian daripada kelab eksklusif pemilik Rolex. Ini akan membuatkan si pemakainya lebih menghargai jam tangan Rolex yang dimiliki.