Seperti yang kita sedia maklum, dunia bisnes menjadi makin mencabar dari hari ke hari. Kadang-kadang, dugaannya menjadi makin sulit hingga membuatkan wajah kita masam mencuka seharian akibat tekanan yang dihadapi.
Relaks… Bak bait-bait kata dalam filem 3 Idiots, ‘all is well’! InsyaAllah, segala masalah itu dapat diatasi. Cuba senyum sikit! Membiasakan diri untuk tersenyum membuatkan kita rasa lebih bahagia dan kehidupan menjadi lebih bermakna.
Tak perlu buntu, mari kita lihat bagaimana cara untuk laksanakannya!
Selama seminggu, cuba fokus untuk senyum lebih banyak. Cari cara untuk mengingatkan diri anda untuk lebih banyak tersenyum misalnya cuba fikirkan pelbagai nikmat hidup yang boleh anda syukuri. Kajian menunjukkan bahawa apabila anda tersenyum, mood anda juga bertambah baik.
Sesetengah pakar berpendapat bahawa dengan memaksa diri untuk ketawa, anda mengaktifkan otot tertentu di wajah. Otot-otot ini dikaitkan dengan emosi dan kebahagiaan. Dengan tersenyum, anda memberi isyarat kepada pusat emosi di otak dengan cara yang positif.
Senyum lebih banyak adalah cara mudah untuk meningkatkan kualiti hidup. Anda hanya perlu tersenyum dan selepas itu anda akan berasa lebih baik dan bermotivasi!
Amalkan Senyum Lebih Kerap
Senyuman adalah tindak balas semula jadi tubuh terhadap sesuatu yang menggembirakan, lucu dan menggembirakan. Jadi, sebenarnya anda tidak memerlukan bantuan pun untuk mengukir senyuman di bibir.
Walau bagaimanapun, terdapat situasi di mana senyuman tidak keluar secara semula jadi atau secara automatik. Itulah sebabnya anda perlu tahu bagaimana untuk tersenyum.
1. Amalan Senyuman
Senyum. Lakukan sekarang semasa anda membaca artikel ini. Tunjukkan senyuman yang besar dan mesra seolah-olah anda sedang bertemu dengan cinta hati. Sekarang, cuba fikirkan pula sesuatu yang tidak menggembirakan, tetapi kekalkan senyuman itu di wajah anda.
Sukar untuk mengekalkan senyuman apabila anda berfikiran negatif. Walau bagaimanapun, senyuman boleh membantu meningkatkan kebahagiaan dan mengurangkan pemikiran negatif yang mendatang di minda.
2. Sentiasa Ingat Untuk Senyum
Memandangkan anda telah berlatih dan mempunyai sedikit pemahaman tentang cara senyuman bagi meningkatkan mood, apa yang perlu anda lakukan sekarang ialah sentiada ingat untuk tersenyum setiap hari.
Mungkin anda memerlukan peringatan untuk lebih banyak tersenyum. Pilih sesuatu yang anda dengar, lihat atau lakukan setiap hari, sebagai peringatan untuk tersenyum. Contohnya, anda boleh memilih bunyi sebagai peringatan seperti bunyi telefon bimbit dan sebagainya.
3. Tingkatkan Motivasi
Orang yang tersenyum semasa bercakap biasanya memberi gambaran bahawa mereka yakin dan mesra. Jadikan ini sebagai motivasi buat anda untuk menjadi seseorang yang lebih murah dengan senyuman.
Selain itu, anda juga boleh melakukan langkah-langkah di bawah ini bagi memudahkan anda mengukir senyuman secara semula jadi:
Jangan terlalu memaksa diri untuk senyum hingga ia kelihatan palsu. Cuba jadikannya lebih semula jadi dan tulen.
Fikirkan sesuatu yang anda sangat suka apabila anda tersenyum supaya ia kelihatan lebih ikhlas.
Tarik nafas dalam-dalam sambil tersenyum. Ini akan membantu melegakan tekanan dan membolehkan anda memberikan senyuman yang manis kepada semua!