Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangka Aspirasi Pelaburan Nasional baharu untuk menarik pelaburan yang strategik dan mempunyai nilai impak ekonomi yang tinggi.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenal pasti lima bidang utama di bawah inisiatif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang mampu menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur sama ada melalui penyelidikan dan pembangunan atau kemudahan pembuatan menggunakan teknologi baharu.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sektor berkenaan adalah elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, ekonomi digital, aeroangkasa dan kimia.
Lima sektor ini antara sektor pertumbuhan ekonomi baharu yang dikenal pasti ketika kita merangka NIA dan ia selari dengan hasrat inisiatif NIA iaitu memfokuskan kepada pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi.
Melalui inisiatif ini, peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi akan tercipta untuk rakyat tempatan dan memperkukuhkan daya saing negara.
Jom kita lihat secara lebih mendalam bagi 5 bidang berkenaan:
Aspirasi Pelaburan Nasional 2022 : 5 Sektor Utama
1. Elektrik dan elektronik (E&E)
Industri elektrik dan elektronik (E&E) disasar menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pemain industri E&E digalak untuk menerima guna teknologi termaju dan menghasilkan produk lebih sofistikated, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan.
Menurut Dokumen RMK-12 dikeluarkanUnit Perancang Ekonomi (EPU), anjakan industri perlu dilaksana melalui peningkatan pelaburan dalam aktiviti yang bernilai tinggi seperti reka bentuk dan pembangunan (D&D) serta pembuatan ‘front-end’.
2. Farmaseutikal
Produk farmaseutikal yang dikeluarkan di Malaysia merangkumi produk ubat baru, biologi, generik (produk preskripsi dan boleh dijual di kaunter (OTC)), makanan tambahan dan tambahan kesihatan, ubat tradisional dan komplimentari (TCM) dan produk veterinar.
Pengilang farmasi tempatan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kebanyakan dos pelbagai bentuk, termasuk penyediaan steril, suntikan dan kapsul gelatin lembut.
3. Ekonomi digital
“Ekonomi digital” adalah istilah untuk semua proses ekonomi, transaksi, interaksi dan aktiviti yang berdasarkan teknologi digital.
Ekonomi digital berbeza dari ekonomi internet kerana ekonomi internet adalah berdasarkan sambungan internet, sedangkan ekonomi digital lebih luas berdasarkan mana-mana alat digital yang digunakan dalam dunia ekonomi hari ini.
Pada 2020, ekonomi digital Malaysia membentuk 22 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara dan dijangka mewujudkan kira-kira 500,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.
4. Aeroangkasa
Industri aeroangkasa adalah salah satu industri yang berkembang pesat di negara ini didorong oleh pelaksanaan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.
Ia telah berkembang secara purata pada kadar 5% selama 10 tahun terakhir dan terus menghasilkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengembangkan ekosistem pembekal di negara ini.
Malaysia kini mempunyai lebih daripada 230 syarikat, yang terlibat dalam Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO), perkilangan aero, pendidikan dan latihan, integrasi sistem, dan aktiviti kejuruteraan dan reka bentuk.
5. Kimia
Sumber semula jadi Malaysia yang pelbagai sememangnya menjadi kelebihan bagi industri kimia dan produk kimia negara ini.
Industri ini merupakan penyumbang utama bagi sektor perkilangan dengan petrokimia dan oleokimia sebagai produk utama sektor ini.
Kimia dan produk kimia sering digunakan sebagai bahan mentah dalam pembuatan pelbagai barangan siap seperti elektrik dan elektronik, produk plastik, pertanian, automotif, minyak dan gas, farmasi dan bahan binaan.
Anda berminat untuk menceburi salah satu daripada industri yang disenaraikan di atas atau mengembangkan perniagaan dalam industri tersebut?
Seperti saranan Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd, inilah masanya untuk bangsa usahawan berani melangkah dengan lebih besar pada 2022.
Bagaimanapun keberanian itu tidak boleh datang begitu sahaja tanpa adanya ilmu, strategi dan sistem yang betul!
2 Comments
Bijak Mencari Peluang untuk menjadi seorang usahawaan. Ekonomi Digital sangat terkesan diabad ini khasanya di masa pandemik. Terima Kasih Rich work atas artikel yang memberi inpirasi dan idea yang sangat bermanfaat.
Awesome! Terima kasih juga kerana memberikan feedback yang positif. Semoga terinspirasi dan bermanfaaat.