Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, tetapi sekarang ziarahilah ia kerana padanya terdapat ‘ibrah (pengajaran).” (Musnad Ahmad disahihkan oleh al-Albani dan Syu’ib al-Arnauth)
4 Hikmah ziarah kubur
Amalan ziarah kubur mempunyai tujuan dan hikmahnya yang tersendiri, antaranya:
1. Menziarahi kubur dapat meneritkan perasaan insaf dan taubat di dalam hati untuk menghadapi kematian.
2. Meningkatkan kepada asal-usul kejadian manusia akan dikembalikan.
3. Menggamit rasa hati dan kesedihan serta dapat melembutkan hati yang keras hingga melahirkan kesedaran untuk melakukan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.
4. Berlaku ihsan terhadap penghuni kubur (lebih-lebih lagi kepada kedua-dua ibu bapa yang telah meninggalkan kita) dan menggembirakan mereka dengan memberi salam dan memohon doa agar dilimpahi rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Apabila matinya anak Adam akan terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga perkara. Sedekah yang berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak salih yang mendoakannya.”
4 Perkara Dilarang Ketika Menziarahi Kubur
Di samping mengerjakan perkara-perkara sunat, terdapat juga larangan yang perlu dijauhi oleh mereka yang hendak menziarahi kubur. Antaranya:
1. Janganlah MERATAP, memekik, serta memukul-mukul pipi kerana terlalu sedih dan berduka cita.
Daripada Buraidah RA beliau berkata: “Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah.” (Hadis muttafaq ‘alaih).
Adapun sedih atau mengalirkan air mata tanpa ratapan tidaklah dilarang, kerana kesedihan dan mengalirkan air mata itu merupakan tanda rasa kasih kepada ahli kubur atau berasa indaf tentang kematian.
2. MAKRUH DUDUK DI ATAS KUBUR, tetapi duduk di sekitar atau di sekeliling kubur tidaklah dilarang.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
3. DILARANG MEMIJAK KUBUR tanpa keperluan atau hajat. Tetapi sekiranya tiada jalan untuk menuju ke kubur ingin diziarahi melainkan terpaksa melangkah atau memijak kubur maka diharuskan disebabkan adanya keuzuran.
4. HARAM MELAKUKAN PERKARA KHURAFAT yang boleh menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan seumpamanya.
Semoga kita dimatikan dalam keadaan husnul khatimah dan dihimpunkan bersama Nabi, para syuhada dan solehin di SYURA nanti.