Membuli Tradisi Syaitan, 3 Peringkat Hukuman Orang Melakukan Kesalahan

Membuli Tradisi Syaitan, 3 Peringkat Hukuman Orang Melakukan Kesalahan

Hukuman! enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2 November 2021 atas tuduhan menyebabkan kematian kepada Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain tanpa niat membunuh.

Keenam mereka bersama 12 lagi turut disabitkan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Semua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Sementara itu, kes buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak, juga menimbulkan kemarahan ramai.

Sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam satu kes buli, susulan penularan video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.

Dua kejadian tersebut antara kisah yang pernah menjadi perhatian di Malaysia.

Namun, apa yang lebih penting adalah pengajaran yang perlu kita ambil bagi mengelakan kejadian sama berulang lagi Apatah lagi, kejadian ini melibatkan anak-anak muda. Bagaimana masa depan mereka selepas ini?

Pensyarah  Jabatan Bahasa Arab  Pusat Asasi dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Melaka, Nor Asree Mohd Noh cenderung mengaitkan bahawa ia merupakan amalan tradisi yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang lain, iaitu golongan senior kepada golongan junior yang ingin membalas apa yang pernah dirasai mereka ketika dahulu.

Dalam masa sama, kononnya mereka ingin mengajar orang baharu tentang nature kehidupan yang berhierarki di tempat baharu dan membiasakan diri dengan peraturan tertentu.

Ia boleh digelar sebagai tradisi syaitan yang dicontohi setiap generasi. Sebagai contoh di sekolah atau institusi pengajian, golongan yang lebih senior cuba menunjukkan kedewasaan mereka kepada adik-adik  baharu yang adakalanya menggariskan peraturan yang dibuat mereka dalam hal tertentu yang perlu dipatuhi selama mana tinggal bersama mereka.

Apa sahaja punca yang ingin diperkatakan, ia pasti akan berkait dengan pegangan seseorang itu pada nilai agama. Agama ialah rujukan pertama atau asas didikan awal seseorang dalam segala perkara. Islam sangat melarang dan membenci kepada sesiapa sahaja melakukan kezaliman.

Allah SWT menyebut menerusi ayat-Nya yang suci mengenai perkara zalim dan juga larangan berbuat kezaliman sebagaimana dalam firmannya: “Dan (jika kamu hendak membalas) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang setimpal dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Syura: 40)

Sheikh al-Sa’adi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa menerusi ayat ini dikaitkan beberapa peringkat hukuman pada orang yang melakukan kesalahan.

3 Peringkat Hukuman Orang Melakukan Kesalahan:

1. al-‘Adl (keadilan)

Kejahatan dibalas dengan kejahatan yang sama atau setimpal dengannya, iaitu hukumannya tidak lebih atau tidak kurang.

2. al-Fadl (kelebihan)

Perbuatan memaafkan dan membetulkan apa yang salah.

3. al-Zulm (kezaliman)

Mengenakan hukuman tidak setimpal atau melebihi had.

Dalam hadis kudsi yang diriwayatkan oleh Abu Dhar al-Ghifari RA  daripada Nabi SAW  bersabda bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman: “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikan kezaliman itu haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Maka dalam konteks ini, diharamkan sama sekali oleh Allah SWT  bagi seseorang melakukan kezaliman tidak kira apa sahaja peringkat umur walaupun masih muda di bangku sekolah. Walaupun, seseorang tersebut pernah dibuli suatu ketika dahulu, maka haram baginya untuk meneruskan perkara sama untuk dilakukan kepada generasi yang datang selepasnya.

Hal ini kerana ia merupakan kezaliman yang nyata dengan melakukan sesuatu perkara buruk kepada yang tidak bersalah.

Meluntur buluh biarlah dari rebungnya, jangan biarkan anak-anak kita melakukan perbuatan yang sia-sia dan mengakibatkan masa depan mereka gelap.

Berbalik kepada dua contoh kejadian di atas, pelajar tersebut merupakan pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik. Di mana silapnya?

Ilmu duniawi dan ukhrawi perlu seimbang. Kita tak mahu seorang doktor yang membunuh pesakit, akauntan yang memalsukan kira-kira atau menyeleweng kewangan, guru yang tak bermoral penjawat awam yang mengamalkan rasuah atau peniaga yang menipu timbangan.

Biarlah kita sama-sama berjumpa semula di syurga Ilahi dan terhindar dari neraka jahanam. 

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply