Hilang Rotan, Hilang Hormat. 4 Fakta Berkaitan Adab Dan Keberkatan

Apa kenangan indah anda bersama guru?

Apa itu Adab dan Keberkatan?

Secara peribadi banyak kenangan indah bersama guru, dari di bangku sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.

Banyak sungguh ilmu yang diberi oleh insan berhati mulia ini, tanpa mereka siapalah kita hari ini.

Antara bait indah daripada sajak Usman Awang tahun 1979 “Guru Oh Guru”.

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Namun, dalam cabaran dan realiti yang harus ditempuhi pendidik hari ini antaranya adalah isu adab pelajar yang semakin tipis.

Lebih menyedihkan seringkali terpapar di dada akhbar mahupun media sosial kisah berkaitan sikap serta layanan buruk pelajar terhadap gurunya. Terdapat pelajar yang berani mengherdik, melawan arahan dan mengkhianati guru dek kerana emosi serta dendam yang tersimpan.

Bahkan dalam dunia teknologi dan aplikasi pintar pada hari ini, terdapat pelajar yang membuat fitnah, memuat naik status di media sosial dengan memburukkan guru mereka. 

Di manakah letaknya nilai murni sebagai seorang pelajar yang sedang menimba ilmu bersama guru?

Persoalan utama, ke mana hilang adab dengan guru?

4 fakta berkaitan adab dan keberkatan:

Hormat dan sopan apabila berguru

Jika ditelusuri, adab ini terletak dalam komponen akhlak yang merupakan tiang utama dalam Islam. Malah, adab dan akhlak diungkap dalam banyak perkataan yang hampir sama maknanya seperti kesantunan, moral, kesopanan dan kesusilaan.

Dalam menuntut ilmu, adab menghormati guru adalah intipati penting yang perlu ada dalam diri setiap pelajar. Setiap pelajar wajib menghormati gurunya agar ilmu yang dipelajari mendatangkan keberkatan dan keredaan Allah.

Hal ini diungkapkan dalam hadis Riwayat Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Bukanlah di kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak kecil dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami. “

Baginda menyarankan agar memberikan hak kepada guru dengan menzahirkan rasa hormat dan sopan apabila berguru.

Teguran untuk kebaikan

Setiap teguran atau nasihat yang baik disampaikan oleh seorang pendidik perlu diambil tanpa membantah.

Hal ini kerana setiap teguran tersebut adalah untuk kebaikan diri pelajar. Dengan kecanggihan teknologi komunikasi, pelajar juga tidak seharusnya menjadikan platform media sosial untuk memuat naik status atau video yang bertujuan menghina dan mengecam guru.

Ini hanya menyebabkan hilangnya keberkatan dalam proses menuntut ilmu.

Memetik kata-kata ulama tersohor Imam Al-Ghazali dalam karya beliau Ihya Ulum al-Din, beliau juga mengangkat martabat guru dengan menyatakan: 

“Sesungguhnya ibu bapa adalah sebab kewujudan seorang anak di muka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya.”

Ilmu dan keberkatan

Majoriti pelajar yang lulus cemerlang dalam akademik tidak melihat kejayaan mereka adalah hasil panduan ilmu dan keberkatan daripada guru yang mendidik mereka.

Akhirnya kejayaan yang diperoleh hanya memenuhi tuntutan intelek sistem pendidikan, namun gagal dalam aspek pembinaan jati diri dan akhlak mulia yang menjadi salah satu dokongan utama dalam falsafah pendidikan kebangsaan.

Hakikatnya, sebagai seorang pelajar, resipi kejayaan sebenar datang daripada rasa hormat kepada guru yang disemat dengan teguh di dalam hati, fokus perhatian semasa pembelajaran dan mengelakkan perkara yang boleh mengundang kelalaian seperti melayari media sosial atau permainan aplikasi telefon pintar dalam jangka masa yang lama.

Mendoakan kesejahteraan guru

Pelajar juga digalakkan untuk mendoakan kesejahteraan guru-guru yang mendidik mereka sebagai satu tanda penghargaan atas pengorbanan yang telah dicurahkan.

Kesimpulannya, untaian bait warisan nusantara “Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi” membawa makna mendalam bahawa menuntut ilmu itu bukan sekadar main-main dan bukan bermatlamat sekadar tercatat cemerlang di sijil mahupun mencapai purata mata gred yang tinggi sahaja, tetapi ia satu tuntutan utama yang berkait dengan soal keberkatan.

Sehubungan itu, setiap aspek perlu dijaga bagi memelihara keberkatan ilmu dalam kehidupan sekali gus membentuk potensi diri yang optimum dan pembangunan nilai diri yang seimbang.

Semoga kita memperoleh keberkatan dalam menuntut ilmu dan setiap perkara yang kita lakukan.

Hidup yang berkat adalah hidup yang dilimpahi dengan kebaikan dan ketenangan.

Terima kasih kerana dapat luangkan masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga artikel “Hilang Rotan, Hilang Hormat. 4 Fakta Berkaitan Adab Dan Keberkatan” ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada anda.

Sila kongsikan soalan atau ‘learning points’, apa yang anda dapat pelajari dari artikel ini dalam ruangan komen di bawah. ⬇️



Leave a Reply