Setiap insan pastinya pernah merasai perasaan sedih dalam hidup. Walau bagaimanapun, berapa kerap perasaan itu membelenggu diri anda?
Jika ia berterusan dan berlebihan, anda tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana anda mungkin mengalami gejala kemurungan.
Kesedihan adalah emosi yang boleh dirasai oleh semua orang dan ia boleh datang kepada anda pada bila-bila masa. Boleh jadi ia datang sekali-sekala, boleh jadi juga ia hadir hampir setiap hari bergantung pada apa yang berlaku dalam hidup anda.
Secara umum, rasa sedih itu timbul apabila keadaan tidak berjalan mengikut rancangan atau seperti yang diinginkan. Kesannya, anda berasa tidak berdaya dan putus asa.
Konflik, kegagalan, kematian dan kehilangan adalah beberapa perkara yang sering membuat orang berasa sedih.
Bukan itu sahaja, melihat, menyaksikan atau mendengar kisah orang lain yang menyedihkan juga boleh membuat anda merasa emosi yang sama.
Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai rasa empati yang tinggi. Anda cenderung untuk menjadi lebih sensitif terhadap perasaan dan fikiran orang lain.
Sebagai contoh, apabila anda melihat seseorang ditimpa musibah, anda akan turut menyelami keadaannya seolah-olah anda juga berada dalam situasi itu. Rasa empati yang anda miliki membolehkan anda benar-benar memahami kesedihan yang dialami oleh insan lain.
Rasa sedih itu sememangnya normal, namun jika dibiarkan berlarutan ia boleh menguasai diri. Berikut adalah cara yang boleh dilakukan bagi mengatasi perasaan tersebut.
1. Akui perasaan anda
Kebanyakan daripada kita sering mengukir senyuman palsu dan pura-pura kuat agar tidak kelihatan lemah di hadapan orang lain. Ada juga yang menafikan perasaan sedih mereka kerana tidak mahu menjadi beban dan dikasihani orang lain.
Sebenarnya, penafian hanya akan memudaratkan kesihatan fizikal dan mental anda. Bayangkan segala kesedihan yang telah lama terpendam akan menjadi umpama ‘bom jangka’ yang boleh meletup pada bila-bila masa. Bukan hanya memusnahkan diri sendiri, malah akan turut menghancurkan orang di sekeliling anda.
Jadi, akui bahawa anda benar-benar sedih. Ingatlah bahawa ia adalah suatu perasaan normal bagi manusia biasa. Jadi, tidak salah jika anda merasakan emosi ini. Jika perlu, luahkan saja kesedihan anda dengan menangis kerana ia akan membuatkan anda berasa lega.
2. Luahkan perasaan kepada insan yang dipercayai
Jangan biarkan diri anda terperangkap dalam kesedihan. Tidak salah untuk berkongsi perasaan kepada seseorang yang anda percayai untuk mengurangkan beban di hati serta mencari solusi tentang masalah tersebut. Kongsilah perasaan yang terbuku di hati dengan ibu bapa, pasangan atau rakan terdekat anda.
Orang yang mengambil berat tentang anda akan melakukan yang terbaik untuk menghiburkan dan menghilangkan kesedihan anda. Jadi, jangan teragak-agak untuk meminta bantuan daripada mereka.
3. Jauhi perkara yang boleh ‘trigger’ kesedihan
Jika anda sedar bahawa ada perkara atau tempat yang berpotensi mengundang kesedihan, maka anda harus mengelakkannya. Ia tidak mudah tetapi anda harus berusaha sedaya upaya agar anda tidak perlu berdepan dengan perkara yang menyedihkan.
Jika anda terus dihantui dengannya, pasti anda tidak akan pernah berasa lega. Kuncinya adalah satu, alihkan perhatian dan pemikiran pada sesuatu perkara lain. Sibukkan diri agar anda tidak mempunyai masa untuk memikirkan perkara yang sedih.
4. Cari aktiviti baru
Tak salah untuk sedih, tapi jangan lupa bahagiakan diri sendiri. Cuba sibukkan diri dengan aktiviti yang digemari atau yang anda tidak dapat lakukan sebelum ini.
Ambil peluang ini juga untuk mencuba sesuatu yang baru yang boleh membuatkan anda melupakan kesedihan anda. Contohnya, anda boleh pergi melancong ke destinasi percutian yang belum pernah anda kunjungi. Dengan cara itu anda boleh menenangkan fikiran yang bercelaru selama ini.
5. Lahirkan rasa syukur
Suatu hari nanti akan ada masanya anda melihat ke masa lalu. Bukan untuk meratapinya tetapi untuk memahami bahawa semua yang dilalui adalah sebahagian daripada perjalanan hidup anda.
Bersyukurlah kerana anda telah melalui peristiwa pahit itu yang telah membuatkan anda tahu apa ertinya syukur. Selain itu, merasai kesedihan juga membuatkan anda menghargai makna kebahagiaan dengan lebih lagi. Bukankah lebih baik merasai sesuatu daripada tidak merasakan apa-apa?