Hikmah Peristiwa Nuzul Al-Quran

Hikmah Peristiwa Nuzul Al-Quran

Hari Khamis ini, bersamaan 17 Ramadan yang menjadi peristiwa di mana ayat pertama al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang kemudian dikumpulkan seperti al-Quran yang ada pada hari ini.

Menurut sebahagian ahli sejarah, 17 Ramadan dikatakan berlakunya Nuzul al-Quran malah hari ini juga menandakan kita sudah pun memasuki fasa kedua daripada tiga fasa puasa iaitu 10 malam kedua.

Al-Quran merupakan mukjizat agung yang diturunkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW buat umatnya sebagai panduan dan pedoman hidup kerana ia mengandungi petunjuk, keterangan dan penjelasan tentang yang benar dan salah.

“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Isra, ayat 9)

Justeru itu, mempelajari al-Quran adalah satu kewajipan bagi kita semua. Bukan setakat kita belajar cara membaca, hukum tajwid saja, sebaliknya juga perlu memahaminya.

Secara ringkasnya penurunan (Nuzul) al- Quran berlaku dalam beberapa peringkat masa beransur-ansur selama 23 tahun lamanya. Ringkasnya, sejarah penurunan al-Quran seiring bersama perkembangan dakwah Islam. Turunnya al-Quran secara beransur-ansur mengikut asbab an-nuzul (sebab penurunan) dan penyelesaian masalah yang berlaku.

Keistimewaan al-Quran

Al-Quran merupakan sebuah kitab yang sesuai untuk sepanjang zaman dan tempat. Ia merupakan panduan dan pedoman kepada kita dalam menempuh kehidupan ini di dunia dan akhirat kelak.

Ianya menjadi asas kepada agama dan sumber rujukan utama bagi umat Islam baik dari segi akidah, ibadat, akhlak dan hukum hakam.

Malah kajian Dr Al-Qadhi dibuat di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat berjaya membuktikan hanya dengan mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbahasa Arab mahupun bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.

Penurunan tekanan, kesedihan, memperoleh ketenangan jiwa, merungkai pelbagai macam penyakit merupakan pengaruh am yang dirasakan orang-orang yang menjadi objek kajiannya.

Kajian beliau disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah, degupan jantung, ketahanan otot dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik.

Beliau telah membuat kesimpulan, bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuhan penyakit.

Malah dalam laporan sebuah kajian dibentangkan pada Persidangan Pertubuhan Islam Amerika Utara pada 1984, disebutkan, al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya.

Kesimpulan hasil kajian tersebut diperkuatkan lagi dengan kajian Muhammad Salim diterbitkan Universiti Boston. Sasaran kajiannya terhadap 5 orang sukarelawan yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 wanita.

Kelima orang tersebut sama sekali tidak mahir bahasa Arab dan mereka pun tidak diberitahu bahawa mereka akan diperdengarkannya adalah al-Quran.

Kajian yang dilakukan sebanyak 210 kali ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu membaca al-Quran dengan tartil dan membacakan Bahasa Arab yang bukan dari al-Quran.

Kesimpulannya, responden mendapatkan ketenangan sehingga 65% ketika mendengar bacaan al-Quran dan mendapatkan ketenangan hanya 35% ketika mendengar Bahasa Arab yang bukan dari al-Quran.

Sehubungan itu, marilah kita menjadikan Nuzul al-Quran sebagai inspirasi untuk kembali kepada al-Quran dengan pertingkatkan bacaan dan kefahaman agar jadi amalan dalam hidup ini.

Semoga kita semua sentiasa hampir dengan al-Quran kerana ia akan menjadi peneman kita semasa di alam barzakh nanti.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply