Hikmah Di Sebalik Ibadah Korban

Hikmah Di Sebalik Ibadah Korban

Hari ini merupakan hari yang sangat istimewa kerana seluruh umat Islam di dunia menyambut Hari Raya Aidiladha yang juga dipanggil sebagai Hari Raya Korban.

Dalam ibadah korban, banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik syariat yang diwarisi daripada sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim A.S.

Antaranya, ia mengajar kita untuk saling bantu-membantu serta hidup secara bermuafakat yang akhirnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dalam masyarakat.

Walaupun pandemik telah berlalu, namun kesannya menyebabkan ramai daripada kita mengalami tekanan yang amat berat gara-gara kehilangan kerja, perniagaan merudum, anak-anak menjadi yatim piatu, keluarga berantakan dan pelbagai lagi.

Golongan ini amat memerlukan bantuan daripada orang-orang di sekeliling dan keadaan inilah yang sebenarnya menguji kita. Kesanggupan kita menghulurkan tangan bagi membantu insan-insan yang memerlukan ini akan memberi erti yang besar kepada mereka.

Cubalah untuk berkongsi dengan mereka mengikut kemampuan masing-masing tidak kiralah sama ada dalam bentuk wang ringgit, barangan keperluan, makanan, tenaga atau buah fikiran yang boleh meringankan tekanan kehidupan yang dialami golongan terkesan itu.

Bukan hanya sekadar wang ringgit, ibadah korban juga mengajar kita untuk ‘mengorbankan’ ego, sikap pentingkan diri dan pelbagai lagi sikap mazmumah yang tanpa disedari membuatkan kita semakin alpa, bongkak dan lalai dengan kehidupan duniawi.

Inilah sebenarnya simbolik di sebalik ibadah korban yang akhirnya mengajar kita agar tidak terlalu mementingkan diri dan bersedia melakukan sedikit pengorbanan untuk sama-sama berkongsi rezeki kurniaan Tuhan.

Akhir sekali, terapkanlah keikhlasan dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana ia akan memberikan seribu satu ketenangan buat diri dan menjemput lebih banyak lagi rezeki mendatang dalam hidup. InsyaAllah.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply