Hedys: Gadai Gelang Emas Demi Ilmu, Usahawan Batang Buruk Raih Jualan RM3.9 Juta

Hedys: Gadai Gelang Emas Demi Ilmu, Usahawan Batang Buruk Raih Jualan RM3.9 Juta

Siapa suka makan kuih batang buruk? Satu daripada juadah popular di hari raya.

Kuih tradisional itu diperbuat daripada tepung gandum, kacang hijau, gula dan garam.

Jelas Pengasas Syarikat Hedys International Sdn Bhd (Hedys), kuih batang buruk yang dihasilkannya adalah berasaskan resepi asli dari negeri Johor.

“Bukan mahu mendabik dada tetapi batang buruk buatan saya agak ranggup, rapuh, cair di mulut sampai tersemat ke hati. Itulah sebabnya saya menerima permintaan luar biasa daripada pelanggan,” seloroh Nor Hedayah Kaulan.

Pegawai tadbir

Sebelum berniaga, Nor Hedayah hanya bergantung kepada gaji sebagai penjawat awam dan sering menghadapi masalah kewangan.

Bukan tidak mensyukuri rezeki yang diperoleh setiap bulan katanya, namun gaji yang hanya cukup-cukup makan membuatkan beliau sering berkira-kira setiap bulan bagi memastikan wang gaji yang diterima cukup sehingga ke akhir bulan.

“Masa tu kalau nak balik kampung suami di Sarawak pun saya terpaksa kira bajet dengan berhati-hati sebab duit gaji saya sebenarnya hanya cukup untuk komitmen bulanan. Untuk mencari duit lebih, suami saya juga pernah membawa Grab,” katanya.

Dalam keadaan keluarganya yang tersepit dengan masalah ekonomi dan kewangan, terdetik di hatinya untuk berusaha mencari pendapatan sampingan dengan menjual barang-barang seperti pomade, tudung dan pelbagai produk lain.

Katanya, jika beliau tidak mengambil inisiatif untuk berniaga, mereka suami isteri tentunya tidak mampu mempunyai lebihan wang, terutamanya untuk menyediakan kelengkapan semasa tibanya Hari Raya.

Akhirnya, beliau fokus mengeluarkan produknya sendiri iaitu kuih batang buruk.

Pekerja berhenti serentak

Langit tak selalu cerah. Di saat perniagaan mereka mula menunjukkan hasil yang diharapkan, tiba-tiba semuanya berubah sekelip mata.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia membawa kesan yang buruk kepada perniagaan mereka.

Jika insan lain, tertekan dek kehilangan pekerjaan tetapi lain pula pengalaman dilalui Nor Hedayah.

Lapan pekerja berhenti serentak sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi kesan besar kepada emosinya.

“Dugaan paling besar adalah mengawal emosi ketika PKP 3.0, apabila lapan pekerja berhenti secara serentak.

“Ketika PKP baru bermula, dua minggu pertama masa yang paling sukar bagi semua usahawan kerana sewa kedai dan gaji pekerja semuanya terjejas.

“Saya buntu memikirkan nasib perniagaan kami dan saya juga sudah mula hilang arah. Hasil jualan kedai sudah tidak dapat menampung sepenuhnya komitmen bulanan yang harus ditanggung termasuklah kos gaji pekerja dan sewa kedai,” katanya.

Gadai gelang emas

Begitupun, Nor Hedayah segera bangkit dengan mencari jalan dan melakukan tindakan yang sepatutnya.

Kongsi Nor Hedayah, pernah satu ketika beliau terpaksa menggadai gelang emasnya untuk menyertai program-program yang dianjurkan, namun pengorbanan itu tidak sia-sia.

“Alhamdulillah, saya ada sistem sokongan yang kuat daripada RichWorks untuk buat apa yang perlu saya buat untuk hadapi isu ini,” katanya.

Keputusan Nor Hedayah menyertai program syarikat bimbingan dan latihan paling berjaya di negara dengan dibimbing Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman, akhirnya menjadi penyelamat kepada perniagaannya.

“Saya tak tahulah bagaimana nasib bisnes saya tanpa bimbingan Dr Azizan dan RichWorks dalam menghadapi saat getir sepanjang PKP, asbab merekalah Hedys seperti hari ini selain Allah SWT mengizinkan segalanya,” katanya.

Antara nasihat paling penting daripada Dr. Azizan yang dipegangnya ialah just trust the process dan kata-kata itu terbukti benar apabila segala proses pengalaman yang dilalui mereka akhirnya membolehkan syarikat meraih jualan jutaan ringgit semasa PKP.

Kejayaan Hedys

Lebih manis, Hedys meraih anugerah e-Branding BrandLaureate bagi kategori makanan tradisi pada tahun lalu.

Sepanjang 2021, kuih tradisi batang buruk keluaran syarikatnya terjual 130,000 paket dan 75,000 balang Hedys sekali gus mencatat jualan RM3 .9 juta.

“Saya sendiri tidak menyangka, dengan hanya menjual batang buruk sahaja, kami kini berjaya berpindah ke bangunan pejabat dua tingkat dan mampu memberikan wang kepada orang tua pada setiap bulan.

“Kami juga dapat membeli kereta idaman dan berjaya membeli rumah sendiri,” ujarnya.

Menurut Nor Hedayah, mereka juga kini sudah mampu untuk bersedekah dan bertekad untuk membantu lebih ramai orang mencari pendapatan melalui Hedy’s International!

Artikel terbaru

Leave a Reply