Zaman sekarang adalah zaman di mana segalanya berada hanya di hujung jari. Bermaksud, banyak maklumat yang kita perlukan boleh dicari dengan menggunakan carian di platform digital.
Media sosial juga adalah platform yang berkongsikan terlalu banyak maklumat dan hampir semua orang di dunia ini menggunakan media sosial sama ada untuk mencari maklumat tentang isu semasa mahupun berhubung sesama individu.
Rugi jika anda seorang usahawan tetapi tidak menggunakan medium media sosial dengan maksima di dalam bisnes.
5 kesan negatif tidak guna media sosial secara maksimum dalam bisnes
1. Hilang bakal pelanggan
Media sosial memberikan anda akses untuk berhubung dengan berjuta-juta pengguna di seluruh dunia. Yang dekat atau jauh, tiada batasan jarak.
Bisnes tanpa penggunaan media sosial yang maksimum, anda akan kehilangan peluang untuk memperluaskan bisnes anda secara signifikan. Kebarangkalian hadapi kesulitan untuk mendapatkan pelanggan yang baru melalui media sosial sangat tinggi.
Tak semua orang boleh datang ke kedai anda untuk melihat produk atau menggunakan servis anda. Cara mudah mereka dapat melihat apa yang bisnes anda tawarkan adalah melalui media sosial.
Melalui media sosial juga pelanggan boleh terus membuat belian terhadap barang yang mereka mahukan. Bukankah ini jauh lebih menjimatkan daripada membuka kedai fizikal?
2. Kurang sumber maklumat
Selain platform carian seperti Google, Wikipedia, ChatGPT dan sebagainya, media sosial juga merupakan platform sumber maklumat tentang trend, keutamaan dan keperluan pasaran.
Ini kerana semakin ramai individu yang menggunakan media sosial sebagai tempat menyebarkan ilmu serta info-info terkini.
Dengan mengetepikan penggunaan media sosial, anda mungkin kehilangan perspektif penting tentang apa yang diingini oleh pelanggan dari semasa ke semasa dan bagaimana mengoptimumkan strategi bisnes.
Ini akan mengurangkan kebolehan serta pengetahuan anda dalam memenuhi keperluan pelanggan dengan berkesan.
3. Hilang peluang komunikasi dengan pelanggan
Jika pelanggan tidak datang ke kedai, bagaimana anda nak berkomunikasi dengan mereka dan memberitahu tentang produk jualan? Adakah anda perlu telefon atau whatsapp mereka?
Sesetengah individu akan merasa terganggu jika anda menghubungi mereka untuk menyebarkan iklan-iklan produk terbaru.
Melalui media sosial membolehkan anda bertanya khabar, menjawab pertanyaan, memberikan sokongan kepada pelanggan dan membina hubungan yang lebih dekat tanpa mengganggu privasi mereka.
Jika anda tak menggunakan media sosial dengan maksimum, anda mungkin kehilangan peluang untuk berhubung dengan pelanggan terutama yang berada jauh dari lokasi anda.
4. Jenama kurang dikenali
Tanpa menggunakan media sosial, jenama anda sukar untuk dikenali. Melainkan bisnes anda ada banyak duit untuk membuat pelaburan dalam pemasaran seperti iklan atau billboard.
Jenama anda juga bakal ketinggalan di belakang pesaing yang memaksimumkan penggunaan media sosial.
5. Tiada kempen pemasaran digital
Ada yang percuma, kenapa nak habiskan duit dalam pemasaran? Lebih-lebih lagi bisnes yang baru bertapak dan boleh berjimat untuk kegunaan lain.
Media sosial ada menyediakan pelbagai cara untuk memasarkan produk atau perkhidmatan dengan kos yang rendah. Jangan lepaskan peluang untuk bangunkan kempen pemasaran yang berkesan dan memperluaskan pasaran anda.
Manfaatkan penggunaan media sosial
Walau bagaimanapun, tak semua perniagaan memerlukan penggunaan media sosial. Ada bisnes yang punyai jenama dan strategi yang kuat dan memerlukan pemasaran yang berbeza.
Tapi itu mereka yang sememangnya bisnes dah teguh dengan pemasaran yang sedia ada. Untuk kebanyakan bisnes, penting untuk mempertimbangkan manfaat dan potensi media sosial dalam membangunkan bisnes anda.