Walaupun bulan puasa sering dikaitkan dengan lapar dan dahaga, namun kita tidak seharusnya menjadikan Ramadan sebagai bulan membeli makanan dan minuman untuk berbuka secara berlebihan.
Kita perlulah ingat kembali motif berpuasa yang sebenarnya bertujuan untuk mendidik kita supaya sentiasa bersederhana dan menjauhi amalan membazir pada bulan yang mulia ini.
Namun begitu, kebanyakan daripada kita pula gembira menyambut Ramadan kerana menganggapnya sebagai bulan pesta makanan.
Nafsu menjerat diri
Menurut Mudir Madrasah Al Ulum Ad Diniah Al Usmaniah, Pondok Tanjung Kapur, Jitra, Kedah, Ustaz Sabri Osman, apabila nafsu mula menguasai diri, keghairahan tersebut menyebabkan terdapat dalam kalangan umat Islam tergelincir daripada syariat yang dipandu oleh al-Quran dan hadis.
“Sepatutnya umat Islam perlu mengambil peluang keemasan pada bulan mulia ini untuk meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT dengan ikhlas dan sepenuh hati.
“Bukannya bermewah dengan membeli pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Jelasnya, dalam al-Quran, surah Al–Isra ayat 27 Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Tak salah tapi jangan berlebihan
Ayat ini begitu jelas menunjukkan pembaziran adalah perbuatan yang wajib dijauhi, malah atas asas inilah ulama menjatuhkan hukum haram bagi sebarang bentuk pembaziran.
“Kalau diikutkan nafsu, memang kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai juadah lebih-lebih lagi yang berwarna-warni, selain makanan atau minuman yang menjadi viral dalam laman sosial.
“Tidak salah membeli, tetapi jangan berlebihan yang akhirnya makanan itu akan dibuang begitu saja.
“Dalam soal makan pun, Rasulullah mengajar umatnya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang yang jelas membawa maksud bersederhana dalam mengambil makanan kerana ia juga ada faedah dalam konteks kesihatan,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga turut menyarakan agar umat Islam menghayati bulan Ramadan dengan sebaiknya dan tidak hanya fikirkan soal makanan saja hinggakan amal ibadah terabai.
“Semasa berbuka puasa umat Islam tidak digalakkan makan sehingga terlalu kenyang kerana akan menjejaskan seseorang itu melakukan amal ibadah seperti solat Isyak dan Tarawih.
“Malah apabila makan terlalu kenyang menyebabkan seseorang itu akan merasa malas,” tambahnya lagi.
1 Comment
Thanks.. kuatkan hati saya