Elak Fitnah, Semak Kesahihan Berita

Menyemak sesuatu berita serta memastikan kesahihan mengenainya melalui kaedah penelitian maklumat secara intensif merupakan sebahagian daripada amalan etika di dalam Islam.

Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan dahulu kebenaran dan ketepatannya.

Pensyarah Kanan  Akademi Pengajian Islam Kontemporari  Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis menegaskan tindakan itu bagi mengelakkan sebarang unsur-unsur negatif atau perkara yang buruk berlaku seperti gejala memfitnah, menipu atau memburukkan seseorang yang lain akibat terjebak dengan bisikan hawa nafsu dan sifat kebenciaan terhadap Muslim.

Justeru, kaedah tabayyun (penelitian) ini adalah selaras dengan pendekatan Islam bagi menyahut seruan perintah Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat,ayat 6)

Allah SWT memerintahkan kepada orang-orang yang beriman supaya benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan.

Kebanyakan ahli tafsir menyebut turunya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’ith ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq. Riwayat Ibnu Kathir menyatakan bahawa dalam perjalanan menuju perkampungan Bani Mustaliq itu, al-Walid merasa takut dan gentar.

Lalu al-Walid bergegas pulang sebelum sempat sampai ke perkampungan Bani Mustaliq dan mengkhabarkan berita palsu kepada Rasulullah SAW bahawa al-Harith enggan menyerahkan hasil kutipan zakat itu, malah mengambil tindakan untuk membunuhnya.

Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan utusannya kepada al-Harith untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan oleh al-Walid.

Dalam perjalanan, utusan Rasulullah SAW itu bertemu dengan al-Harith dan rombongannya yang sedang menuju kepada Rasulullah SAW.

Dalam pertemuan itu, al-Harith bertanya kepada utusan itu, Kepada siapakah kamu semua diutuskan.

Mereka menjawab kepadamu. Al-Harith bertanya lagi mengapa kamu diutuskan kepadaku? Mereka menjawab: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengutuskan al-Walid bin `Uqbah kepadamu untuk mengambil hasil kutipan zakat.

Dia berkata bahawa kamu enggan menyerahkan zakat, bahkan bertindak akan membunuhnya. Lantas al-Harith berkata: “Tidak! demi Allah yang mengutus Muhammad dengan kebenaran, aku tidak melihat al-Walid pun dan dia tidak datang kepadaku”.

Apabila al-Harith dan rombongannya tiba di hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu enggan menyerahkan hasil kutipan zakat dan cuba membunuh utusanku.

Maka al-Harith berkata: “Tidak! Demi Allah yang mengutus engkau dengan kebenaran, aku tidak berbuat demikian. Lalu turunlah ayat 6 surah al-Hujurat. (Tafsir Ibnu Katsir)

Selain itu, Islam mengingatkan umatnya agar tidak sewenang-wenangnya  menyebarkan berita yang diterima terutama jika ia melibatkan aib dan maruah seseorang.

Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aibnya di Hari Kiamat nanti.” (Riwayat Muslim).

Begitulah bentuk etika Islam yang memberi perhatian serius terhadap umatnya agar sentiasa berakhlak mulia dan bersangka baik serta tidak gopoh dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu berita.

Kegagalan mengamalkan kaedah tabayyun dalam menerima dan menyebarkan berita akan memberi dampak musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang tiada berkesudahan di dunia dan akhirat.

Hal ini dinyatakan secara jelas melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat keenam sebagaimana yang telah dibincangkan secara mendalam.

Justeru ketika umat Islam sedang berhadapan dengan zaman fitnah serta ledakan teknologi dan maklumat pada masa kini dilihat semakin agresif dan sukar dibendung penularannya maka sewajarnya implementasi etika Islam melalui pendekatan tabayyun perlu dipraktikkan  sebelum menyebar, menerima, mahupun berkongsi sesuatu berita.

Kesimpulannya, kaedah Islam menyatakan jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan jika sekiranya kamu membuat dakwaan atau tuduhan hendaklah kamu mendatangkan dalil atau bukti.

Justeru kepentingan konsep tabayyun dalam etika Islam merupakan jalan terbaik dalam menangani isu penyebaran berita palsu dalam media sosial hari ini.



Leave a Reply