Baru saja 11 pagi tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan mengenai Proklamasi Darurat yang diperkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Proklamasi darurat ini diperkenan Seri Paduka Baginda selepas mendengar penjelasan dan memperhalusi pandangan pelbagai pihak termasuk Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi SPR.
Kami faham mungkin ada antara kita yang masih tak berapa jelas dengan apa yang berlaku ketika ini. Apakah kesan darurat kepada mereka?
Secara mudahnya, darurat yang dijelaskan itu tidak akan mengganggu dan mengekang kebebasan orang ramai bagi menjalankan urusan seharian.
Cuma semua penduduk di negara perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa mengikut negeri masing-masing.
Aktiviti ekonomi akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat iaitu dari 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 di negara.
Seperti dimaklumkan Perdana Menteri semalam, lima sektor perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi dibenarkan beroperasi.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan dalam masa terdekat ini. MITI bersama Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.
Selain itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan Seri Paduka Baginda dan Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan.
Wartakan Ordinan-Ordinan Darurat
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda juga BOLEH memasyhurkan beberapa Ordinan Darurat bagi bendung wabak COVID-19 seperti penggunaan aset hospital swasta, pengambil milik sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau permintaan penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit.
Ordinan-ordinan bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyhurkan Seri Paduka Baginda.
Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini.
Semua ordinan-ordinan jika dimasyhurkan nanti akan diwartakan dan boleh diketahui oleh rakyat.
Selain itu, pembentukan Jawatankuasa Bebas akan dianggotai Ahli Parlimen Kerajaan & Pembangkang serta pakar kesihatan dan berkaitan untuk mengesyorkan jika perlaksanaan darurat dapat ditamatkan lebih awal.
Apa boleh dilakukan usahawan?
Usahawan kenalah menyesuaikan diri secepat mungkin dengan situasi ketika ini. Bermula esok, bagi bisnes yang tak tersenarai dalam perkhidmatan perlu (essential services) diarahkan bekerja dari rumah (WFH).
Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi. Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja.
Berikut kami kongsikan 12 perkara perlu anda lakukan ketika ini :
- Bertenang dulu agar dapat buat perancangan dan tindakan yang betul malah berkesan dalam situasi ini.
- Betulkan mindset anda, yakinlah bahawa dalam kesusahan pasti ada kesenangannya. Kekangan dan halangan yang berlaku sudah pun kita lalui pada tahun lalu.
- Fokus untuk membantu lebih ramai orang di luar sana.
- Bina & menguatkan hubungan bisnes anda bersama pelanggan-pelanggan sedia ada. Database anda pastinya sangat membantu.
- Dalam tempoh ramai orang berada di rumah ini, inilah waktu untuk kita beri value bukannya menjual.
- Fokus pada peluang-peluang segera yang ada di sekeliling anda.
- Jangan melihat keadaan ketika ini sebagai masalah sebaliknya lihat ia sebagai peluang untuk anda dapat berkembang.
- Fokus dengan apa yang ada depan mata. Lakukan apa yang dalam kawalan anda.
- Fokus pada keputusan dan hasil ketika ini dan apa langkah seterusnya.
- Jangan terlalu tumpu keadaan sekeliling yang membawa ke arah negatif.
- Lihat apa perkara betul dilakukan dan perkuatkan lagi manakala perkara yang tak betul ambil maklum lantas move on.
- Sentiasa bersyukur dan menjadi lebih bermanfaat kepada orang lain dengan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
Kita boleh harungi tempoh ini dengan berbekalkan ilmu, bimbingan malah pengalaman yang sudah ada pada tahun lalu. RichWorks juga akan bersama-sama usahawan yang ingin dibimbing untuk mengharungi situasi ketika ini. #KitaJagaKita
1 Comment
Alhamdulillah terima kasih Doc ATA’s kongsian yang sangat bernilai ini . Moga Allah berkati kepada pembaca . Jasa dan usaha Doc Allah tak Akan sia siakan