Iklan terbaharu jenama mewah, Louis Vuitton telah mendapat reaksi yang pelbagai kerana ia memaparkan dua bintang bola sepak terhebat, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi pada permulaan Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Dirakam oleh jurugambar potret Amerika Annie Leibovitz, kempen itu diumumkan sehari sebelum Piala Dunia bermula, di mana Ronaldo dan Messi dilihat bermain catur di atas beg bimbit Louis Vuitton.
“Victory is a state of mind. Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang ditawan oleh Annie Leibovitz untuk Louis Vuitton. Selain tradisi lama bagi membawa pulang trofi sukan paling diidamkan di dunia, Maison juga mahu meraikan dua pemain bola sepak paling berbakat pada hari ini, ” kata satu kenyataan di laman LinkedIn jenama tersebut.
Pengeluaran iklan kreatif itu serta-merta telah menarik perhatian ramai merentas platform sosial, dengan sesetengah pihak mengatakan kedua-dua pemain bola sepak itu terpaksa menyesuaikan diri dengan papan catur beg pakaian yang pelik.
“Dedikasi yang mengagumkan kepada permainan!” ujar peminat di media sosial. Sementara itu, ramai berpendapat bahawa kedua-dua negara yang diwakili iaitu Argentina dan Portugal mempunyai peluang yang cerah di Piala Dunia, “Ia akan menjadi cerita yang indah jika kedua-dua legenda ini bertemu di final,” ujar warganet di laman LinkedIn.
Menariknya, foto tersebut turut dikongsikan oleh Ronaldo dan Messi di laman Instagram mereka yang semestinya mendapat jutaan ‘likes’ di akaun masing-masing.
Louis Vuitton bukanlah satu-satunya jenama yang berfikir di luar kotak bagi promosi Piala Dunia pada tahun ini.
Terbaharu, iklan kempen daripada Nike, Footballverse, telah menggunakan grafik komputer bagi menampilkan bintang bola sepak baharu yang bermain dalam kejohanan akan datang dengan pemain bola sepak legenda untuk menentukan siapa pemain bola sepak yang lebih baik di antara mereka.
Dibintangi pemain Perancis dan bintang PSG, Kylian Mbappe, legenda Brazil Ronaldinho, Ronaldo dan lagenda lain termasuk Virgil van Dijk dan Edgar Davids, iklan itu bertujuan untuk menunjukkan bahawa setiap generasi pemain meninggalkan jejak unik pada permainan selain mengembangkan dunia sukan dan memberi inspirasi kepada masa depan generasi untuk mengejar impian mereka.
Semestinya banyak yang kita boleh pelajari daripada aspek pemasaran yang dilakukan oleh Louis Vuitton ini.
Menggabungkan dua bintang ternama bola sepak dalam satu sesi penggambaran di kala kehangatan demam Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar sekarang benar-benar dapat memberi impak kepada jenama mereka.
Mungkin sebelum ini ramai yang merasakan tidak mungkin Ronaldo dan Messi mahu menjalani sesi penggambaran bersama namun Louis Vuitton telah membuktikan bahawa ia sememangnya tidak mustahil!