Hendak dulang diberi dulang,
Dulang berisi sekampit baja,
Hendak wang carilah wang,
Simpanlah sedikit sebelum berbelanja.
Siapa ada tabung ayam? Tabung buluh? Nostalgia menabung suatu ketika dahulu.
Hari ini menabung pun dah di hujung jari, dalam aplikasi perbankan pun disediakan kemudahan untuk menabung.
Antara peribahasa yang menggambarkan kebaikan menabung ialah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perumpamaan ini sangat sesuai digunakan untuk beri gambaran jelas tentang kebaikan dan faedah menabung kepada semua orang.
Jika menyimpan RM10 sebulan, setahun RM120. Tindakan ibu bapa yang segera membuka akaun simpanan adalah tindakan sangat bijak. Simpan duit raya anak-anak.
Bukan kanak-kanak sahaja perlu menabung untuk masa depan, orang dewasa juga perlu meneruskan amalan baik ini.
BERSUSAH-SUSAH DAHULU, BERSENANG-SENANG KEMUDIAN
Seramai 140,608 orang hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 bagi tempoh Mac 2020 sehingga 20 Ogos 2021.
Sebelum ini gaji masuk setiap bulan, tiba-tiba hilang kerja sekaligus hilang sumber pendapatan.
Bayangkan apa yang terjadi kepada individu yang langsung tiada wang simpanan? Ramai yang ikat perut.
Ada yang kata biar papa asal bergaya. Akhirnya diri sendiri yang merana.
Jadi, sangat beruntung buat mereka yang sudah lama menabung kerana tidak menghadapi masalah ini tetapi sebaliknya buat mereka yang tidak.
Pasca pandemik, kehidupan rakyat dilihat kian terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat.
Walaupun perlu mengurus kewangan pada waktu sukar, jangan lupa sedikit wang untuk tabung disimpan untuk kemudahan masa hadapan.
SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN
Dengan menabung, kita mempunyai simpanan untuk kegunaan masa hadapan.
Hal ini kerana wang simpanan tersebut boleh dijadikan sebagai sumber kewangan bagi kegunaan tertentu.
Misalnya, ibu bapa yang membuat tabungan dari awal kelahiran anak, banyak manfaat yang akan diperoleh.
Antaranya, simpanan itu boleh digunakan untuk tujuan melanjutkan pelajaran. Tak perlu nak buat pinjaman. Itu jauh lebih baik.
MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA
Budaya menabung haruslah diterapkan di dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana banyak faedah dan juga kebaikan untuk jangka masa yang panjang.
Apabila sudah menabung dari usia muda, pasti ketika meningkat dewasa hidup akan menjadi lebih teratur dan yang paling penting adalah berjimat cermat.
Tidak semua yang mampu berjimat cermat lebih-lebih di zaman yang serba moden ini, malah masih ada yang tidak dapat membezakan antara barang keperluan dan juga barang kehendak.
Jadi bagi mereka yang sudah lama menabung pasti lebih berjimat cermat kerana sedar akan susahnya hendak menyimpan jika tidak berjimat cermat.
Dengan berjimat cermat juga, ianya sedikit sebanyak dapatlah menyimpan lebih daripada biasa. Kita haruslah bijak dalam berbelanja supaya tidak boros di masa akan datang.
Bukan itu sahaja, jika sudah menabung dari kecil apabila meningkat dewasa tabung-tabung yang sedia ada boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut keperluan.
Ini mungkin dapat membantu sedikit sebanyak dalam menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dan mengelakkan berhutang.
Bukan setakat untuk melanjutkan pelajaran sahaja. Termasuk persiapan awal menempuh alam rumah tangga. Bagi yang nak buat kenduri majlis perkahwinan, bukan murah kosnya.
MALANG TAK BERBAU
Dalam kehidupan seharian, kadang kala kita berdepan dengan situasi yang tak diduga dan memerlukan wang kecemasan.
Hal ini kerana kita tidak dapat menjangka pada bila masa kita perlu mengeluarkan sejumlah wang bagi menanggung kos perbelanjaan sesuatu perkara yang hadir tanpa diduga seperti peribahasa “malang tidak berbau”.
Sebagai contoh kecemasan adalah seperti, bencana alam, kemalangan, kematian ahli keluarga yang terdekat atau masalah kesihatan.
Sehubungan itu, setiap individu perlu sedar bahawa keperluan wang semasa waktu kecemasan juga membuatkan amalan menabung itu sangat penting.
Benarlah kata-kata pepatah Melayu, cermat semasa banyak, jimat semasa sikit. Ketika mempunyai wang yang banyak itu bukan lesen untuk kita boros berbelanja, apatah lagi ketika kewangan agak sempit.
Memanglah duit itu tidak dapat menjanjikan kebahagiaan tetapi dengan duit seseorang itu dapat membuat diri bahagia dan juga membahagiakan orang lain.