Cegah ‘Burnout’ di Tempat Kerja Untuk Cipta Suasana Yang Positif Dengan 3 Cara Ini

burnout

Jangan ambil mudah dengan burnout. Nampak macam perkara kecil, tapi boleh jadi besar jika ianya tak dibendung dari awal.

Pernah tak anda tertanya-tanya, kenapa ada pekerja yang tiba-tiba berhenti kerja? Gaji lumayan, elaun bulanan pun ada, tetapi tiba-tiba sampai surat berhenti atas meja. Kenapa ya agaknya?

Salah satu punca utama adalah kerana mereka dah burnout atau keletihan yang melampau. Sebagai usahawan dan juga pemimpin perniagaan, apa tindakan anda? 

Ia mungkin tak terjadi di dalam syarikat anda, namun tak mustahil akan berlaku suatu hari nanti jika tak diambil perhatian yang serius dari sekarang.

Kenali tanda-tanda ‘burnout’ dan punca di sebaliknya

Apa itu burnout? Ia sering didefinisikan sebagai keletihan mental atau fizikal yang teruk. 

Menurut Business.com, burnout “biasanya bermula perlahan dan meningkat dari semasa ke semasa, sehingga pekerja merasakan perasaan tidak berdaya, kegagalan, kekalahan dan keterasingan.” 

Ini termasuklah kerana:

  • Beban kerja yang berlebihan
  • Konflik di tempat kerja
  • Tertekan dengan tarikh akhir projek
  • Ketidakpastian tentang tanggungjawab kerja
  • Kurang sokongan
  • Kurangan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi

Usaha untuk mencegah burnout

Beri tanggungjawab dan kepercayaan kepada pengurus atau ketua pasukan 

Dalam banyak kes, pengurus adalah orang yang paling sesuai untuk mengenal pasti tanda-tanda burnout dan dapat membantu mencegahnya daripada berlaku. 

Pengurus yang bertanggungjawab akan berusaha untuk menyesuaikan beban kerja, mencipta jangkaan yang realistik, dan sedar apabila seseorang telah bekerja terlalu kuat untuk satu jangka masa yang terlalu lama.

Ini kerana mereka yang menguruskan dan memerhatikan cara kerja dan tingkah laku pekerja di bawah jagaan mereka.

Pasukan eksekutif seharusnya menyokong pengurus yang memilih untuk bertemu dengan ahli pasukan mereka sekurang-kurangnya sekali seminggu. 

Pendekatan ini boleh membantu mengenal pasti simptom ketidakpuasan dan membuatkan pekerja merasa mereka dihargai dan didengari.

Galakkan penggunaan Annual leave (AL)

Pekerja yang paling cenderung mengalami burnout biasanya mereka yang memilih untuk sentiasa datang bekerja dan tidak pernah mengambil cuti. 

Galakkan penggunaan cuti berbayar dan masa bercuti sebagai cara untuk pekerja mengurangkan tekanan, memulihkan tenaga, dan merasa lebih bertanggungjawab dalam kerja mereka.

Adakah polisi AL syarikat anda cukup fleksibel untuk memenuhi keperluan pekerja? Adakah anda dan pasukan anda secara aktif mempromosikan kelebihan menggunakan AL yang diberi? 

Ingat, jika sebagai ketua anda tidak pernah mengambil cuti, ia menghantar isyarat kepada semua orang lain bahawa mereka juga harus terus bekerja dan akhirnya membawa kepada burnout.

Pastikan pekerja mempunyai peralatan dan sumber yang betul

Jika pekerja anda menggunakan teknologi yang sudah lapuk dalam pekerjaan mereka, ini boleh menyebabkan tekanan tambahan dan potensi burnout. 

Sediakan alat dan sumber yang betul untuk setiap pekerja. Ini bukan sahaja mempromosikan produktiviti yang lebih besar, tetapi juga dapat mengurangkan tahap tekanan bekerja kerana mereka dilengkapi dengan alat dan perisian yang memudahkan penyelesaian kerja.

Jadi pemimpin yang murah hati

Semua orang suka diberikan ganjaran atas kerja keras mereka. Tetapi anda tidak perlu menunggu sehingga sesuatu projek selesai untuk memberikan ganjaran atas usaha secara individu mahupun berpasukan.

Bagaimana pula dengan memberi ganjaran kepada pekerja tanpa sebab tertentu? Sama ada kad hadiah, masa rehat tambahan, peluang untuk pulang awal atau mungkin sediakan snek yang lazat di ruang rehat. 

Ganjaran ini bukan saja dapat menggembirakan pasukan anda, malah boleh membantu memotivasikan mereka dan membuat mereka merasa dihargai dan difahami.

Pekerja dihargai pemimpin dihormati

Dengan mengikuti panduan ini, anda boleh membantu mencegah burnout di tempat kerja dan memastikan persekitaran kerja yang sihat, produktif, dan positif untuk semua orang. 

Tempat kerja yang bebas dari burnout bukan sahaja meningkatkan moral dan produktiviti pekerja tetapi juga membantu organisasi mencapai kejayaan yang mampan dan dihormati. 

Apabila pekerja merasa dihargai, didengar, dan mempunyai keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, mereka akan lebih cenderung untuk memberikan yang terbaik dalam pekerjaan mereka dan menghormati pemimpin. 

Jadi, mari kita semua berusaha untuk mencipta tempat kerja yang seimbang dan menyokong kesejahteraan setiap individu. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, tetapi juga kepada keseluruhan organisasi, memastikan pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang.

Artikel terbaru

Leave a Reply