Solat merupakan ibadah yang sangat penting dan wajib dilakukan.
Imam Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa nabi bersabda, “Solat itu tiang agama. Sesiapa yang meninggalkannya, dia meruntuhkan agama.”
Dalam konteks melaksanakan solat pula, terdapat dua perkara yang wajib dijaga, iaitu khusyuk dan memastikan agar solat dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan.
Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati.
Mengikut Imam Bukhari dan Muskim, sahabat Abdullah ibn Mas’ud pernah bertanya kepada Nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?”
“Solat tepat pada waktu.”
Namum, ada segelintir umat Islam yang masih malas atau ambil ringan untuk menunaikan kewajipan ini.
Macam mana nak buang rasa malas kepada rajin mendirikan solat?
1. Ingat kesusahan pada hari akhirat
Sentiasa mengingatkan diri bahawa kesusahan di dunia ini tidak terbanding dengan kesusahan pada hari akhirat kelak.
Jika susah di dunia hanya untuk bangun dan mendirikan solat, susah di akhirat adalah dengan siksaan pedih bertahun-tahun lamanya di neraka kerana meninggalkan solat.
Ini bermaksud kesusahan di dunia hanyalah sementara, sekadar ujian bagi menentukan keimanan manakala kesusahan pada hari akhirat adalah balasan atas kegagalan menghadapi ujian berkenaan.
2. Selamat dunia belum tentu di akhirat
Kita perlu sentiasa ingat selamat di dunia belum tentu akan selamat di akhirat kelak.
Allah SWT mungkin belum membalas perbuatan meninggalkan solat secara langsung ketika masih bernyawa di dunia.
Namun balasan buruk pasti akan diberikan apabila kembali menghadap-Nya di akhirat nanti.
Maka sebagaimana berusaha untuk selamat daripada bahaya dunia, begitulah perlu berusaha untuk selamat daripada bahaya akhirat.
3. Paksa diri mendirikan solat
Sentiasa paksa diri bangun mendirikan solat.
Diri yang sudah biasa meninggalkan solat pasti berasa amat sukar untuk solat lima waktu walaupun hanya sehari.
Namun sifat malas ini mesti DILAWAN walau dalam keadaan apa sekalipun.
Paksa diri melaksanakan solat bermula dengan sehari, seminggu, sebulan sehingga lama-kelamaan ia menjadi rutin harian dan berasa janggal untuk meninggalkannya.
4. Solat awal waktu
Solat pada awal waktu, berkesan untuk menghilangkan rasa malas solat akibat bertangguh.
Ini kerana semakin lama bertangguh untuk solat, semakin menebal rasa malas untuk mendirikannya maka sebaik-baiknya solat itu didirikan sejurus masuknya waktu.
Selain daripada menghilangkan rasa malas solat, orang yang solat pada awal waktu akan berasakan keberkatan waktu sehingga mampu melaksanakan pelbagai aktiviti harian yang lain.
Hati juga berasa lapang setelah kewajipan utama dilaksanakan sejak awal.
5. Bersahabat dengan orang menjaga solat
Bersahabat dengan orang yang sangat menjaga perihal solatnya.
Mintalah sahabat itu memberi peringatan setiap kali masuknya waktu solat dan paksa jika masih tidak bangun mendirikannya.
Cara ini berkesan kerana seorang sahabat yang ikhlas dalam persahabatan akan sedaya upaya mengajak sahabatnya ke arah kebaikan kerana ingin bersama-sama melangkah ke syurga kelak.
6. Istiqamah
Istiqamah menunaikan solat setiap waktu dan setiap hari.
Setelah mampu mengikis sedikit demi sedikit sifat malas solat, dirikanlahlah secara berterusan.
Apabila sesuatu ibadat itu dilakukan secara berterusan dan istiqamah, ibadat tersebut akan melekat di hati dan sukar untuk meninggalkannya lagi.
Begitulah cara membuang sifat malas solat dalam diri. Sekiranya sifat ini tidak dibuang, sukar bagi seseorang mencapai kejayaan dan kebahagiaan.
Kejayaan dan kebahagiaan dalam Islam melibatkan dunia dan akhirat.
Hanya orang yang beriman serta melaksanakan perintah Allah SWT sahaja akan mendapatkan kedua-dua hal itu.
Oleh itu, marilah sama-sama berusaha melaksanakna perintah Allah SWT termasuk menyempurnakan amalan solat agar tiang agama ini dapat berdiri dengan teguh dan menjadi satu terapi bagi fizikal serta mental.
1 Comment
terima kasih Richworks atas perkongsian yang baik