Jenama peribadi (personal branding) merangkumi nilai, misi dan personaliti adalah perkara yang anda pamerkan kepada pelanggan, rangkaian dan bakal majikan.
Jenama peribadi juga boleh digunakan bersama jenama perniagaan dengan kesan yang heba seperti meningkatkan identiti profesional dan membuka pintu untuk peluang perniagaan baharu.
Berikut adalah cara mengoptimumkan jenama peribadi anda sebagai pencari kerja.
1. Tentukan Kekuatan
Pada masa kini, adalah penting untuk mempunyai jenama peribadi untuk meningkatkan dan menguatkan identiti profesional anda.
Kenal pasti sifat untuk menerangkan jenama ideal anda sendiri contohnya saya adalah “bijak,” “menarik” dan “bersemangat.”
Kemudian, minta rakan atau rakan sekerja anda untuk membantu anda mengenal pasti tiga kelebihan dan kekuatan anda.
Langkah-langkah ini akan membolehkan anda membangunkan sepenuhnya jenama yang konsisten, mudah dikenal pasti dan berkesan.
2. Tahu Bagaimana Untuk Menampilkan Diri
Sebagai pencari kerja, anda perlu mengenali diri anda supaya mudah menjawab soalan perekrut.
Pada masa sama, anda perlu menampilkan ciri-ciri istimewa pada diri anda.
Anda perlu mengetengahkan dan menyatakan dengan baik kepada penemuduga bahawa anda adalah aset penting kepada organisasi semasa jawatan dahulu.
Sekiranya ditanya bagaimana untuk berhadapan dengan sesuatu situasi atau krisis gunakan pengalaman dan pengetahuan anda sebaiknya untuk menjawab soalan yang diajukan.
3. Ceritakan Kisah Anda
Antara cara berkesan untuk membina jenama peribadi adalah dengan menceritakan kisah anda.
Ini melibatkan kandungan seperti ciri-ciri kepimpinan dan idea kreatif.
Dalam pada itu, penonton juga suka mendengar tentang pengalaman kehidupan sebenar, walaupun cerita yang anda kongsi mungkin tidak selalunya mengenai kejayaan.
Siarkan cerita dan pelajaran hidup anda di medium seperti LinkedIn.
Kisah anda boleh membantu anda menonjol berbanding calon lain sekali gus memudahkan anda memperoleh kerjaya idaman.
4. Pakar Bidang Anda
Mulakan dengan berkongsi nasihat dan petua berguna di media sosial.
Dengan berkongsi kepakaran anda tentang sesuatu topik, anda akan mula mendapat perhatian sebagai sumber utama dan pengikut anda akan berkembang.
Fokus pada menulis kandungan yang membantu orang lain dan tidak sekali-kali bersifat promosi.
Majikan sedang mencari individu yang mempunyai jenama, pengikut dan pakar subjek.
Dengan mempunyai jenama peribadi, anda akan membezakan diri anda daripada calon lain dan juga menunjukkan nilai yang besar kepada syarikat itu.
5. Libatkan Diri Dalam Komuniti
Cuba hadiri acara yang melibatkan industri anda seperti seminar dan pameran.
Membina hubungan dengan pakar yang bereputasi dan belajar daripada pengalaman mereka membantu mewujudkan jenama peribadi anda.
Libatkan diri dalam perbualan yang bermakna sekali gus membina rangkaian.
Semoga anda memperoleh kerjaya impian anda dengan pendapatan lumayan.
Jangan lupa menyumbang kepakaran dalam bidang tersebut, organisasi, masyarakat dan agama.
Pekerjaan yang baik juga merupakan ibadah.