Terasa berat ujian ini, sudah tak nampak jalan, apa lagi yang boleh lakukan lagi? Rasa semua sudah dilakukan tapi tak ada lagi hasil, sampai bila nak lalui keadaan ini? Adakah memang sudah ditakdirkan sebegini?
Kemungkinan itulah yang bermain dalam fikiran ramai usahawan yang sangat terkesan dengan keadaan pandemik pada waktu ini. Kami faham dengan perasaan itu, apatah lagi bila kita tidak ada kepastian bagaimana nak keluar dan bangkit daripada keadaan sedemikian.
Jika dibiarkan begitu saja, tidak ada sokongan, lama-kelamaan ia boleh ‘merosakkan diri’ hingga akhirnya ada yang ambil jalan mudah untuk menamatkan nyawa sendiri. Hal ini bukannya cakap kosong sebaliknya sudah pun terjadi kejadian bunuh diri di kalangan masyarakat termasuk peniaga di negara.
Inilah realitinya, bukan saja bangsa usahawan terkesan malah anggota masyarakat yang kehilangan pekerjaan, dipotong gaji, tidak dapat mencari pendapatan, kehilangan insan dan keluarga tersayang ekoran pandemik ini. Takziah dan al-Fatihah kepada mereka yang telah meninggal dunia disebabkan virus Covid-19 ini.
Oleh itu, bagi bangsa usahawan kami ingin menyeru agar tidak terus menyerah kepada situasi dan cabaran masa ini. Tidak apa jika kita terasa berat, sedih dengan ujian yang diterima seketika namun ingatlah setiap kejadian ada hikmahnya dan apa cabaran dan musibah diterima tidak melebihi daripada kemampuan kita.
Ujian boleh hadir dalam pelbagai bentuk seperti wabak penyakit, kesakitan, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesengsaraan, bencana alam dan lain-lain.
Sesiapa yang ditimpa sesuatu ujian atau musibah perlu bersangka baik dengan Allah, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.
Sebagai manusia yang bergelar hamba, pastinya kita tidak terlepas dalam melakukan kesilapan atau dosa. Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita semua supaya sentiasa bersabar, berusaha mengubati penyakit dan bertawakal selepas segala ikhtiar dilaksanakan.
Dalam kesusahan dan ujian itu akan disusuli kesenangan
Allah mengajarkan hamba-Nya tatacara menangani musibah seperti mana dinyatakan dalam al-Quran bermaksud:
“(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah: ayat 156)
Bersabarlah, mungkin ada mengatakan ia cliche namun itulah yang perlu dilakukan pertamanya. Kita kena reda dengan apa berlaku dan berusaha serta mencari jalan untuk mengatasi ujian atau musibah yang dihadapi itu.
Selain itu, sebagai Mukmin, kita dituntut memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan menghadapi sebarang jenis musibah dan ujian serta berdoa agar musibah yang datang boleh kita hadapi.
Berikut kami kongsikan doa yang diajar Rasulullah SAW agar dijauhkan daripada perkara memudaratkan sebagaimana diriwayatkan sebahagian sahabat Nabi SAW.
Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.
Dan barang siapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” Riwayat Abu Daud (No. 5088).
Di samping berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT, kita juga dituntut agar bermuhasabah punca sesuatu musibah itu melanda.
Justeru kita disarankan agar memperbanyakkan istighfar dan merenungi dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Musibah juga mungkin berlaku disebabkan perbuatan dan kealpaan manusia sendiri.
Apa kita boleh lakukan berdepan ujian, musibah dan cabaran ketika ini
Sehubungan itu, bersabarlah pada waktu mencabar ini dan jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah untuk memohon perlindungan, memperkuatkan iman, sentiasa berpandangan baik kepada Allah dalam setiap ketentuan-Nya dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Jika tidak dapat tanganinya, beri peluang kepada diri dengan dapatkan bantuan dan sokongan daripada pihak, orang atau circle yang betul. Tidak tahu belajar dan cari jalan. InsyaAllah ada sinar di hujung terowong nanti.
Lakukanlah yang terbaik dengan berusaha, kemudian bertawakal kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Dia adalah pemilik sekalian alam ini.