Berselawat Kepada Rasulullah

Berselawat Kepada Rasulullah

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad

Ruginya bagi umat Nabi Muhammad SAW tidak berselawat kepada baginda yang berjuang sebelum ini bagi mengajar dan mendidik kita tentang Islam dan keimanan kepada Allah SWT.

Apatah lagi, Rasulullah SAW seorang insan yang sangat sayang dan kasih kepada umatnya berbanding dengan kita umatnya pada waktu ini.

Sehubungan itu, perlunya kita menunjukkan kecintaan dan sentiasa mengingati Baginda dengan memperbanyak selawat disamping mengikuti hadis dan sunah. Selawat diambil daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian. Berpandukan definisi Kamus Dewan Edisi Keempat, selawat bermaksud doa kesejahteraan ke atas Nabi.

Berselawat kepada Rasulullah bererti mengagungkan, memperbesarkan, menambahkan kehormatan dan kepujian serta memartabatkan perjuangannya yang mulia.

Ia juga menunjukkan bahawa seseorang itu bersyukur terhadap Allah yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan-Nya dan rahmat kepada seluruh alam.

Justeru itu, jom basahi lidah kita dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap hari terutama pada hari Jumaat ini. Malu rasanya, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW tidak rajin berselawat kerana Allah dan malaikat juga berselawat kepada Baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad SAW; wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Setiap selawat yang dibaca oleh umat Nabi Muhammad SAW juga akan dibentang di hadapan Baginda SAW pada setiap hari Jumaat. Justeru itu, marilah kita memperbanyak berselawat ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW sepanjang aktiviti harian.

Kita boleh mula biasakan dengan sekurang-kurangnya 20 kali selawat sebelum dan selepas bangun dari tidur dan berselawat 100 kali selepas setiap solat fardhu.

Banyak kelebihan berselawat kepada Rasulullah, ini antaranya :

  • Memperoleh syafaat, perlindungan dan pembelaan daripada Nabi Muhammad SAW di akhirat
  • Mendapat keampunan dari Allah SWT
  • Mendapat rahmat Allah SWT
  • Jiwa menjadi tenang
  • Mendapat pahala

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply