Berhati-hati memilih teman

Tidak ada manusia di alam ini dapat hidup bersendirian. Oleh itu, manusia sangat berhajat dan mengharapkan orang lain untuk sama-sama menghuni muka bumi Allah yang terbentang luas ini.

Justeru, kita sebagai manusia biasa tidak dapat lari daripada memiliki sahabat atau teman.

Boleh dikatakan setiap daripada kita memiliki teman masing-masing untuk sama-sama mengharungi suka duka dan pahit manis kehidupan yang penuh pancaroba.

Barangkali inilah di antara hikmah Allah yang tersirat di sebalik penciptaan manusia pelbagai bangsa, warna kulit dan bahasa.

Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa serta bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Bertolak dari sini, Islam sebagai ad-Din yang syumul lagi lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia tidak ketinggalan menyentuh persoalan teman atau sahabat yang sewajarnya menjadi pilihan Muslim.

Lebih-lebih lagi, pakar psikologi dan ulama tasawuf sering menekankan betapa teman mampu mempengaruhi perwatakan dan pembawaan diri seseorang. Dengan lain perkataan, teman mampu mengubah sahsiah, perwatakan, akhlak dan sebagainya.

Oleh itu, Rasulullah memberi peringatan kepada umatnya agar berhati-hati dalam memilih teman berdasarkan kepada sabdanya yang bermaksud: “Seseorang itu menurut agama sahabatnya, oleh itu seseorang Muslim hendaklah berhati-hati dengan siapakah yang perlu dia pilih sebagai sahabat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa jika temannya adalah orang yang baik dan soleh, maka dia akan membantunya dalam menyempurnakan tanggung jawabnya sebagai seorang Muslim di samping memelihara hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan dalam konteks persahabatan iaitu memelihara temannya daripada terjebak ke kancah maksiat serta kejahatan, menjaga maruah kehormatannya dan sebagainya.

Sebaliknya, jika temannya itu orang yang jahat dan toleh, akibatnya amat buruk dengan kesudahannya sudah pasti dia berada dalam kancah kejahatan serta kedurjanaan yang terlarang.

Akhirnya, dia akan menyesal tanpa noktah penghujungnya sebagaimana kisah yang dirakamkan Allah tentang perihal orang yang tersilap memilih teman semasa di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata: ‘Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama Rasul! Kecelakaan besarlah bagiku semoga (dulu) tidaklah aku menjadikan si polan itu teman akrabku. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku daripada al-Quran ketika al-Quran ini telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia.'” (Surah al-Furqan ayat 28 – 29)

Sehubungan itu, Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi dalam tulisanya bertajuk Teman sejati: Pendorong ke arah amal soleh menegaskan Islam meletakkan garis panduan untuk kita memilih teman yang soleh dan sejati. Rasulullah mengajar kita semua agar memilih sahabat yang mendorong ke arah kebajikan dan amal soleh.

Ini kerana setiap daripada kita mudah terpengaruh dengan sifat, agama dan peribadi teman.

Sehubungan itu, teman yang baik lagi soleh dan yang baik budi pekertinya amat penting untuk merangsang kita berakhlak mulia sepertinya.

Begitulah juga sebaliknya, teman yang toleh lagi jahat hanya akan mendorongkan kita ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang dimurkai Allah.

Begitu juga dalam perniagaan, bangsa usahawan perlu berada dalam circle yang betul supaya saling menyokong.

Berada dalam circle yang postif akan membawa lebih banyak kebaikan seperti memberi inspirasi, bertukar pendapat dan ilmu.

Artikel terbaru

Leave a Reply