Bergurau Ada Batasnya, 6 Syarat Bergurau

Bergurau Ada Batasnya, 6 Syarat Bergurau

Islam menggalakkan umatnya supaya mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini dipenuhi dengan perasaan kasih sayang, perpaduan dan harmoni.

Islam juga menggalakkan umatnya untuk menyenangkan hati sesama saudara.

Salah satu cara untuk menyenangkan hati itu ialah dengan cara bergurau senda.

Perbuatan bergurau senda diharuskan dalam Islam kerana sudah menjadi fitrah manusia memerlukan hiburan dan keseronokan untuk memperolehi ketenangan dan kesejahteraan di samping dapat membebaskan diri daripada keresahan dan ketegangan.

Rasulullah SAW yang merupakan sebaik-baik manusia juga menjalani kehidupan sama seperti manusia biasa yang lain.

Baginda berkongsi rasa kesedihan, kesusahan dan mushibah. Baginda juga turut bergurau senda dengan para sahabat serta ahli keluarga.

6 Syarat-Syarat Bergurau

WALAUPUN bergurau dibolehkan oleh syarak, terdapat batasan atau syarat-syarat yang harus dijaga seperti:

Pertama: Tidak berlebihan-lebihan dalam bergurau sehingga hilang sifat sopan santun.

Kedua: Hendaklah gurauan itu dengan tujuan beramah-tamah atau menyenangkan hati orang lain.

Ketiga: Hendaklah dia tidak mengatakan perkara dusta ketika bergurau (tidak berkata kecuali dalam perkara yang benar).

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Termizi yang bermaksud, “Daripada Bahzi bin Hakim, saya mendengar Nabi saw bersabda: “Celaka bagi orang yang berbicara dengan pembicaraan untuk membuat manusia ketawa lalu dia berdusta, celaka baginya, celaka baginya.”

Keempat: Hendaklah gurauan itu tidak mengandungi perkara yang menakut-nakutkan orang lain.

Kelima: Hendaklah gurauan itu tidak mengandungi perkara yang menghina, mencerca, mengolak-olokkan atau menyakiti orang lain.

Keenam: Hendaklah dia tidak bergurau senda dalam perkara yang apabila diguraukan perkara itu akan menjadi sungguh-sungguh seperti nikah, talak atau rujuk sebagaimana hadis daripada Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda, “Tiga perkara boleh menjadi sungguh-sungguh dan senda guraunya pula menjadi sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk.” (Riwayat Imam Abi Daud)

Artikel terbaru

Leave a Reply