Belanjawan 2021 : Harapan Bangsa Usahawan

Belanjawan 2021 Malaysia
Belanjawan 2021 Malaysia

Pada pukul 4 petang ini, pastinya seluruh rakyat Malaysia termasuk Bangsa Usahawan – peniaga, usahawan dan majikan menantikan pembentangan Belanjawan 2021.

Keadaaan ekonomi yang tak menentu berikutan penularan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada ramai orang hingga ribuan hilang pekerjaan malah bisnes terjejas sampai ada yang gulung tikar di dunia malah Malaysia.

Sumber: Banci Ekonomi 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia

Persatuan PKS Malaysia pada Mac lalu, menganggarkan bahawa sehingga 1 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan jika 10% PKS di negara ini gulung tikar dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Ini tidak termasuk segmen PKS industri perkhidmatan yang menggaji dua juta pekerja dalam sektor peruncitan, restoran, perkhidmatan pelancongan, hotel, pusat hiburan serta kedai sukan dan rekreasi.

Ramalan Majlis Tindakan Ekonomi Negara pula, sektor pelancongan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk pulih pasti menimbulkan keresahan terutama sekali apabila melihat keadaan semasa yang dialami oleh industri. Pada ketika ini, pemilik dan pengendali hotel tidak memerlukan lebih banyak pinjaman. Apa yang mereka perlukan ialah insentif yang dapat membantu mengurangkan impak pandemik, meringankan aliran tunai dan menyokong mereka hingga mereka dapat kembali berdikari.

Berdasarkan responden Kaji Selidik Keadaan Perniagaan dan Ekonomi Malaysia (M-BECS) bagi Separuh Pertama (1H) 2020 dan Separuh Kedua (2H)  2020 yang dijalankan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) bahawa komuniti perniagaan mengharapkan kerajaan akan mengurangkan cukai korporat kepada 22 peratus bagi syarikat besar serta 15 peratus bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Bajet 2021.

Pengurangan cukai korporat itu dilihat akan membantu merangsang perniagaan untuk meningkatkan perbelanjaan modal dan merancakkan semula pelaburan langsung domestik dan pelaburan langsung asing. Sebanyak 83.9% daripada 828 responden mengharapkan pengurangan cukai korporat, 46.7% responden mengharapkan penggantungan levi pekerja asing pada 2021 atau pengurangan 50 peratus dalam levi pekerja asing dan 40.3% responden menjangkakan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 3.0% dalam Belanjawan 2021.

Majoriti responden iaitu sebanyak 71.4% pula menjangkakan mereka mampu mengharungi impak penularan COVID-19, namun mengakui perjalanan sukar melangkah ke depan.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa Bajet 2021 dirangka berlandaskan empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Jelasnya ketika ucaptama di Invest Malaysia 2020, bagi memacu pertumbuhan ekonomi, antara bidang yang akan diterapkan di bawah tema itu merangkumi usaha untuk memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan keyakinan pengguna.

“Kerajaan bermatlamat untuk berfokus kepada keberhasilan ke arah menyokong rakyat dan perniagaan dengan lebih bersasar.

“Secara ringkas, penekanan diberikan bukan kepada jumlah dana yang disalurkan, tetapi sama ada inisiatif itu dapat memberi impak yang bermakna kepada kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Berikut kami kumpulkan beberapa harapan dan cadangan utama yang disuarakan golongan usahawan di negara dalam Bajet 2021 :

1. Melanjutkan bantuan subsidi upah sehingga 2021.  

2. Moratorium dilanjutkan secara automatik sekurang-kurangnya 3 bulan atau sehingga 6 bulan.

3. Kebenaran pengeluaran KWSP Akaun 1 sekurang-kurangnya RM10,000.

4. Pengurangan cukai korporat kepada 22% bagi syarikat besar serta 15% bagi PKS.

5. Usahawan di Sabah & Sarawak perlu diberi lebih bantuan kewangan (soft loan) untuk membolehkan mereka mempunyai daya saing dengan rakan usahawan di Semenanjung.

6. Usahawan belia dan lepasan universiti diberi modal untuk mulakan bisnes secara online .

7. Pembiayaan atau geran khas bagi memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro masuk ke dunia digital dan pembelian keperluan teknologi maklumat.

8. Usahawan wanita perlu diberi pinjaman mudah untuk memperkasakan kumpulan ini.

9. Memudahkan keperluan standard, halal dan kelulusan untuk operasi kilang yang dimiliki perusahaan PKS.

Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan nanti diharapkan dapat memberi cahaya kepada semua pihak untuk meneruskan kehidupan dengan norma baharu dan keadaan ekonomi semasa. Sebagai Bangsa Usahawan anda perlu BERSEDIA dengan apa keadaan, keputusan dan pengumuman dibuat sekalipun untuk berdepan cabaran semasa dengan ilmu, sistem dan MenThor yang dapat bantu bimbing untuk mengatasinya.

Jika Belanjawan 2021 yang diluluskan nanti buatkan usahawan mendapat penjimatan cukai atau pengeluaran daripada KWSP, jangan pula beli iPhone 12 ataupun PS5 bagi kaki game, sebaiknya buatlah pelaburan ilmu yang bermanfaat seperti marketing, cash flow dan yang berkaitan supaya bisnes yang dijalankan dapat terus berkembang dan meningkat walaupun dalam tempoh mencabar ini. Bagi yang belum buat bisnes pula, selain pelaburan ilmu anda juga boleh terus cuba buat bisnes secara part-time seperti dropship atau menjadi ejen kepada bisnes lain yang tak memerlukan modal besar malah ada yang percuma untuk merasai sendiri pengalaman sebagai seorang usahawan dan jana pendapatan. 

Moga segala langkah dan insisiatif Belanjawan 2021 yang akan dilakukan Kerajaan nanti dapat membantu seluruh rakyat Malaysia termasuk Bangsa Usahawan.

Artikel terbaru

7 Comments

Leave a Reply