Belanjawan 2021 – Apa Untuk Bangsa Usahawan?

Pada 6 November 2020, Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan Belanjawan 2021 dengan tema TEGUH KITA, MENANG BERSAMA. Ia dirangka berdasarkan 3 matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Katanya, ketiga matlamat ini merupakan kesinambungan kepada pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

“Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu melakukan yang luar biasa.

“Atas hakikat itu, Belanjawan 2021 ini mengangkat tema TEGUH KITA, MENANG BERSAMA,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 sebentar tadi.

Di bawah Matlamat Kedua Belanjawan 2021 iaitu Kelangsungan Perniagaan, fokus Kerajaan adalah untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor-sektor tumpuan dan mudah akses perniagaan.

Berikut antara perkara-perkara penting yang diumumkan untuk Bangsa Usahawan di negara :

Majikan

  1. RM1.5 bilion untuk pelanjutan Program Subsidi Upah selama 3 bulan lagi dengan lebih bersasar khusus bagi sektor pelancongan dan peruncitan dengan kadar RM600/bulan bagi pekerja bergaji RM4,000 ke bawah. Had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja bagi syarikat-syarikat besar di bawah sektor pelancongan.

2. Inisiatif pengambilan pekerja – PenjanaKerjaya:

  • Insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas dinaikkan kepada 40% daripada gaji bulanan (terhad kepada insentif maksimum RM4,000/bulan)
  • Insentif tambahan sebanyak 20% daripada gaji bulanan pekerja akan diberikan kepada majikan yang mengambil pekerja OKU, penganggur jangka panjang, dan pekerja yang diberhentikan.
  • Insentif tambahan sebanyak 40% daripada gaji pekerja disalur kepada majikan, dan 20% disalur terus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing seperti dalam bidang pembinaan dan perladangan.

3. Kadar caruman KWSP pekerja dikurangkan kepada 9% dari 11% mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan.

Skim, Bantuan, Pinjaman & Geran

  1. Bantuan pembayaran pinjaman ditambah baik kepada peminjam B40 dan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman sehingga RM150,000:
  • Tangguh ansuran bulanan selama 3 bulan, atau
  • Kurangkan ansuran bulanan sebanyak 50% selama 6 bulan.

2. Peminjam M40 juga akan dipermudahkan dari segi proses permohonan bantuan bayaran balik. Fleksibiliti ini bermula Disember 2020.

3. RM95 juta untuk pembiayaan mikro kredit khas usahawan wanita. RM50 juta juga disediakan di bawah YaPEIM bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam Arrahnu BisNita.

4. RM2 bilion kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar di bawah BNM melalui pinjaman daripada institusi perbankan untuk membantu PKS terkesan.
RM1 bilion untuk Skim Transformasi Pendigitalan Industri bagi merancakkan aktiviti pendigitalan.

5. Dana tambahan RM150 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi. Syarat kelayakan geran dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama 6 bulan.

6. RM30 juta secara geran padanan untuk pelaburan dalam platform Equity Crowd Funding di bawah seliaan SC, dengan pengecualian cukai pendapatan 50% daripada amaun pelaburan atau terhad kepada RM50,000.

7. RM300 juta di bawah SME Bank bagi kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi.

8. Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional, JanaNiaga yang diterajui EXIM Bank, dengan RM300 juta untuk membantu PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama untuk mendapat pinjaman.

9. RM50 juta secara pelaburan padanan untuk menyokong platform peer-to-peer (P2P) terutama yang berasaskan pembiayaan invois.

10. RM1.2 bilion pembiayaan kredit mikro melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain, termasuk RM110j tambahan untuk Micro Enterprises Facility di bawah BNM.

11. Program iTekad akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa negeri dan rakan pelaksanaan.

12. RM230j pembiayaan kepada PKS melalui PUNB bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan kepada SOP COVID-19.

13. Memperkasa usahawan Bumiputera: RM510 juta disalurkan untuk pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN, PUNB dan Agrobank.

14. Memperkasa usahawan Bumiputera: RM2 bilion bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan.

15. RM25 bilion jaminan telah diberikan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan. Kerajaan akan meningkatkan jaminan sehingga RM10 bilion lagi, dengan RM2 bilion diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.

16. Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada peniaga dan penjaja dii Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong. Ia juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

17. Skim Pembangunan Nasional (NDS) bernilai RM1.4b bagi menyokong pelaksanaan pembangunan rantaian bekalan domestik dan meningkatkan penghasilan produk tempatan seperti peralatan perubatan.
Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan dan Dana Pengangkutan Awam akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dengan dana RM3.7b.
RM500j daripada keseluruhan dana skim-skim tersebut dikhususkan kepada usahawan Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan dalam sektor utama.

Keusahawanan

  1. Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro dan BizME untuk lebih 2,000 usahawan wanita. Kerajaan juga akan menyediakan program khusus kontraktor wanita Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak Kerajaan.

2. Memperkasa usahawan Bumiputera: RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh BPMB dan SME Bank.

3. Memperkasa usahawan Bumiputera: RM1.3 bilion untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.

4. Memperkasa usahawan Bumiputera: RM750 juta disediakan kepada Pelaburan Hartanah Berhad di bawah RMK-12 bagi meningkatkan nilai pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah terutama pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.

5. TEKUN akan menyediakan RM20 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India dan RM5 juta untuk pembangunan usahawan komuniti lain.

6. Bagi menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan :

  • RM25 juta bagi program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik serta program Beli Barangan Buatan Malaysia.
  • RM150 juta bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital dibawah kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro.
  • RM150 juta bagi inisiatif Shop Malaysia Online untuk menggalakkan perbelanjaan secra online yang akan memanfaatkan 500,000 usahawan tempatan.
  • RM35 juta bagi mempromosi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia dibawah Misi Perdagangan dan Pelaburan.

Cukai

1. Kadar cukai pendapatan bagi individu bermastautin diturunkan sebanyak 1 mata peratusan bagi pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

2. Potongan cukai tambahan yang diberikan kepada majikan yang menggaji bekas banduan dan bekas penagih dadah serta mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025.

3. Satu kajian menyeluruh struktur galakan cukai sedia ada sedang dilaksanakan bagi menyediakan rangka kerja galakan percukaian yang kompetifif, telus dan lebih menarik. Justeru itu, galakan cukai sedia ada yang akan tamat tahun ini akan dilanjutkan sehingga 2022.

Belanjawan 2021 ini kemudiannya akan dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat di Parlimen sebelum dibuat pengundian untuk meluluskannya. Bagi Bangsa Usahawan anda semua bolehlah mula membuat persediaan dan perancangan awal untuk menggunakan sebaiknya skim, geran, pinjaman yang bakal disediakan nanti khususnya bagi pastikan bisnes terus berdaya saing dan dapat berkembang maju.

Artikel terbaru

Leave a Reply