Berdepan Tekanan & Keresahan Berpanjangan. Lakukan 3 Amalan Ini Untuk Mengatasinya

berdepan tekanan

Cabaran, kesusahan dan keadaan yang berlaku ketika ini di mana ramai terpaksa duduk di rumah menyebabkan tekanan dan stres berlaku yang memberi kesan kepada kesihatan mental jika tidak diurus dengan baik.

Stres merangkumi beban, tekanan, kebimbangan, keletihan, konflik, panik, kemurungan dan tidak bermaya. Ia adalah tindak balas emosi, fizikal dan mental akibat perubahan dalam sesuatu keadaan yang berlaku dalam kehidupan harian seseorang.

Bahayanya stres ini ia bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti kehidupan kita malah orang sekeliling termasuk keluarga juga.

Jika tidak ditangani dengan betul boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit dan memberi kesan buruk terhadap tubuh badan kita.

Kita sering memandang ringan tentang stres namun tahukah anda kesan-kesannya yang boleh menjejaskan kehidupan malah hingga membawa maut?

Antara kesan stres kepada fizikal dan mental seperti insomnia, sakit kepala, sering lupa, susah fokus, sistem penghadaman terganggu, emosi tak stabil bahkan sakit jantung.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sebanyak 91.2% daripada lebih 100,000 panggilan diterima daripada talian bantuan sokongan psikososial memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Dari 1 Januari hingga 21 Mei, talian bantuan sokongan Psikososial KKM, Mercy Malaysia serta Talian Kasih dan Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim telah menerima sejumlah 101,150 panggilan di mana 91.2 peratus memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa ini merupakan perkara serius yang perlu kita semua beri perhatian termasuk usahawan apatah lagi mempunyai team.

Menurut laporan global Employment Hero pada tahun 2021 mengenai Kesan Covid-19 Terhadap Pemilik Perniagaan dan Pekerja melibatkan 1,000 majikan serta pekerja Malaysia mendapati 71% pekerja Malaysia bimbang tentang kesejahteraan kewangan mereka berbanding kebimbangan terhadap kesihatan fizikal (66%) dan kesihatan mental (62%

Secara keseluruhan, lebih ramai rakyat Malaysia iaitu 62% prihatin terhadap kesihatan mental mereka berbanding dengan tenaga kerja di negara lain seperti Singapura (50%), United Kingdom (49%), New Zealand (46%) dan Australia (46%) yang menunjukkan tahap kebimbangan lebih rendah.

Ketika pekerja Malaysia ditanya apa yang dapat dilakukan oleh majikan untuk menyokong kesihatan mental mereka, 70% mengenal pasti keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat sebagai inisiatif pilihan mereka, diikuti oleh perkhidmatan kaunseling yang disediakan syarikat (57%) dan peningkatan faedah kesihatan dan kesejahteraan (55%).

Kebanyakan pekerja sukar menangani masalah dihadapi di tempat kerja dan gagal mengatasi masalah itu. Mereka dikatakan gagal untuk bersikap jujur jika mengalami kemurungan.

Justeru itu, usahawan perlu menyediakan langkah berkesan untuk menanganinya. Jika gagal, ia akan merugikan organisasi kerana masalah mental di tempat kerja ibarat pembunuh senyap kepada tenaga kerja berkualiti.

Ambil kira faktor tekanan kerja dan risiko psikososial dalam mempromosikan strategi kesihatan pekerjaan. Setiap organisasi perlu sentiasa peka dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan isu kesihatan mental berterusan di tempat kerja.

Antara peranan majikan bagi mengurangkan gejala ini ialah perlunya prihatin mengenai beban tugas pekerja.

Keadaan mental seseorang pekerja akan terjejas apabila mereka diberi beban melampau batas tanpa ada sokongan pihak organisasi.

Sikap majikan tidak menjaga kebajikan dan persekitaran kerja negatif pula boleh menyebabkan pekerjanya cenderung mengalami penyakit mental seperti kebimbangan, kemurungan dan kelesuan emosi yang kemudiannya memaksa mereka mengambil jalan singkat.

Berurusan dengan pengurus dan rakan sekerja juga akan memberi kesan kepada perasaan seseorang di tempat kerja, sekali gus boleh menyumbang kepada sumber tekanan. Justeru, hubungan harmoni perlu dicapai antara pekerja dengan pekerja serta pekerja dengan majikan.

Komunikasi berkesan akan dapat meminimumkan sebarang konflik yang wujud dan ini akan meningkatkan kesetiaan pekerja terhadap organisasi.

Selain itu, leader sesebuah organisasi mesti bersikap telus dan adil kepada semua pekerja. Perlunya disediakan kemudahan untuk pekerja mendapatkan bantuan daripada pakar psikologi, kaunselor, pekerja sosial dan ahli terapi.

Sehubungan itu, kami ingin kongsikan beberapa amalan atau perkara boleh lakukan bagi menguruskan tekanan, stress dan kesihatan mental anda.

3 amalan boleh dilakukan untuk uruskan tekanan dan menyucikan jiwa anda :

  1. Taubat kepada Allah SWT.

Taubat perlu dilaksanakan dengan menginsafi kekhilafan dan maksiat yang sudah dilakukan serta disusuli tindakan menggantikan perlakuan dosa dengan perbuatan yang diperintahkan Allah.

  1. Sabar dan berdoa

Individu yang memiliki sifat sabar akan memiliki personaliti baik yang menggambarkan perasaan cintanya terhadap Tuhan. Dengan bersabar, seseorang dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak rasional dan bercanggah dengan syariat serta melakukan segala ikhtiar yang benar dalam kehidupannya.

Doa adalah suatu bentuk pengabdian dan pergantungan individu terhadap Tuhan seperti maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”

Setiap doa individu seharusnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan yakin ia akan dikabulkan Allah.

  1. Berharap hanya kepada Yang Maha Esa

Sifat optimis individu untuk mendapat rahmat Tuhan yang disediakan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh.

Sifat berharap adalah berlawanan dengan sifat berputus asa. Individu yang mempunyai sifat berputus asa adalah individu yang dianggap putus hubungan dengan Allah.

Muslim yang baik tidak sepatutnya hilang rasa optimis dan kepercayaan terhadap rahmat Allah.

Artikel terbaru

Leave a Reply