Strategi dan teknik pemasaran sentiasa berubah dari masa ke semasa. Bagi anda yang berniaga, anda perlu ikut permainan ini agar perniagaan anda dapat bersaing dengan sihat sesama sendiri.
Bagi anda yang baru atau lama libatkan diri dalam perniagaan, pasti akan melakukan beberapa kesilapan terutamanya dalam pemasaran. Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika anda tidak mempunyai ilmu serta bimbingan yang tepat.
Bagi mereka yang tidak mempunyai keistimewaan tersebut, kebingungan pasti akan membelenggu diri oleh kerana terlalu cepat mahukan hasil. Kalau anda buat silap dalam pemasaran produk anda, macam mana anda nak dapat hasil seperti yang diharapkan?
Ada beberapa kesalahan pemasaran yang harus dielakkan oleh anda semua, antaranya adalah:
1. Tidak Menentu Sasaran Pelanggan
Pemasaran yang berkesan memerlukan anda untuk lakukan tindakan. Untuk melakukannya dengan berkesan, mesej yang tepat perlu menjangkau khalayak yang betul dengan cara yang betul.
Usahawan yang berjaya telah terlatih untuk berfikir secara kritis dan lebih fokus untuk mengembangkan produk atau perkhidmatan yang kaya dengan ciri-ciri keistimewaan.
Walau bagaimanapun, strategi pemasaran dikira sebagai berjaya jika ia disasarkan pada pelanggan yang sesuai. Kaji diri pelanggan itu, dengan data tersebut anda kemudiannya boleh bertindak dengan mencari pelanggan yang lain.
Jangan bazirkan masa anda dengan tidak meletakkan target pasaran. Menyasarkan setiap individu tidak semestinya akan meningkatkan pendapatan anda, malah akan meningkatkan kos anda.
2. Mengabaikan Produk Anda
Pemasaran dan pengembangan produk adalah di mana pertumbuhan sebenar berlaku. Dari situ anda dapat lihat pertumbuhan kelompok pelanggan baru. Setiap produk yang dihasilkan ada sasaran pelanggan yang tertentu.
Usahawan tidak boleh menganggap bahawa jika mereka sudah menghasilkan sesuatu produk itu dan serahkan tugas kepada pemasaran secara bulat-bulat untuk melakukan jualan, hasil yang luar biasa akan menyusul.
Pengasas produk dan kakitangan pemasaran perlu bekerjasama untuk mendorong pemerolehan, pengekalan dan penjualan sesuatu produk melalui ujian dengan hasil peningkatan berterusan.
Kerjasama amat penting bagi memastikan segala proses berjalan dengan lancar. Jangan hanya melepaskan tangan dan membiarkan kerja pemasaran dilakukan tanpa tinjauan.
Kesalahan pemasaran ini harus dielakkan. Tingkatkan strategi pemasaran anda seiring dengan mutu produk dan sebaliknya.
3. Tidak Konsisten
Amat ditekankan betapa pentingnya “konsisten” dalam setiap tindakan.
Sekiranya anda tidak konsisten dalam menguruskan posting, sharing atau mesej lain yang anda sampaikan di seluruh platform berkenaan dengan jenama serta produk anda, ada kemungkinan besar anda akan gagal.
Jika anda tidak memberikan perhatian terhadap perniagaan anda sendiri, tidak hairanlah jika pelanggan anda juga akan meninggalkan anda.
Tanya saja pada diri anda, adakah anda akan percaya pada sesebuah jenama yang hanya hangat-hangat tahi ayam? Susah untuk lahirkan perasaan percaya pada sesebuah jenama jika ianya melibatkan wang. Jadi, sudah tentu anda tidak akan beli produk dari jenama tersebut.
Oleh sebab itulah, konsisten juga antara ciri-ciri yang perlu ada pada para peniaga dan usahawan.
4. Berfikir Anda Perlu Belanja Besar Untuk Mendapat Hasil
Kadang-kadang perkara yang paling murah memberi kesan yang lebih tahan lama daripada papan iklan.
Tambah-tambah lagi jika anda peniaga yang baru mulakan perniagaan. Orang pun belum kenal jenama anda.
Usah ambil risiko dengan mengeluarkan perbelanjaan yang besar demi mengharapkan pulangan yang lumayan. Fikir dengan bijak. Oleh sebab itu anda perlu ada ilmu jika hendak berniaga.
Apa yang penting, lihat pada sasaran pelanggan anda. tentukan di mana mereka luangkan masa dengan lebih masa. Adakah di jalan raya? Media sosial atau pasar raya? Dari situ, anda boleh pilih di mana anda harus jalankan pemasaran anda dan tentukan sekali kosnya.
Ini bukan tentang berusaha untuk menjangkau perhatian semua orang, tetapi untuk menentukan sasaran anda dan memasarkannya kepada mereka.
Perbelanjaan yang besar tidak selalunya menghasilkan pulangan yang tinggi!
Lain lah kalau anda merupakan jenama yang sudah terkenal.
5. Tidak Menguji Strategi Anda
Amat penting untuk menjalankan percubaan dalam usaha pemasaran peringkat awal untuk memaksimumkan Return of Investment (ROI) jangka panjang.
Anda boleh cuba jalankan dua hingga tiga percubaan dengan usaha pemasaran yang berlainan di pasaran yang anda telah rancang.
Melalui ujian tersebut anda boleh tahu platform mana yang memberikan hasil terbaik dan berapa kosnya.
Anda perlu lakukannya dengan rapi dan sehabis baik. Jangan lakukannya sekadar ‘asal buat’ sahaja. Jika begitu, anda mungkin akan gagal dengan cepat. Dengan hasil yang anda terima, anda sudah boleh tentukan strategi mana yang berkesan untuk dilakukan bagi pemasaran perniagaan anda.
Ujian strategi ini sangat penting kerana ia akan memberi ROI berbaloi seperti yang telah ditetapkan.
6. Menyerah Selepas Satu Kegagalan
Ini kesilapan yang paling kerap para peniaga lakukan dalam berniaga. Terutama sekali apabila ia melibatkan pemasaran produk.
Contoh situasi yang kerap dialami adalah apabila tidak ramai orang komen pada gambar atau video posting produk anda di media sosial. Bila alami situasi tersebut, terus rasa give up dan sedih! sudah tentu banyak lagi situasi lain yang berlaku, ianya terletak pada diri anda bagaimana untuk bertindak balas dengan segala kemungkinan.
“Setap cabaran hanyalah satu proses untuk menjadikan karakter anda lebih teguh dalam persediaan untuk menjadi jaguh di dalam hidup anda.” – Datuk Wira Dr Azizan Osman
Selepas satu kegagalan, anda pasti kecewa atau putus asa kerana anda tidak melihat hasil yang anda harapkan. Sekiranya anda percaya bahawa anda mempunyai sesuatu yang hebat dan menyelesaikan masalah sebenar, anda pasti akan berjaya untuk capai sesuatu.
Jangan mudah putus asa jika anda ceburi bidang perniagaan. Jadikan kegagalan atau cabaran itu sebagai pengajaran untuk anda buat yang lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan lama.
Jika anda tidak buat salah, anda tidak akan belajar sesuatu.
Untuk berjaya dalam pemasaran, anda perlu mempunyai pengetahuan mendalam tentang apa yang harus dilakukan, dan juga apa yang tidak boleh dilakukan.
Macam mana? Ada antara 6 kesalahan pemasaran di atas anda pernah lakukan? Jangan risau, masih belum terlambat untuk anda lakukan perubahan dan buat yang terbaik untuk perniagaan anda.
Melakukan kesalahan itu tidak salah, tetapi tidak menuntut ilmu itu yang salah. Belajar dari kesilapan yang pernah dilakukan oleh mereka yang sudah berjaya dan kesilapan sendiri adalah guru terbaik. Lebih padu lagi jika anda dibimbing oleh MenThor yang tepat.
Semoga dengan perkongsian kami pada kali ini dapat memberikan anda pandangan yang lebih meluas berkenaan pemasaran. Bukan hanya tahu tentang tekniknya, anda juga harus tahu tentang kesilapan yang perlu anda elakkan untuk terus melangkah dengan selesa.
Bina Bisnes Berjaya anda dengan semangat. Semoga maju jaya.