Transformasi360, 3 Hari yang Mengubah Cara Kita Melihat Hidup

hari

Baru-baru ini saya diberi peluang bertugas selama tiga hari di Transformasi360, sebuah program yang penuh dengan inspirasi, pengajaran, dan momentum yang sangat luar biasa. 

Walaupun dengan jadual yang sangat padat, kerja yang banyak dan tenaga di tahap yang tinggi, saya boleh katakan ia adalah satu pengalaman yang sangat berbaloi. 

Suasananya bukan sahaja meriah, malah penuh dengan pencetus inspirasi dan perubahan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Mungkin ini kali terakhir program sebesar ini akan diadakan. Kalau benar, saya rasa sangat bertuah kerana dapat berada di sana, menyaksikan sendiri program yang dah bantu ramai orang buat perubahan dalam hidup serta bisnes jadi lebih baik.

Hari pertama: Sedar diri dan beri lebih dari 100%

Hari pertama bermula dengan suasana yang penuh semangat. Dari awal lagi, kami diingatkan tentang satu perkara penting iaitu “how you do anything is how you do everything”.

Maksudnya, cara kita buat perkara kecil seperti menepati masa, menjaga disiplin atau memberi komitmen terhadap sesuatu perkara itulah yang mencerminkan bagaimana kita akan lakukan perkara besar dalam hidup.

Saya teringat bila Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman kata, ramai orang sabotaj diri sendiri. Nak buat sesuatu, tak buat bersungguh-sungguh dan cepat give up. Lama-lama, malas nak buat apa-apa.

Sama juga dengan impian. Kita cakap nak berjaya, tapi bila datang halangan kecil, kita mula ragu-ragu dan akhirnya berhenti.

Hari pertama juga mengingatkan kami tentang kuasa memberi lebih dari 100%. Bukan sekadar hadir secara fizikal, tapi hadir dengan hati, tenaga dan fokus. Bila kita beri lebih dari biasa, hasilnya juga akan jadi luar biasa.

Satu lagi pesanan yang menusuk jiwa adalah tentang manfaat.

“Sehebat mana pun seseorang, nilainya diukur pada berapa ramai orang yang dia beri manfaat.”

Itulah kunci sebenar kejayaan. Semakin ramai orang yang kita bantu, semakin besar peluang kita untuk naik ke tahap seterusnya. Kerana hidup ini adalah tentang memberi manfaat kepada orang lain.

Hari kedua: Magnet rezeki dan kapasiti diri

Hari kedua lebih hebat dari hari sebelumnya. Antara topik utama adalah magnet rezeki. Apa yang kita fikir, rasa, kata dan buat, semuanya akan menjadi doa. 

Kalau kita selalu cakap “tak ada duit”, maka hidup kita akan terus begitu. Susah nak buat duit. Tapi bila kita mula ubah cara berfikir, rezeki akan lebih mudah datang. Fikir, cakap dan buat benda yang baik, maka baiklah hasilnya.

Datuk Wira ada berkongsi kisah tentang bagaimana beliau sanggup bayar lebih untuk menjimatkan masa ketika bercuti dengan keluarga. 

Dari situ, saya sedar bahawa nilai hidup bukan sekadar pada duit, tapi pada masa dan pengalaman yang kita cipta bersama orang tersayang.

Duit bukan segalanya, tapi banyak perkara yang kita boleh buat dengan duit. Kalau kita tak perlukan duit, sedekah untuk keperluan orang lain. 

Selain kewangan, Datuk Wira juga tekankan 10 aspek kehidupan yang perlu dijaga termasuk kebahagiaan, silaturrahim, kesihatan, kerohanian, sumbangan dan masa. Bila salah satu tak seimbang, hidup kita mudah rasa kosong walaupun ada duit banyak.

Antara momen yang paling saya suka adalah bila beliau tekankan tentang senyuman dan kesyukuran. Dua perkara simple tapi mampu tarik lebih banyak kebaikan dalam hidup. Insya-Allah.

Hari ketiga: Kuasa hikmah dan tindakan

Hari ketiga, suasananya lebih mendalam, seperti refleksi akhir sebelum semua orang melangkah keluar membawa semangat yang baru.

Datuk Wira ingatkan bahawa ilmu takkan beri kesan kalau tidak diiringi dengan tindakan. Sama macam kita daftar gym, beli kasut sukan yang mahal, tapi kalau datang tunjuk muka je tak pernah bersenam, takkan ada hasil. 

Begitu juga dalam hidup dan bisnes, strategi tanpa tindakan, jangan harapkan hasil yang diimpikan.

Satu lagi perkara yang menyentuh hati adalah tentang hikmah. Hidup ini penuh ujian, tetapi setiap sesuatu pasti ada sebab. 

Orang yang paling beruntung adalah mereka yang mampu ambil hikmah daripada kegagalan atau kesilapan. Kata beliau, “Ilmu paling tinggi adalah hikmah.”

Hari terakhir juga dipenuhi dengan aura kerohanian. Beliau berpesan tentang redha menerima apa yang berlaku tanpa menyalahkan sesiapa, benar-benar membuatkan saya terfikir… Kadang-kadang kita stuck bukan kerana orang lain, tapi sebab kita sendiri belum mampu redha.

Sebelum menutup sesi, Datuk Wira menyatakan misinya untuk melahirkan sekurang-kurangnya 100 orang jutawan pada tahun ini. 

Katanya lagi, kita mungkin miskin hari ini, tapi jangan miskin selama-lamanya. Kita boleh bodoh hari ini, tapi jangan bodoh selama-lamanya.

Kata-kata itu jadi pembakar semangat untuk semua orang yang berada dalam dewan.

Bukan sekadar program biasa

Tiga hari di Transformasi360 bukan sekadar tentang strategi bisnes atau tingkatkan taraf kewangan anda, tapi ia lebih daripada itu. Ia tentang reset hidup, menyedarkan kita bahawa perubahan bermula dari diri sendiri.

Apa yang saya rasa paling berharga adalah suasana dewan yang penuh dengan orang yang ada semangat untuk berubah dengan tenaga yang luar biasa. Vibe ini susah nak jumpa di tempat lain. 

Bayangkan ribuan orang bersorak, menulis impian, meluahkan doa dan berjanji pada diri untuk jadi versi diri yang lebih baik, ia benar-benar terasa dalam jiwa. Seronok, teruja, sebak, semuanya bercampur baur dalam satu masa.

Dan mungkin, ini adalah Transformasi360 yang terakhir. Kalau betul tiada lagi selepas ini, ia akan jadi sejarah yang sukar untuk saya lupakan. 

Saya rasa sangat bertuah diberi peluang hadir dan bertugas selama tiga hari tersebut. Walaupun kerja banyak, penat tak terkata, tapi kepuasan yang saya dapat tak boleh diganti.

Kesimpulan

Transformasi360 mengajar saya bahawa kejayaan bukan soal siapa paling bijak atau paling kaya. Ia tentang siapa yang paling berdisiplin, paling komited dan paling banyak memberi manfaat.

Kalau anda tanya apa satu perkara paling besar yang saya belajar, jawapan saya mudah… kejayaan bermula dengan tindakan, bukan sekadar impian.

Hidup terlalu singkat untuk kita terus bertangguh. Kalau ada peluang untuk upgrade diri, sambutlah ia. Kalau jatuh, cari hikmah. Kalau susah, ingatlah bahawa itu bukan pengakhiran, tapi proses sebelum kejayaan.

Dan bila satu hari nanti saya kenang kembali, saya boleh kata dengan bangga, “Saya pernah berada di Transformasi360, program yang mengubah cara saya melihat hidup.”

Artikel berkaitan

Leave a Reply