Dari Persediaan Transformasi360 Kepada Transformasi Diri

Dari persediaan Transformasi360 kepada transformasi diri. Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih kepada semua peserta yang hadir ke program Transformasi360. Dewan penuh, sampai ada yang terpaksa duduk bersila atas lantai.

Sebelum program Transformasi360 bermula, jujur saya katakan, debarannya lain macam. Walaupun ini bukan kali pertama saya terlibat dalam event besar RichWorks, tapi kali ini lebih teruja. Dan dalam masa yang sama, berdebar-debar.

Mungkin sebab ini kali pertama program IMKK diadakan semula dalam versi baru selepas lama ‘berehat’, atau mungkin kerana saya sendiri sebenarnya sedang mencari sesuatu dalam hidup. Sesuatu untuk transformasi diri menjadi versi yang lebih baik.

Persediaan di belakang tabir yang tak semua nampak

Beberapa minggu sebelum program, suasana pejabat mula berubah. Setiap hari, ada je perbincangan dan pertukaran idea. Dari susun atur tempat duduk peserta, susunan jadual, pengurusan speaker, sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti cara nak senyum dengan peserta program. 

Kami nak yang terbaik untuk Transformasi360. Semua benda kami teliti sebab kami tahu bila peserta sampai je ke IDCC, tak ada peluang kedua untuk beri pengalaman pertama pada mereka.

Balik rumah pun, otak masih ligat fikir, “Apa lagi nak improve?” Alhamdulillah, usaha kami sangat berbaloi bila program Transformasi360 berlangsung dengan jayanya selama 3 hari berturut-turut.

Hari pertama Transformasi360

Bila program bermula, saya sepatutnya cuma jalankan tugas sebagai staf. Walau bagaimanapun, RichWorks sangat menggalakkan semua staf turut serta dalam setiap program yang dijalankan.

Sambil bekerja, sambil belajar. Syukur alhamdulillah, banyak ilmu yang saya perolehi. Tapi apa yang saya tak jangka, saya sendiri pun rasa nak berubah, nak lebih maju dalam hidup untuk orang yang tersayang.

Daripada sesi pembukaan pun, setiap kata-kata Prof. Datuk Wira Dr Azizan Osman sangat menginspirasikan. 

Bila beliau cerita pasal zaman susah dia dulu, duduk rumah flat kecil, terpaksa ketuk pintu rumah orang, saya terus rasa orang yang dah berjaya pun bermula dengan banyak cabaran. Inikan pula kita yang baru nak bermula.

Katanya, “Kita takkan berubah kalau kita tak berani buat sesuatu yang luar biasa.” Ayat tu terngiang-ngiang dalam kepala saya sampai ke hari ini.

Saya mula tanya diri sendiri, “Sampai bila nak hidup biasa-biasa? Kenapa hidup tak ada perubahan? Aku ni sebenarnya takut apa? Takut gagal, atau takut berjaya?”

Hari kedua lebih banyak ilmu yang dikongsikan

Masuk hari kedua, saya sangka saya dah ‘ok’. Tapi rupanya belum. Bila Datuk Wira bercakap tentang limited belief, saya terus rasa macam dia tengah bercakap dengan saya. 

Saya selalu fikir saya tak cukup bagus, tak cukup pandai, tak cukup layak. Dan rupanya semua itu adalah doa yang saya ulang dalam diam dan tanpa saya sedar.

Selain itu, Datuk Wira juga sentuh tentang magnet diri, tentang minda, emosi dan tindakan yang semua tu menarik realiti kita sendiri. 

Saya ambil masa duduk sekejap di tepi dewan dan pejam mata. Saya nampak jelas semua perkara yang saya sabotaj diri sendiri. Saya sendiri cipta selama ni. Dan untuk pertama kali dalam hidup saya, saya buat satu keputusan, “Aku tak nak sabotaj diri aku lagi.”

Hari ketiga penuh dengan emosi dan harapan baru

Ingatkan hari pertama dan kedua je bermain dengan emosi, hari ketiga pun sama. Datuk Wira mulakan dengan cerita tentang pengalaman beliau bertarung nyawa semasa COVID-19, betapa dia pernah berada di titik paling rendah, tapi kembali bangkit .

Kata Datuk Wira, “Hidup lebih bererti bila kita boleh memberi.” Dan ya, saya setuju. Program ini buka mata saya, bahawa hidup ini bukan hanya tentang apa yang kita dapat, tapi lebih kepada apa yang kita beri. Termasuk masa, tenaga dan kasih sayang.

Apa saya belajar dan dapat dari Transformasi360

Banyak, terlalu banyak. Setiap sesi dipenuhi dengan ilmu serta pengajaran yang membuka mata dan hati saya untuk buat perubahan.

  1. Keyakinan dalam diri – Saya tahu sekarang, saya boleh jadi lebih dari apa yang saya fikir. Saya tak nak jadi biasa-biasa, sebaliknya saya nak jadi luar biasa.
  2. Kesedaran tentang tujuan hidup – Duit itu penting, tapi bila tak ada makna dan niat yang betul, ia jadi kosong. Saya nak hidup dengan niat yang lebih jelas.
  3. Komitmen untuk terus berubah – Bukan hanya masa program, tapi setiap hari, setiap saat, saya nak terus berubah walau perlahan. Yang penting, istiqamah. Insya-Allah.
  4. Cinta pada komuniti – Saya mula nampak kenapa Datuk Wira selalu tekankan pentingnya komuniti. Kerana bila kita berada dalam circle yang positif, kita tak rasa kita seorang diri. Kita rasa disokong dan kita jadi lebih kuat. Bak kata ‘Wonderpet’, “Apa yang penting? Kerjasama.”

Apa yang berubah dalam diri saya?

Dah seminggu berlalu selepas program Transformasi360. Saya tak nak overclaim dan kata saya dah jadi orang baru sepenuhnya. Mana ada perubahan diri boleh berlaku sekelip mata. Ini bukan silap mata.

Tapi apa yang pasti, saya tahu saya bukan lagi orang yang sama macam sebelum program ni.

Saya mula jaga masa, saya mula disiplin dan saya mula kawal emosi. Walaupun bukan berubah sepenuhnya, tapi tak apalah perlahan-lahan. Semoga saya menjadi versi yang lebih baik selepas ini.

Dan yang paling penting, saya mula kembali sayang pada diri sendiri. Rasa diri ini cukup, walau masih belum sempurna.

Bukan hanya untuk peserta, tapi juga kami di belakang tabir

Sebagai staf RichWorks, saya bangga dapat jadi sebahagian daripada program yang bukan sekadar ‘kelas’, tapi sebuah perjalanan perubahan hidup ramai individu.

Transformasi360 bukan hanya transformasi hidup peserta, tapi juga transformasi kami yang berada di belakang tabir untuk menjayakannya.

Terima kasih kepada semua yang hadir, yang terlibat secara langsung dan tidak, anda semua memang terbaik! Saya sendiri adalah saksi, bahawa perubahan itu boleh berlaku, bila kita benar-benar nak. Insya-Allah.

Artikel berkaitan

Leave a Reply