Dalam konteks kepimpinan, tak boleh ada istilah syok sendiri. Jangan buat keputusan berdasarkan pendapat sendiri. Terutama sekali apabila melibatkan orang lain.
Apa yang anda suka, belum tentu orang lain suka. Apa yang anda rasa betul, belum tentu tak ada salah silap.
Sedangkan raja pun ada Penasihat Diraja, inikan pula usahawan.
Tak salah nak dapatkan pendapat orang lain di tempat kerja terutama sekali pekerja yang bekerja setiap hari dengan anda untuk mencapai matlamat bersama.
Ada suatu ketika, anda mungkin memikirkan prestasi anda dan tertanya-tanya sama ada anda mencapai matlamat dan melaksanakan tugas anda dengan secukupnya. Meminta feedback adalah perkara biasa di tempat kerja, dan ia boleh menjadi mudah jika anda mengambil langkah yang betul.
Jangan rasa anda majikan, tak boleh dapatkan feedback dari pekerja. Feedback ini sesuatu yang berharga untuk perbaiki diri dan anda tak akan dapat tanpa orang kedua, ketiga dan seterusnya.
Belajar untuk meminta feedback dengan kerap boleh membantu anda membangunkan hubungan profesional yang bermanfaat. Apabila komunikasi terbuka dan telus, lebih mudah untuk semua orang bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan matlamat dan mengatasi halangan.
7 langkah dapatkan feedback di tempat kerja
1. Bersikap terbuka dan menerima
Jadilah terbuka terhadap pendapat dan pandangan orang lain. Terima feedback dengan hati terbuka dan tunjukkan sikap yang menerima terhadap setiap feedback. Jangan cepat melatah jika pendapat yang diterima tidak seperti yang diinginkan. Nama pun minta pendapat, ambil sebagai proses memperbetulkan diri.
2. Jelaskan tujuan anda
Sebelum meminta feedback, jelaskan dengan jelas apa tujuan anda. Adakah anda mencari input mengenai produk, perkhidmatan, atau prestasi peribadi? Penjelasan ini membantu pemberi feedback memberikan maklum balas yang lebih terarah dan berkesan. Tak adalah anda nak pendapat tentang kepemimpinan tapi mereka memberi pendapat tentang pakaian pula.
3. Pilih masa yang sesuai
Pilih masa yang sesuai untuk meminta feedback. Pastikan pekerja atau rakan kongsi anda tidak sedang sibuk atau tergesa-gesa. Suasana yang tenang dan santai dapat meningkatkan keberkesanan feedback berbanding terburu-buru. Bimbang mereka akan lepaskan sekadar apa yang terlintas di fikiran saja.
4. Bina hubungan yang kuat
Penting untuk membina hubungan yang kuat dan saling percaya dengan mereka yang memberikan feedback. Ini memastikan mereka berasa selesa untuk berkongsi pandangan mereka tanpa rasa takut atau keraguan.
5. Ajukan soalan yang terbuka
Gunakan soalan yang terbuka untuk merangsang perbualan dan memberikan ruang kepada pemberi feedback untuk berkongsi pendapat mereka secara lebih terperinci. Elakkan soalan yang boleh dijawab dengan “ya” atau “tidak” sahaja kerana ada di antara mereka yang akan memilih untuk tidak bercakap lebih.
6. Terima kritikan dengan positif
Jika mendapat kritikan, terimalah dengan sikap yang positif. Jangan marah dengan kritikan kerana dalam feedback tak semestinya anda akan menerima jawapan yang menyenangkan.
Lihat kritikan sebagai peluang untuk meningkatkan prestasi anda dan bukan sebagai penilaian peribadi. Tanyakan pertanyaan tambahan untuk mendalami pemahaman. Tanyakan juga apa yang mereka harapkan dari anda.
7. Berterima kasih dan tindakbalas
Setelah menerima feedback, berterima kasih kepada pemberi feedback dan tunjukkan tindakbalas. Beritahu mereka bagaimana anda merancang untuk menggunakan feedback yang diberikan itu dan berikan perkembangan atau perubahan yang telah anda lakukan.
Mendengar untuk perubahan yang positif
Feedback bukan untuk sekadar mengisi masa lapang tetapi berperanan sebagai kompas yang membimbing usahawan ke arah kemajuan dan keunggulan perniagaan.
Mendengar suara pekerja, rakan kongsi dan pelanggan adalah kunci untuk meningkatkan produk, perkhidmatan serta keberkesanan organisasi secara keseluruhan. Dengan membina budaya terbuka terhadap feedback, usahawan dapat mencipta persekitaran yang dinamik dan responsif terhadap cabaran serta peluang baru yang muncul.
Tidak cukup hanya mendengar, tetapi juga tindak balas dan bergerak ke hadapan. Feedback yang diterima bukan sahaja memberi gambaran keadaan semasa, tetapi juga memberikan landasan untuk penambahbaikan berterusan.
Berterima kasih kepada semua yang telah berkongsi pandangan dan memberi feedback yang membina. Dengan usaha bersama, kita boleh mencorak masa depan perniagaan yang lebih baik dan lebih berjaya.