Setiap hari pasti ada pelbagai perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita terlalu fokus dengan perkara yang tak pasti dan tidak sesuai dengan keinginan hati.
Fokus pada perkara yang salah sehingga kita terlupa untuk menghargai dan bersyukur atas rezeki yang telah diberikan kepada kita.
Namun penting untuk menyedari bahawa sikap bersyukur ada daya tarikan yang tersendiri terutama dalam mencari dan menarik rezeki. Sikap bersyukur membawa kita untuk rasa bahagia dan mengajar untuk menghargai nikmat yang sering kita lupakan.
Bersyukur bererti menghargai dan mengucapkan terimah kasih atas segala hal baik yang kita terima. Akan tetapi ia bukan hanya ucapan terima kasih semata-mata, tapi dari hati yang membentuk dan mengubah cara kita melihat dunia dan menikmati hidup.
Usahawan tidak terkecuali untuk sentiasa bersyukur dengan setiap kebaikan yang diterima. Kesyukuran ini boleh menggandakan rezeki dalam perniagaan anda dan membawa kepada kejayaan yang berganda. Insya-Allah.
Tabiat bersyukur bantu tarik rezeki
1. Berdoa dengan penuh keyakinan
Doa adalah salah satu cara kita berkomunikasi dengan Tuhan. Berdoa dengan penuh keikhlasan dan keyakinan sambil rasa bersyukur atas apa yang sudah diberikan-Nya membantu membuka pintu-pintu rezeki dan mendekatkan diri kita pada-Nya.
2. Selalu mengingati nikmat yang diberi
Ingatlah nikmat yang diberikan walau nikmat kecil atau besar. Nak bersyukur tak perlu tunggu nikmat yang besar sahaja, dari nikmat yang kecillah membawa kepada nikmat yang lebih besar dengan rasa kesyukuran. Hargai setiap anugerah yang diberikan.
3. Amalkan memberi setelah menerima
Ketika kita menerima rezeki, amalkan memberi semula kepada orang lain. Pemberian boleh diberikan dalam bentuk sedekah, berterima kasih, penghargaan, hadiah dan macam-macam lagi.
Orang yang menerima gembira, anda pun akan turut sama rasa gembira dan akan memperkuatkan lagi rasa syukur dalam diri.
4. Lihat sisi positif dari setiap situasi
Setiap orang tak akan lari dari cabaran. Apatah lagi usahawan yang sedang membangunkan bisnes. Lagi besar bisnes lagi banyak cabaran yang perlu dihadapi.
Tapi jangan pandang cabaran kepada sisi yang negatif, pandang pada sisi yang positif. Meskipun dalam keadaan yang sukar, tetap bersyukur dan jadikan pengajaran dari pengalaman yang dilalui.
5. Hindari rasa tidak puas hati dan jangan mengeluh
Perasaan tak puas hati tu selalu akan ada dalam diri. Nampak orang tu berjaya, rasa tak puas hati kenapa tak berjaya macam dia. Nampak orang ni buka cawangan bisnes satu lagi, mula tak puas hati kerana cawangan kita masih ada satu sahaja.
Tak puas hati tak apa, tapi jangan keterlaluan dan jadikan ia sebagai semangat untuk buat lebih lagi. Fokus pada hal-hal yang positif, bersyukur dengan apa yang dimiliki, jangan mengeluh dan buat yang terbaik untuk capai lebih banyak lagi kejayaan.
6. Amalkan konsep memberi
Dalam setiap rezeki yang kita dapat, ada terselit rezeki orang lain juga. Memberikan sedekah dan berkongsi rezeki dengan orang lain turut meningkatkan rasa kesyukuran dalam diri kita. Dengan memberi juga membuka lebih banyak pintu-pintu keberkatan.
7. Jaga hubungan baik sesama manusia
Jagalah hubungan yang baik dengan semua orang termasuk keluarga, sahabat handai, rakan sekerja, jiran malah mereka yang anda tidak kenali sekalipun. Sikap yang positif ini dapat membantu kita untuk menarik pintu rezeki.
Usahawan jika nak berjaya perlu ada hubungan yang baik dengan pekerja, pengedar, pelabur dan juga pekerja. Jika hubungan baik ini tidak wujud, tiada siapa yang nak bekerjasama dengan organisasi anda dan sekaligus menutup pintu rezeki buat anda.
Semoga dengan membiasakan sikap bersyukur di dalam kehidupan, kita dapat mencapai kehidupan yang lebih bererti dan bahagia serta kejayaan di dalam kerjaya.