Aplikasi Twitter bakal mempunyai saingannya yang tersendiri apabila aplikasi baharu yang dipanggil Threads yang mempunyai ciri seakan-akan aplikasi milik Elon Musk itu bakal dilancarkan hari ini.
Threads milik Meta yang dapat dihubungkan ke Instagram muncul di stor aplikasi Apple pada hari Selasa yang lalu sebelum dilancarkan pada hari ini. Meta juga telah membuat ‘countdown’ di laman webnya bagi menanti detik pelancaran yang dinanti-nantikan.
Threads dikatakan akan menjadi tempat komuniti berkumpul untuk membincangkan segala-galanya daripada topik yang anda minati hari ini hingga kepada perkara yang akan menjadi tular pada keesokan harinya.
“Walau apa pun yang anda minati, anda boleh mengikuti dan berhubung terus dengan content creator kegemaran anda, bersama orang lain yang mempunyai minat yang sama, membina pengikut setia anda sendiri untuk berkongsi idea, pendapat dan kreativiti anda dengan dunia,” kongsi jurucakap Meta.
Tangkapan layar skrin mencadangkan orang ramai untuk menggunakan akaun Instagram mereka untuk log masuk ke Threads dan mengikuti kenalan sedia ada mereka.
Antara ciri yang kelihatan serupa dengan Twitter adalah termasuk hantaran semula, menyukai dan membenarkan pengguna mengehadkan siapa yang boleh membalas hantaran mereka.
Biarpun dikatakan sebagai saingan baharu Twitter, ia sebenarnya adalah nama aplikasi Meta pada tahun 2019 yang dilancarkan untuk bersaing dengan aplikasi Snapchat. Projek itu bagaimanapun ditinggalkan sebelum Meta mengekalkan penjenamaan itu pada hari ini.
Jurucakap Meta berkata syarikat itu tidak mempunyai sebarang komen mengenai pelancaran yang dirancang.
Meta akan menyertai bidang platform yang semakin berkembang termasuk BlueSky dan Mastodon yang bersaing untuk menggantikan Twitter sejak Musk mengambil alih akhir tahun lalu dan menjadi makin sukar untuk 250 juta penggunanya untuk mengakses ke laman tersebut.
Minggu lalu, Twitter mula meminta pengguna untuk log masuk bagi membaca tweet berbanding dahulu di mana sebelum ini, orang tanpa profil Twitter juga boleh melihat tweet yang dimuat naik.
Ia kemudiannya mengenakan had pula ke atas sebahagian besar pengguna yang tidak membayar untuk platform itu dan mengehadkan akaun yang tidak disahkan untuk melihat 600 tweet sehari sebelum menaikkan jumlahnya kepada 1,000 tweet.
Dengan kemunculan aplikasi Threads ini, mungkin para usahawan boleh menggunakan platform ini pula bagi memasarkan bisnes yang diusahakan. Apa saja peluang yang datang haruslah diambil sepantas yang mungkin!