Dalam setiap bulan, berapa ringgitkah anda peruntukan untuk memberi sedekah? RM1, RM10, RM100 atau RM1000?
Adakah ia mencapai lima peratus daripada pendapatan anda atau tiada langsung? Simpan jawapan anda agar ia menjadi rahsia di antara anda dengan Tuhan sahaja.
Jika ada rezeki lebih, sedekahlah dengan lebih lagi. Jika tidak mampu, sedekahlah dengan kebaikan. Jangan lupa, senyum juga adalah sedekah.
Bagaimana sedekah mampu memberikan impak yang besar?
Jangan pandang rendah dengan sedekah kerana ia mampu untuk mengubah seluruh kehidupan manusia seperti yang Tuhan janjikan. Macam susah nak percaya, tapi anda kena percaya.
Ada ramai orang yang liat nak bersedekah. Jika masuk dalam masjid, tabung masjid tu dibuat tak nampak sedangkan duit di dalam bank ada ratusan ribu ringgit.
Belum lagi yang keluarga susah dan mohon pertolongan dari segi kewangan, cepat-cepat dia kata tak ada duit.
Jika tak berkemampuan, itu tak mengapalah. Kita bercakap tentang mereka yang mampu tapi tak mahu bersedekah.
Dalam hati asyik berfikir tentang keuntungan yang diraih mereka yang menerima sedekah dan kerugian pada diri sendiri yang memberi sedekah.
Jadi, bagaimana dengan sedekah mampu membersihkan kolam jiwa sekaligus menjadikan kita manusia yang kaya, berjaya, bahagia dan diredhai?
1. Sedekah membentuk minda kaya walaupun belum bergelar jutawan
Kekayaan diukur dengan dua perkara, berapa banyak wang yang dimiliki dan berapa banyak wang yang boleh diberi.
Ada manusia kaya tetapi sedekahnya sama jumlah dengan orang yang tidak berharta. Bagi Tuhan, mereka dianggap miskin walaupun mempunyai wang yang melimpah.
Ada orang lainnya yang miskin tetapi kaya di sisi Tuhan kerana tidak pernah lokek untuk bersedekah.
Orang yang sebegini mempunyai minda yang positif dan mendefinisikan kekayaan dengan berapa banyak dia boleh memberi.
Bagi setiap sedekah yang dihulurkan, Tuhan akan menukarkannya dengan pahala berganda dan itulah wang yang akan kita bawa di akhirat kelak.
Lihatlah kekayaan dari susut ini dan kita akan merasa nikmat kaya sebelum kaya. Barulah kekayaan ini mampu membersih kolam jiwa.
“Jika anak Adam meninggal, makan amalnya terputus kecuali tiga – sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.” – Riwayat Muslim
2. Sedekah mampu menjemput rezeki
Apabila disebut soal rezeki, pemahaman kita adalah kepada rezeki yang dicari membuatkan kita terlalu fokus untuk menjalani hidup keluar kerja di pagi hari dan balik apabila petang.
Tidak cukup dengan itu, kita bersengkang mata lagi untuk bekerja lebih masa.
Ia tidak salah kerana itu adalah usaha dalam mencari rezeki. Jika tak bekerja, dari mana pula kita nak mendapatkan sumber untuk bersedekah?
Namun dalam konteks rezeki, ada formula lain yang boleh diamalkan untuk rezeki datang kepada kita.
Menurut al-Quran dan sunnah, teknik menjemput rezeki sangat banyak. Salah satu darinya adalah dengan sedekah.
Kunci kekayaan kita adalah bermula dengan memberi sedekah dan sumbangan. Tidak kira di mana hidup kita sekarang, jika kita mula memberi, Insya Allah kita akan menerima dengan lebih banyak lagi.
“Dan kamu merancang. Kami juga merancang. Dan ketahuilah perancangan Kami (Allah) yang paling baik. Paling sempurna.” – Surah ‘Ali Imran, ayat 54
3. Sedekah bukan hanya untuk kekal kaya, bahkan untuk menambahkan kekayaan
Pernahkah anda berada di dalam situasi ini? Katakanlah gaji bulanan anda sebanyak RM5000 dengan jumlah keperluan bulanan sebanyak RM3500.
Dengan berbaki RM1500 dapatlah menyimpan serta memberi sedikit hiburan kepada diri sendiri serta keluarga.
Namun setiap kali anda berusaha untuk menambah pendapatan, angkanya masih berlegar di tahap yang sama sahaja. Tidak banyak perubahan yang berlaku.
Datuk Wira Dr. Azizan Osman sering menasihatkan, jika kita ingin meluaskan rezeki, cari sebab kenapa Allah perlu tingkatkan rezeki tersebut.
Allah akan melipat kali gandakan rezeki apabila kita sedia untuk memberi dan bersedekah. Formula ini bukan hanya terhad kepada orang Islam sahaja.
Buktinya cuba anda melihat orang kaya dikalangan bukan Islam, ada ramai yang memberi sedekah secara nampak atau tidak untuk membantu golongan yang susah.
Adakah kekayaan mereka berkurang? Tidak! Malah bertambah lagi.
“Ada tiga perkara yang aku bersumpah atasnya dan akan ku sampaikan. Peganglah bersungguh-sungguh amanat ku iaitu: Tidaklah berkurang harta seseorang hamba kerana bersedekah. Tidaklah seorang hamba dizalimi dengan suatu kezaliman dan ia bersabar, melainkan Allah akan menambah kemuliaan nya. Tidaklah seorang hamba yang suka meminta-minta melainkan Allah akan membuka untuknya pintu kemiskinan.” – Hadis riwayat at-Tirmidzi
4. Bagaimana sedekah mampu kabulkan hajat?
Setiap manusia ada hajat yang sering dipanjatkan dalam doa, namun masih belum dikabulkan lagi.
Ringankan kesulitan manusia dalam apa jua bentuk sama ada kewangan, barangan, tenaga mahupun nasihat.
Apabila kita berusaha menjemput kebahagiaan dari-Nya, Dia akan berikan rezeki di luar jangkaan kita.
Mungkin ada yang masih ragu-ragu, benarkah sedekah sehebat ini? Satu nasihat daripada saya, jangan pernah meragukan kelebihan bersedekah.
“Barang siapa meringankan seseorang yang berada dalam kesulitan di dunia ini, nescaya kelak Allah akan meringankan dirinya di dunia mahupun di akhirat.” – Hadis riwayat Muslim
Jika hati anda berasa kosong, inginkan sesuatu tapi masih belum dapat, sudah berdoa masih belum bertemu jawapan, bersedekahlah dengan seikhlas hati bukan hanya sekadar nak ‘test power’ kehebatan sedekah.
Insha Allah, Tuhan akan cukupkan segala hajat keperluan anda.
1 Comment
Kehebatan sedekah tidak perlu dipertikaikan lagi.
Sebagai contoh dan melalui pembacaan sendiri, ramai ahli2 perniagaan “non-muslim” yg jatuh muflis kembali mendapatkan keuntungan yg berlipat kali ganda daripada yg telah mereka kehilangan sebelum ini setelah banyak menderma kepada pihak-pihak yg memerlukan.
Sekarang, bayangkan kita selaku peniaga-peniaga muslim mengamalkan sedekah tanpa had pada mereka yg memerlukan terlebih-lebih lagi pada saudara-saudara seagama yg sangat-sangat memerlukan sumbangan bagi meneruskan penghidupan mereka.
Akan lebih hebat pulangannya, ya? Dunia Akhirat kita dapat!