Alam ciptaan Tuhan merupakan amanah untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Sebahagian alam ini memberikan banyak kebaikan buat manusia.
Di dalam al-Quran, Allah SWT banyak menyebut tentang kejadian sungai, bukit bukau, gunung ganang, lautan dan daratan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.
Semua ini hakikatnya merupakan sebahagian kurniaan nikmat Tuhan kepada hamba-Nya.
Antara ayat al-Quran yang menyebut tentang kurniaan alam bagi manusia ialah ayat yang bermaksud: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)
Namun begitu, kejadian alam ciptaan Tuhan yang disediakan buat manusia di bumi ini sering diabaikan oleh manusia.
Menurut Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Dr Zuraimy Ali munculnya kemusnahan alam berpunca dari tangan-tangan manusia.
Ini bersesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Rum, ayat 41)
Allah SWT yang Maha Pencipta alam ini telah memerintahkan manusia untuk memakmurkan bumi ini dengan baik dan rapi sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.” (Surah Hud, ayat 61)
Jika diteliti kepada ayat al-Quran begitu jelas dan banyaknya ayat-ayat yang melarang manusia daripada melakukan kerosakan di atas muka bumi Allah. Antaranya Allah SWT berfirman bermaksud: “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 60)
Allah SWT juga menegaskan kepada manusia bahawa Dia sangat benci terhadap manusia yang menjadi makhluk perosak di atas bumi milik-Nya sebagaimana dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al- Maaidah, ayat 64)
Sebagai bangsa usahawan yang bertanggungjawab janganlah kita memusnahkan alam sekitar untuk kepentingan sendiri. Contohnya membuang sisa bahan kimia merbahaya ke dala sungai.
Sifat-sifat negatif ini harus dijauhi. Jadilah bangsa usahawan yang mendatangkan manfaat kepada alam sekitar dan makhluk. Misalnya, kita mengajar pelanggan supaya jadi pengguna yang cintakan alam sekitar dan menghargai alam sekitar menerusi kempen perniagaan dijalankan.