Ketika ini seluruh umat Islam sedang bergembira dapat meraikan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.
Alhamdulillah, dapat kita beraya setelah beberapa tahun lalu kita berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek kerana wabak COVID-19.
Peluang cuti sempena Aidilfitri ini juga pastinya tidak dilepaskan untuk bertandang ke rumah jiran, sanak-saudara dan rakan.
Amalan kunjung- mengunjungi itu amat digalakkan bagi mengeratkan kembali hubungan ukhuwah dan ikatan persaudaraan.
Walaupun masa bercuti agak singkat namun peluang pulang ke kampung pastinya dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga tercinta.
Kita dituntut meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh nikmat dan syukur selepas berjaya melatih diri sepanjang tarbiah pada bulan Ramadan lalu untuk menjadi insan bertakwa.
Berbicara mengenai amalan berziarah, didapati amalan itu semakin kurang dilakukan terutama kepada generasi muda.
Ada sebahagian yang kurang berminat lagi untuk pulang ke kampung. Begitu juga halnya ada dalam kalangan masyarakat kita tidak pulang ke kampung ketika sambutan Aidilfitri dan membawa keluarga pergi ke luar negara.
Mengimbau kenangan menyambut lebaran di kampung, suasananya lebih meriah dan penuh kemesraan.
Kanak-kanak adalah insan paling gembira. Pada awal pagi lagi mereka sudah bersiap dengan memakai pakaian berwarna-warni sebelum beramai-ramai berjalan kaki menuju ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Selesai solat sunat Aidilfitri, bermulalah aktiviti ziarah dan boleh dikatakan hampir setiap rumah akan dikunjungi untuk mengutip duit raya.
Itu sebahagian pengalaman paling menyeronokkan buat kanak-kanak ketika menyambut Aidilfitri satu ketika dulu.
Suasana itu mungkin tidak sama lagi dengan zaman kanak-kanak pada masa kini.
Terlalu banyak kelebihan dan hikmah berziarah kerana Islam memberi peluang kepada keluarga, sahabat-handai mahupun jiran tetangga bertemu dan bertanya khabar.
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Pendakwah dan juga perunding syariah, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, tradisi menyambut Aidilfitri di kampung adalah sesuatu dituntut dalam Islam kerana perayaan itu disambut bersama ibu bapa selain berkumpulnya ramai sanak-saudara.
Beliau berkata, walaupun tidak ada dalil berkaitan arahan Nabi SAW supaya pulang ke kampung, namun ulama mendefinisikan berbuat baik kepada ibu bapa itu termasuk menziarahi, memberi khidmat, bermaafan, menyayangi dan menyantuni mereka sebaik mungkin.
Nikmatilah Aidilfitri dan elakan pembaziran. Jangan lupa juga jaga kesihatan, juadah Aidilfitri memang enak dan lazat, tapi biarlah berpada.