Setiap insan di dunia ini hidup dengan perkiraan usia. Saban tahun setiap orang menghitung pertambahan usianya dengan pertambahan tahun dalam kalendar.
Masing-masing berasa bahagia dengan pertambahan usia ketika ulang tahun kelahirannya. Tidak kurang juga yang berusaha untuk merahsiakan usianya daripada diketahui orang ramai.
Hakikatnya semakin usia bertambah maka semakin hampir seseorang itu dengan kematian.
Memetik tulisan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin, Mohd Shahrizal Nasir, meskipun seseorang dikurniakan nikmat usia yang panjang, namun hakikatnya setiap hari yang berlalu pasti mendekatkan dirinya kepada kematian.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “…Kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu…” (Surah al-Hajj, ayat 5)
Tatkala usia semakin bertambah, setiap Muslim perlu menginsafi bahawa setiap detik yang dikurnia oleh Allah SWT untuk dirinya hidup atas muka bumi ini akan dipertanggungjawabkan di depan-Nya kelak. Setiap detik yang berlalu perlu dimanfaatkan untuk mendapat pahala seterusnya memperoleh keredaan daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Tidaklah kedua kaki seorang hamba beranjak pada hari kiamat sehingga dia ditanya mengenai umurnya bagaimana ia dihabiskan, mengenai ilmunya bagaimana ia diamalkan, mengenai hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana pula ia dibelanjakan serta mengenai tubuhnya bagaimana ia dimanfaatkan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Justeru, perlu diinsafi bahawa kurniaan usia yang dianugerah oleh Allah SWT turut bersamanya tanggungjawab yang akan dipersoal pada hari akhirat nanti.
Setiap masa perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana tidak ada insan yang mengetahui saat kematian yang bakal dihadapinya.
Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati.” (Surah Luqman, ayat 34)
Sesungguhnya usia umat Nabi Muhammad SAW tidak panjang seperti umat terdahulu yang hidup ratusan tahun.
Keterbatasan usia umat Nabi Muhammad perlu dijadikan iktibar supaya setiap masa dalam usia yang masih berbaki dimanfaatkan untuk mencari keredaan Allah SWT.
Malah, Rasulullah SAW sendiri dikurniakan kehidupan kira-kira 63 tahun sahaja. Rasulullah SAW menjelaskan perihal usia umatnya menerusi sabda baginda: “Usia umatku (umat Islam) antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Dan hanya sedikit daripada mereka yang melebihinya (tempoh usia tersebut).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Berkaitan usia empat puluh tahun pula, terdapat pandangan mengatakan usia terbabit sebagai titik tolak kesempurnaan akal manusia.
Usia empat puluh tahun dikaitkan dengan tempoh seseorang sepatutnya lebih matang berbanding usia sebelumnya.
Sehubungan itu, marilah kita sama-sama perbaiki kelemahan diri dan melakukan lebih banyak kebaikan.
Semoga apa yang kita lakukan di muka bumi ini penuh dengan manfaat dan diberkati oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
4 Comments
Usia semakin tuan, sesungguhnya demi masa, kita dalam kerugian
Betul tuan. Terima kasih atas perkongsian. Semoga bermanfaat!
Setiap umur yang panjang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kerana setiap yang kita lakukan di dunia ini akan dipersoalkan kelak.
Perbaiki segala kelemahan diri untuk kehidupan yang lebih baik agar dapat memberi manfaat kepada orang lain.
Bagus puan! Bersamalah kita perbaiki diri dan manfaatkan usia yang di anugerahkan oleh-Nya. Semoga dipermudahkan urusan.