Pernahkah anda mendengar tentang but Ugg? Ya, kasut but Ugg secara rasminya kini menjadi sensasi lagi.
But yang diperbuat daripada kulit biri-biri ini mula dilancarkan di California pada tahun 1970-an dan ia diilhamkan daripada kasut pantai yang digunakan oleh peluncur di Australia.
Ia mula mendapat tempat di hati ramai dan menjadi popular di awal 2000-an apabila digayakan oleh ikon fesyen.
Sejak kebelakangan ini, nampaknya ia mula menjadi pilihan di kalangan generasi muda pula.
Jenama Ugg telah membuat kemunculan semula secara beransur-ansur sejak beberapa tahun lalu selepas berehat selama hampir sedekad.
Kemunculan semula ini pada mulanya dicetuskan oleh pergerakan ‘fesyen hodoh’ (ugly fashion), di mana produk hodoh menjadi sangat ironik sehingga menjadi bergaya.
Kini, pembeli yang lebih muda membeli but platform ultra mini Ugg bernilai $150 seperti yang telah digayakan oleh Kylie Jenner dan adik-beradik Hadid sehinggakan but yang selesa ini sering kehabisan stok.
Laman carian fesyen, Lyst telah mengeluarkan indeks suku tahunan jenama terhangat pada suku keempat 2022 pada hari Khamis dan Ugg disenaraikan sebagai salah satu daripada 20 jenama teratas buat kali pertama sejak indeks itu dicipta pada 2017.
“Kuasa pengikut Gen Z yang kuat sememangnya tidak dapat dinafikan,” tulis penganalisis Lyst sambil menambah bahawa carian but ini meningkat sebanyak 82% sepanjang musim cuti dan habis dijual di kebanyakan peruncit untuk keseluruhan suku keempat.
Kemunculan semulanya telah ditunjukkan dalam kewangan syarikat induknya dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Deckers Outdoor Corp, yang juga memiliki jenama kasut Hoka, menyaksikan jualan but jenama Ugg berkembang sepanjang 2022.
Namun begitu, dalam keputusan suku tahunan terbaharunya yang dilaporkan setelah penutupan pasaran pada hari Khamis, jualan Ugg dilaporkan turun sebanyak 1.6% berbanding tempoh yang sama tahun itu sebelum ini.
Menurut eksekutif Deckers, permintaan pengguna untuk jenama Ugg masih kukuh. Tambah beliau, jualan yang kurang pada suku tersebut sebahagiannya didorong oleh isu rantaian bekalan, yang bermakna jenama itu tidak dapat stok yang mencukupi pada waktu tersebut.