Di tempat kerja, seseorang itu tidak boleh bergantung kepada kebolehan dan pengalamannya sahaja untuk menjadi pekerja yang bagus.
Sikap peribadinya juga penting, terutamanya apabila dia berhadapan dengan majikan atau pekerja lain.
Kita bekerja sebagai satu pasukan, bukan semua perkara mampu buat seorang diri.
Menurut Forbes, berikut adalah beberapa perbuatan dan sikap yang majikan ingin ada pada pekerjanya.
1. Bersikap baik
Masuk kerja dengan sikap yang baik. Anda tidak semestinya perlu gembira atau tersenyum sentiasa. Cuma kalau boleh, cuba jadi seorang pekerja yang positif, rajin membantu, tidak terlalu kritikal dan boleh bekerja secara berkumpulan.
2. Menepati waktu
Apabila tiba di pejabat, cuba pastikan yang anda menepati waktu bekerja. Lebih baik, datang lebih awal daripada yang sepatutnya.
Elak daripada datang lambat dan mengeruhkan lagi keadaan dengan pulang lebih awal. Jangan datang lambat dan kemudian terus ke kafe untuk sarapan diikuti bersembang dengan rakan walaupun dia perlu memulakan kerja. Apa yang perlu dilakukan ialah mulakan kerja terus!
3. Kerja kuat
Tunjukkan etika kerja yang kuat. Jangan mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab atau kerja. Buat sahaja kerja yang anda sepatutnya kendalikan.
Jika anda ingin menyerlahkan diri, cuba berikan 120 peratus usaha. Buat lebih daripada apa yang disuruh. Tanya pengurus sendiri jika ada apa-apa yang anda boleh bantu.
4. Tenang
Jangan ingat orang lain tidak akan perasan ekspresi muka atau bahasa badan anda setelah anda ditegur atau dimarahi. Walaupun anda rasa geram, senyum sahaja dengan sopan. Daripada melawan balik dengan marah, lebih baik anda berbicara dengan tenang.
Majikan anda akan lebih menghormati anda jika anda menyatakan masalah dan cadangan dengan jelas. Jika anda bertindak seperti seorang budak kecil, anda akan dilayan seperti seorang budak kecil.
5. Bermotivasi
Curahkan tenaga, minat dan semangat pada kerja anda. Jangan merungut atau menunjukkan rasa geram ketika anda berada di khalayak ramai.
Tiada siapa yang suka berdamping dengan seseorang yang kurang cerdik atau tidak ada motivasi untuk teruskan kerja.
Jom kita bekerja dengan ikhlas. Perbaiki niat. Majikan dan rakan sekerja gembira, kita pun senang dan gembira nak buat kerja.