5 Perkara Peniaga Kecil Jangan Lakukan

5 Perkara Peniaga Kecil Jangan Lakukan

Ramai yang inginkan perniagaan yang terus besar. Mungkin dapatkan pinjaman bank, geran kerajaan, minta bantuan kewangan daripada ahli keluarga ataupun bermodalkan sendiri puluhan atau ratusan ribu ringgit ingin memulakan perniagaan besar. BAHAYA!

Melainkan anda sedia mempunyai pelbagai pengalaman, pernah berjaya dalam perniagaan, tahu selok-belok dan turun naiknya keusahawanan, mempunyai jaringan perniagaan yang sedia besar dan hebat juga mempunyai modal besar pada waktu kecemasan sekiranya perniagaan tidak berjaya, justeru tidak salah hendak terus mulakan perniagaan besar. 

Tetapi, itu pun masih perlu berhati-hati.

Bagi yang baru memulakan perniagaan. Ini 5 perkara yang jangan dilakukan: 

1.       Jangan tergesa-gesa cari rakan kongsi

Hanya kerana seseorang itu kawan baik atau rakan sekerja lama tidak semestinya individu itu layak dan jadi calon sempurna sebagai rakan kongsi perniagaan.

Rakan kongsi terbaik biasanya seorang yang memiliki kemahiran dan pendekatannya adalah bertentangan dengan anda.

Contohnya, jika ada mempunyai kekuatan dalam kewangan, rakan kongsi pula miliki kemahiran dalam pemasaran.

Jika sudah bersedia mempunyai rakan kongsi, pastikan pilihan itu tepat.

2.       Jangan patah semangat

Keuntungan atau pulangan dalam perniagaan memerlukan masa dan proses. Nikmati prosesnya!

Secara lazimnya, sukar menemui bangsa usahawan yang mencapai kejayaan dan memiliki perniagaan yang stabil tanpa kegagalan dan kekecewaan.

Kita semua mengalaminya. Daripada putus asa, fokus untuk menjadi lebih berdaya tahan dan belajar cara mengendalikan tekanan secara produktif.

Bak kata pepatah Melayu, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Anda dah mulakan perniagaan, janganlah patah semangat dan putus asa. Terus berusaha. Jika jatuh, berdiri semula untuk melompat lebih tinggi.

3.       Jangan lupa mengapa memulakan perniagaan.

Mengapa anda lakukan perniagaan? Jika ditanya kepada 10 bangsa usahawan, mungkin ada 10 jawapan yang berbeza.

Mahu ada kebebasan kewangan, keluar daripada kemiskinan, jelas hutang piutang, beri manfaat kepada orang lain dan banyak lagi.

Jangan lupakan detik-detik ini, apabila anda dah berjaya sehingga bina empayar nanti perniagaan kisah-kisah ini boleh dijadikan kenangan dan inspirasi kepada individu lain.

4.       Jangan cuba lakukan semuanya sendiri.

Ini sangat penting. Bukan semua kena buat sendiri.

Mula-mula akan ada rasa tak percaya kepada orang lain. Rasa tak nak keluarkan sebahagian wang untuk bayar gaji pekerja.

Menjimatkan sumber kewangan adalah penting, tetapi jangan biarkan senarai tugas anda menjejaskan matlamat besar anda.

Walaupun perbelanjaan meningkat, anda boleh mula memberi tumpuan untuk melakukan kerja yang lebih baik serta menumpukan masa untuk pembangunan perniagaan.

Tindakan ini membantu anda mengembangkan syarikat jauh lebih cepat

Nak bisnes berkembang anda memang memerlukan team!

Anda juga perlukan masa untuk perkara-perkara lain. Misalnya, masa untuk beribadah, uruskan keluarga, anak-anak yang perlukan perhatian, hadir kenduri-kendara, manjakan diri di spa, dan boleh honeymoon lagi dengan pasangan. Jangan stress ya.

5.       Jangan berhenti berkembang

Dunia semakin berubah dengan lebih pantas setiap hari. Industri mungkin akan mengalami perubahan, sama ada sedikit atau monumental.

Sebagai perniagaan kecil, anda mempunyai kelebihan yang tidak ternilai dalam keupayaan untuk mengubah haluan dan menyesuaikan diri dengan lebih cepat berbanding organisasi lebih besar.

Cara terbaik untuk kekal relevan ialah membuka mata untuk perubahan, minda terbuka kepada idea baharu dan kemahiran anda dalam fleksibiliti.

Lebih besar perniagaan anda, lebih banyak boleh memberi manfaat kepada orang lain. 

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply