Lima sifat orang bertakwa ini disebut oleh Allah swt di dalam ayat 134-15, surah Ali Imran.
Dalam ayat sebelumnya, Allah memerintahkan kita supaya segera memohon keampunan-Nya setelah melakukan sesuatu kesalahan dengan menjanjikan syurga bagi orang-orang bertakwa.
1.Membelanjakan harta mereka semasa senang dan semasa susah
Mereka yang bersifat dermawan serta pemurah sama ada ketika lapang atau sempit, kaya atau miskin, suka atau duka, dan membantu membuat kebajikan sesama manusia sangat dihargai Allah.
Dia meletakkan mereka sebagai orang bertakwa.
Di dalam hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda, “Orang pemurah dekat kepada Allah, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga, jauh dari neraka. Dan orang bakhil jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh daripada syurga, dekat kepada neraka. Dan orang jahil yang pemurah lebih disayangi oleh Allah daripada orang kuat beribadat yang bakhil” (at-Tirmizi)
2. Sabar menahan kemarahan
Orang yang sabar, dan tidak mudah melenting ketika marah, adalah orang yang berjiwa besar. Malah mereka dianggap orang yang lebih kuat.
Sabda Nabi SAW. “Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergelut, hanya yang kuat itu dapat menguasai dirinya ketika marah.
3. Pemaaf
Orang yang tidak membalas kesalahan orang lain, sebaliknya bersifat pemaaf terhadap kesalahan manusia dipuji Allah.
Lihatlah Nabi SAW sebagai contoh, Baginda pernah diejek, dibaling batu hingga berdarah, malah cuba diracun. Bagaimanapun tidak membalas perbuatan perbuatan keji mereka yang melakukannya.
4. Melakukan kebaikan
Sifat orang bertakwa suka melakukan kebaikan bagi meringankan kesusahan orang lain. Mereka bersedia mengorbankan sebahagian nikmat yang diterima daripada Allah.
Itulah tanda mereka mensyukuri pemberian Allah, dan di dalam ayat ini, Allah juga menyatakan Dia mengasihi mereka.
5. Segera ingat Allah dan mohon ampun apabila lakukan kejahatan
Orang bertakwa yang sedar mereka telah melakukan kesalahan terhadap orang lain atau melampaui batas kesopanan dan menganiaya diri sendiri, akan segera ingat kepada Allah dan bertaubat.
Mereka juga bertekad tidak mengulanginya. Mereka tahu hanya Allah yang mengampuni dosa.