Kita selalu mendengar bahawa dalam kehidupan malah untuk berjaya perlu adanya minda atau berfikiran positif.
Apakah kepentingan untuk berfikiran positif ini?
Cuba anda lihat dalam kehidupan ini, jika berdepan dengan orang yang sentiasa berfikiran negatif atau sikap negatif. Apa saja yang dibuat atau berlaku selalunya tidak ada sangkaan yang baik diberikan.
Malah berkemungkinan juga kelakukan dan sikap orang itu boleh secara tak langsung menjangkiti orang lain.
Adakah anda kenal dengan orang yang terlampau negatif dalam hidup? Apakah perasaan bila berada dekat dengan orang itu?
Sebolehnya elakkan dan jauhi daripada orang itu yang boleh pengaruhi anda secara tak langsung.
Antara sebab utama segelintir orang mempunyai pemikiran dan pembawaan diri yang negatif kerana mungkin selalu gagal apabila mereka diuji. Hal ini menyebabkan rasa negatif itu menguasai dalam diri.
Usah begitu, kembali bangkit apabila anda terjatuh, biar betapa sakit pun dirasa. Bingkas dan cepat bangun jika terjatuh atau dijatuhkan adalah ciri positif yang terpuji.
Anda tidak akan berfikir terlalu lama berkenaan untung nasib atau marah kepada takdir, tetapi anda menerima sesuatu ujian yang berlaku dan anda bersedia menanganinya.
Ingatlah bahawa Allah tak akan uji hamba-Nya melebihi kemampuan.
Dalam pada itu, menurut penyelidikan dan kajian dibuat Profesor Barbara Fredrickson bersama kumpulan penyelidiknya bahawa mereka berkongsi data saintifik yang membuktikan berfikir cara positif dan mengekalkan keterbukaan hati (reda) dengan hal buruk dan negatif, dapat menjadikan seseorang lebih bersedia untuk menghadapi hari esok yang tidak tentu.
Perasaan positif dapat membangkitkan resilience dalam diri seseorang. Minda dan berfikiran positif bukan sekadar membuatkan kita tenang, bahkan membantu menerbitkan rasa reda dengan segala ketentuan dalam hidup, baik yang elok dan yang buruk.
Bagaimanapun, minda yang positif memang penting, tetapi lebih penting adalah kemampuan untuk kita terus berusaha dengan cara positif dan produktif.
Marah, merajuk dan sedih misalnya, bukan emosi yang membawa kebaikan malah sering membawa kemudaratan.
Bagi umat Islam, diwajibkan bersabar dan mendirikan solat yang mana juga usaha positif untuk mengeluarkan diri daripada kesempitan serta kesusahan. Selain minda dan berfikiran positif hanya dapat wujud dalam tubuh yang rajin berusaha dan bekerja.
Sebenarnya terdapat banyak ayat al-Quran dan pesanan daripada Nabi Muhammad SAW yang membawa mesej bertemakan fikiran positif.
Islam tidak pernah membiarkan umatnya tanpa membuat sebarang tindakan berubah ke arah lebih baik lagi.
Allah tidak sesekali mengubah kedudukan untung nasib kita, selagi kita tidak bertindak mengubahnya.
Allah juga memerintahkan hamba-Nya untuk berusaha terlebih dahulu dan tak hanya berserah sepenuhnya tanpa sebarang usaha dengan alasan untuk menghidupkan jiwa dengan sikap tawakal kepada-Nya.
Sehubungan itu, kita perlu bersikap dan berfikiran positif dan tidak sesekali menyalahi takdir sebaliknya wajib untuk mengubahnya kepada yang lebih baik dengan syarat kita hendaklah berusaha keras dan tidak berputus asa.
Cuba kita lihat ketika peristiwa agung penghijrahan Rasulullah dan umat Islam dari Mekah ke Yahtrib (Madinah) dahulu juga mempamerkan sikap positif untuk mengubah landskap dan ekosistem dakwah Islam.
Baginda tidak sesekali menyalahkan takdir ketika mana jelas menunjukkan sikap tidak menerima dan menolak ajakan dan dakwah, sebaliknya apa yang dilakukannya adalah melakukan tindakan positif dengan berhijrah ke Madinah dan berdakwah di sana sebelum kembali ke Mekah.
Moga perkongsian ini dapat memberikan anda semangat dan sentiasa minda dan berfikiran positif dalam kehidupan seharian malah bisnes yang dijalankan dalam tempoh pandemik ini.