8 Cara Tangani Stres Bekerja

8 Cara Tangani Stres Bekerja

Setiap orang yang berada dalam fasa bekerja pasti pernah merasakan tekanan bekerja.

Bekerja di pejabat atau di rumah, pasti ada cabarannya yang tersendiri. Fokus kepada tekanan kerja tidak akan membawa anda ke mana-mana, namun itu tak bermaksud anda perlu mengabaikannya.

Ada masalah yang anda tidak mampu untuk kawal. Jadi anda perlu fokus kepada perkara yang anda boleh kawal sahaja.

Banyak faktor yang boleh membawa kepada tekanan di tempat kerja seperti penat, rakan sekerja toksik, majikan panas baran, masalah peribadi dan banyak lagi faktor lain.

Dalam semua faktor ini, anda mesti belajar cara menangani tekanan kerja sebelum ia memberi kesan negatif kepada anda.

Bagaimana nak menangani stres bekerja? Walaupun tekanan kerja tidak dapat dielakkan, ada strategi pengurusan tekanan yang boleh anda gunakan untuk mengatasi tekanan pada masa ini. Berikut ialah 8 strategi untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja.

Banyakkan komunikasi

Komunikasi bukan sahaja dengan rakan sekerja, malah komunikasi dengan majikan juga sangat penting. 

Berterus-terang dengan mereka apa tekanan yang anda sedang alami. Memendam masalah tidak akan menyelesaikan masalah anda. 

Mereka mungkin ada jalan untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja. Jika anda rasa anda tidak boleh bersikap terbuka dengan bos anda, berjumpa terus dengan HR. Mereka pasti sedia membantu.

Bertanya jika tak faham

Tak faham sesuatu, terus tanyakan soalan pada orang yang betul sehingga anda faham. Berteka-teki tak akan membantu anda dalam menyelesaikan masalah. 

Fahami setiap perkara dan hala tuju tugasan anda adalah kunci kepada cara menangani tekanan di tempat kerja. Anda juga akan dapat mengenal pasti apa yang perlu dan tidak perlu anda fokuskan. 

Belajar untuk berkata tidak

Ramai orang yang bekerja ada masalah untuk berkata ‘tidak’. Setuju? 

Mereka akan  terima sahaja segala tugasan walaupun di luar bidang kuasa mereka. Akhirnya mereka berasa tertekan kerana tidak mampu untuk melaksanakan tugasan dengan komited. 

Fokus dan buat yang terbaik untuk tugasan anda dan katakan tidak untuk perkara yang anda tidak perlu lakukan.

Nak bantu tugas orang lain, pastikan tugasan anda sudah selesai dan anda mempunyai masa yang terluang agar anda tak rasa terbeban.

Beri masa untuk diri sendiri

Biasakan diri untuk datang awal ke pejabat untuk mengelakkan anda tergesa-gesa untuk memulakan tugasan. 

Apabila terasa penat dengan tugasan, berehat seketika dengan pergi berjalan-jalan, dengar lagu kegemaran atau baca buku yang dapat menaikkan semangat kerja anda. 

Pasti anda akan kembali bertenaga dan lebih bersedia untuk menangani tekanan kerja yang berlaku. Tapi jangan berehat lama-lama tau. Itu dah curi tulang namanya.

Utamakan apa yang penting

Susun tugas anda dengan teratur. Buat tugasan yang penting dahulu dan jangan fokus pada terlalu banyak tugasan dalam satu-satu masa. 

Jika tugasan tersebut memberi tekanan pada anda, ambil masa untuk rehatkan minda sebelum memulakan tugas semula. 

Belajar untuk kawal emosi

Luangkan masa untuk kenalpasti tabiat buruk serta tingkah laku negatif anda yang boleh memberi impak yang negatif kepada diri dan juga rakan sekerja yang lain. 

Anda mesti belajar untuk mengelakkan sebarang pemikiran yang negatif agar anda dapat mengatasi segala tekanan yang berkaitan dengan kerja. 

Anda bukan hanya perlu memahami dan tahu menguruskan emosi diri sendiri, malah emosi orang lain juga. Tapi tak perlu nak memahami terlalu dalam emosi orang lain, cukup sekadar tidak menimbulkan perbalahan dan salah faham di tempat kerja. 

Aromaterapi

Pelbagai kajian mendapati aromaterapi dapat mengurangkan tekanan seperti bauan lavender. Ini adalah cara untuk menghilangkan tekanan yang paling popular. 

Tapi ingat, jika di pejabat jangan gunakan bau-bauan yang terlalu kuat sehingga mengganggu rakan sekerja yang lain. Bau yang kita suka, belum tentu orang lain sukakannya juga. 

Selain bau-bauan yang menenangkan, muzik yang menenangkan juga satu lagi kaedah melegakan tekanan yang terbukti berkesan. 

Bayangkan anda berada di spa dengan bau-bauan yang sedap dihidu dan muzik yang sedap didengar, bukankah itu sangat menenangkan? Ketenangan itu anda boleh bawa ke tempat kerja.

Ubah posisi badan

Selain bau dan muzik, keadaan fizikal juga berkait rapat dengan emosi kita. Cuba sesekali anda tukar posisi badan. 

Jangan malas untuk berjalan. Jika hanya duduk dan bekerja sahaja akan lebih cepat meningkatkan tekanan anda. 

Dah bergerak dari tempat duduk anda, jangan lupa minum minuman yang menyegarkan serta dapatkan makanan ringan kegemaran anda.

Sebenarnya jika anda seorang yang normal dan sihat, tak susah nak mengatasi tekanan di tempat kerja. Anda sendiri tahu bagaimana nak selesakan diri di suatu tempat. Antara nak buat tindakan atau nak beri alasan untuk tidak membuat tindakan sahaja. 

Ingat, anda adalah pengarang cerita anda sendiri tak kira di tempat kerja atau dalam kehidupan seharian sekalipun. 

Anda mampu ubah dan tambah baik cerita anda untuk menjadi seorang yang lebih positif dan terhindar dari tekanan di tempat kerja. 

Amalkan hidup yang positif tanpa tekanan sangat penting untuk kejayaan hidup anda.

Artikel terbaru

Leave a Reply