7 Panduan Untuk Runding Harga

7 Panduan Untuk Runding Harga

Untuk anda peniaga, ini adalah kemahiran yang anda perlu ada. Jika anda musykil kenapa kos operasi perniagaan anda tak pernah turun malahan semakin meningkat, anda perlu baca tips ini sampai habis.

Tawar menawar atau runding harga merupakan satu teknik yang penting dalam perniagaan sehinggakan ahli ekonomi barat banyak membuat kajian tentangnya. Jika anda pandai dalam bab tawar menawar harga dengan pembekal anda, InsyaAllah anda dapat menurunkan kos operasi.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang, anda perlu pandai menggunakan semua ilmu yang ada, untuk bantu anda kawal kos operasi perniagaan.

Ilmu seperti ini banyak kami kongsikan di dalam program kami.
Jika anda ada sebarang masalah dalam mengembangkan perniagaan anda, atau anda dapati jualan perniagaan anda asyik statik di tahap sama atau jumlah jualan semakin menurun, anda boleh PM kami untuk kami bantu.

7 tip untuk anda runding harga :

1. Dapatkan Maklumat Jelas

Sebelum anda membuat pembelian, buat dulu beberapa kajian ringkas tentang barangan yang anda hendak beli. Anda perlu tahu tentang berapa harganya di pasaran, berapa harga seunit (jika anda nak beli secara borong), di mana anda dapat membelinya, berapa perbezaan harga yang ditawarkan oleh peniaga lain dan bagaimana kualitinya.

Sebagai contoh, jika anda hendak memborong tudung untuk berniaga, cuba dapatkan perbezaan harga dan kualiti dari beberapa pembekal. Kemudian, kenalpasti pembekal terbaik dan anda boleh mula berunding dengan mereka.

Tak guna juga, jika anda dapat harga yang murah, kualiti yang baik tetapi anda perlu mencari pembekal yang jauhnya beratus kilometer dari tempat anda. Melainkan anda boleh pastikan anda dapat pulangan terbaik.

2. Tetapkan Kualiti Dan Kuantiti

Kesilapan ramai orang ialah bila mereka mendapatkan barang pada harga murah tetapi mereka tidak mendapat kualiti yang tinggi. Atau tidak mendapatkannya pada kuantiti yang mereka mahu.

Apalah maknanya bila anda boleh dapat harga murah, tapi kualitinya tidak setimpal dan kuantiti pula sedikit. Dengan rundingan yang betul anda sepatutnya mendapatkan harga terendah, dengan kualiti tertinggi dan pada kuantiti terbanyak. Barulah berbaloi!

3. Berikan Cadangan Harga

Anda boleh memberikan cadangan harga dan kuantiti kepada peniaga. Katakannya dengan yakin dan jangan teragak-agak. Contohnya, saya nak beli barang ini 100 unit pada harga RM 5 seunit.

Teruskan beri cadangan harga sehingga pada satu tahap yang dipersetujui oleh kedua pihak. Mulakan dengan harga yang paling rendah yang anda mahu, sehingga capai satu harga yang anda bersetuju untuk bayar dan peniaga bersetuju untuk terima tanpa perubahan dalam kuantiti dan kualiti.

4. Mulakan Dahulu

Dari sudut psikologi, orang yang memulakan tawaran harga terdahulu selalunya akan menang. Ditambah lagi jika anda katakannya dengan penuh yakin dan jelas.
“Saya nak beli barang ini pada harga ini, sekarang.” Jangan teragak-agak, katakannya dengan sedikit ketegasan tapi tak perlulah sehingga kelihatan terdesak atau marah.

5. Tunjukkan Anda Tahu

Jangan tunjukkan kelemahan anda. Tunjukkan bahawa anda tahu banyak perkara tentang produk yang anda nak beli. Persiapkan diri dengan maklumat supaya anda tak ditipu.

Tunjukkan kepada mereka anda faham tentang produk tersebut, dari mana asalnya, apa bahan-bahannya, apa kualitinya, bagaimana proses pembuatannya dan lain-lain.

Tapi pastikan maklumat yang anda ada adalah betul. Jangan terlalu nak menunjuk pandai sehingga anda kelihatan seperti buat-buat pandai!

6. Beri Peluang Mereka Bercakap

Kesilapan ramai orang ialah nak terlampau menang. Mereka menawarkan harga dengan kasar dan tak beri peluang untuk pihak lain bercakap dan mengeluarkan fakta mereka.

Ingat! Kita hanya nak dapatkan produk atau perkhidmatan yang terbaik pada harga yang paling rendah yang dapat dipersetujui oleh kedua pihak, bukan nak pergi berperang!

Tunjukkan budi bahasa anda dengan beri peluang mereka bercakap dan mengemukakan fakta mereka. Kadang-kadang, kebaikan hati anda juga boleh ‘mencairkan’ hati mereka.

7. Tolak Dengan Baik

Jika persetujuan harga tidak dapat dicapai, jangan pula anda tolak dengan kata-kata kesat atau marah. Tolaklah dengan baik. Nyatakan sebab kenapa anda tak dapat nak bersetuju dengan tawaran harga yang mereka berikan.

Tinggalkan kad nama anda kepada mereka dan katakan, jika mereka tukar fikiran mereka boleh hubungi anda kembali. Silap-silap mereka akan panggil anda semula, sebaik sahaja anda melangkah keluar dari premis mereka.

Artikel terbaru

1 Comment

Leave a Reply