7 Kesilapan Dalam Online Marketing Yang Boleh Buat Anda Gigit Jari

Gigit Jari
7 Kesilapan Dalam Online Marketing Yang Boleh Buat Anda Gigit Jari

Dunia berkembang, negara semakin maju dan teknologi juga semakin canggih. Penggunaan teknologi semakin meluas bukan saja dalam dalam bidang teknologi maklumat, sains, malah juga dalam bidang perniagaan. Dengan kemajuan ini wujudlah ‘Online Marketing’ yang mampu menggantikan teknik marketing konvensional yang diguna pakai selama ini.

Online Marketing atau pemasaran secara elektronik merujuk kepada aplikasi prinsip-prinsip dan teknik pemasaran melalui media elektronik, khususnya Internet. Terma Online Marketing (pemasaran elektronik), Internet Marketing (pemasaran Internet), sering ditukar ganti, dan sering dianggap sinonim antara satu sama lain.

Online Marketing adalah proses pemasaran jenama yang menggunakan medium Internet sebagai medium utama. Ia meliputi unsur-unsur pemasaran secara langsung mahupun secara tidak langsung dengan menggunakan pelbagai teknologi untuk membantu perniagaan berhubung dan berkomunikasi dengan pelanggan.

Pemasaran ditakrifkan sebagai satu aktiviti perniagaan untuk menarik pelanggan dengan menonjolkan nilai produk atau perkhidmatan bagi tujuan penjualan produk. Maltamat dan fokus utama aktiviti pemasaran adalah sepatutnya menjana wang kepada perniagaan bukan menyebabkan perniagaan kehilangan wang.

Tetapi, seringkali peniaga terlupa akan matlamat asal pemasaran dalam keghairahan mengejar kecanggihan teknologi. Kelemahan dalam Online Marketing boleh mengakibatkan kerugian kepada perniagaan.

“Technology is nothing. What important is that you have faith in people, that they’re basically good and smart, and if you give them tools, they’ll do wonderful things with them” – Steve Job

Medium Pemasaran Elektronik

Terdapat beberapa medium elektronik yang digunakan oleh syarikat untuk memasarkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Antaranya ialah:

  1. Laman web korporat (corporate info)
  2. Laman web perniagaan (business online transaction)
  3. E-mel dan mobile marketing
  4. Laman blog
  5. Laman sosial Facebook
  6. Google
  7. Instagram
  8. Youtube

Dalam keghairahan peniaga melakukan pemasaran dan mencuba e-marketing, ramai yang tewas dan gagal dipertengahan jalan setelah melakukan banyak kesilapan demi kesilapan. Apa antara kesilapan yang peniaga suka lakukan dalam online marketing? Jom baca Kesilapan Dalam Pemasaran Elektronik.

1. Deskripsi Produk yang Lemah dan Tidak Menyeluruh

Konsep pemasaran dalam perniagaan secara elektronik amat berbeza kerana semua maklumat yang ingin dikomunikasikan oleh peniaga kepada pelanggan harus dinyatakan mengikut kehendak pelanggan. Pemasaran membantu pelanggan dalam membuat keputusan yang memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan. Keterangan produk atau perkhidmatan sekurang–kurangnya hendaklah mengandungi perkara–perkara seperti berikut:

  •  Saiz barangan (kepelbagaian saiz dan mengikut ukuran)
  •  Berat
  •  Kepelbagaian warna
  •  Bahan yang digunakan
  •  Cara pengendalian
  •  Harga

2. Maklumat ‘Hubungi Kami’ (Contact Us) Tidak Dikemas Kini

Maklumat ini penting dan tujuan utamanya adalah untuk membantu pelanggan memperoleh maklumat tambahan yang diperlukan. Maklumat ‘Hubungi Kami’ ini sering dipandang ringan oleh sesetengah perniagaan. Kadangkala, maklumat perniagaan hanya diletakkan di laman utama (first page) dan ini menyukarkan pelanggan untuk memperoleh maklumat tersebut dan boleh mengecewakan mereka.

Antara kesilapan lain adalah:

  • Maklumat tidak lengkap
  • Maklumat yang tidak dikemaskinikan
  • Tiada nombor sambungan terus kepada individu yang bertanggungjawab (Responsible Person)
  • E-mel dan telefon yang tidak berbalas

3. Tiada Halaman Penyataan Polisi Perniagaan

Kebanyakan perniagaan atau syarikat dalam talian tidak banyak menitikberatkan kepentingan penyataan dasar dan polisi perniagaan (policy page). Ia termasuklah terma perjanjian perkhidmatan dan sekiranya ada, penyataan tersebut tidak dinyatakan dalam bahasa yang mudah untuk difahami. Terma perjanjian ini penting dalam menyalurkan maklumat seperti pertaruhan wang semula, pertukaran barangan, dan sebagainya. Halaman dasar dan polisi adalah sama penting sebagai maklumat perkenalan dan perjanjian secara bertulis antara pembeli dan syarikat.

4. Amalan Perniagaan Secara Konvensional (Old-Timer Customer) Diabaikan.

Apabila perniagaan anda dijalankan secara dalam talian atau secara elektronik, pakar–pakar pemasaran memberi idea bahawa golongan yang patut dijadikan sasaran adalah golongan remaja dan muda antara umur 20 hingga 45 tahun. Walau bagaimanapun, golongan yang berumur 45 tahun dan ke atas tidak seharusnya dilupakan. Aktiviti pemasaran melalui elektronik seharusnya merangkumi semua aspek demografi pelanggan. Ini kerana, pemasaran atau perniagaan melalui Internet sinonim dengan perniagaan tanpa batasan had umur, jantina, pekerjaan, lokasi dan sebagainya.

5. Laman Media Sosial Tidak Berfungsi Sebagai Medium Pemasaran Sosial

Pemasaran melalui media sosial berfokuskan kepada usaha untuk mewujudkan kandungan yang menarik perhatian, pencetusan moment yang boleh menjemput bakal pelanggan atau pengikut sedia ada untuk turut sama memberi komen dan sebagainya. Aktiviti komunikasi melalui media sosial ini terhasil melalui apa yang diingini oleh para pemasar iaitu cetusan perbualan mulut ke mulut melalui elektronik (Elektronic Word Of Mouth).

Antara kesilapan biasa yang sering dilakukan oleh syarikat–syarikat yang menggunakan Facebook dan lain-lain media sosial elektronik adalah seperti berikut:

  • Fokus pemasar adalah untuk menjual (overselling) sahaja
  • Tidak menggunakan visual
  • Terlalu banyak muat turun status di laman sosial
  • Mengabaikan komen/tweet
  • Mengasingkan pemasaran media sosial daripada medium elektronik lain

6. Penggunaan Ayat dan Promosi Pengiklanan yang Berlebihan

Aktiviti pemasaran menjangkaui aktiviti jual dan beli. Ia melihat dari aspek yang besar iaitu bagaimana anda boleh mewujudkan atau menanam satu perasaan baik dalam kalangan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Tetapi, sekiranya anda berlebihan dalam mengiklankan kelebihan dan keunikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, ia akan memberi satu pandangan atau tanggapan yang kurang baik. Pastikan kempen pemasaran adalah benar.

“Good content isn’t about good storytelling. It’s about telling the true story…” – Ann Handley

7. Mempromosikan Produk dan Perkhidmatan Sebelum Bersedia

Pepatah melayu ada menyatakan sediakan payung sebelum hujan atau bersedia sebelum berperang. Di Malaysia, hak pengguna yang membuat pembelian dalam talian adalah dilindungi di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan di bawah Peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012. Kegagalan dalam pelaksanaan perkhidmatan membolehkan pelanggan memfailkan kes di bawah Peraturan–Peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Dalam zaman teknologi yang canggih, kita sebagai usahawan juga semestinya bijak. Bijak mencari peluang, bijak rebut peluang dan bijak menggunakan kemudahan yang ada dalam terus memajukan perniagaan.

Kegagalan sesebuah perniagaan dalam menggunakan medium eletronik ini sebagai satu medium pemasaran dengan baik akan memulangkan kos yang lebih besar kepada perniagaan. Kos yang diberi penekanan dalam aspek pemasaran ialah kos kehilangan prospek pelanggan, kos kehilangan kredibiliti perniagaan untuk meneruskan perniagaan secara dalam talian, kos kehilangan imej perniagaan pada masa hadapan, kos kehilangan pelanggan tetap mahupun sedia ada, kos kehilangan pembekal dan akhirnya kos dari aspek kewangan.

Jadi, elakkan dari buat kesilapan ini jika anda tidak mahu gigit jari.

Artikel terbaru

Leave a Reply