Bahang Hari Raya semakin dirasai. Anda rasa kita bakal menyambut Aidilfitri pada 20 atau 21 April?
Tak kisahlah hari apa pun kita menyambut Aidifitri, yang lebih penting adalah bagaimana kita menyambut kedatangan hari yang mulia itu.
Apa yang kita pakai juga sangat penting untuk keselesaan diri. Terutama kepada kaum hawa yang perlu berperang di dapur pagi Syawal.
Kaum Adam pun apa kurangnya, nak kena bantu cuci periuk belanga. Jangan semua nak lepaskan pada orang perempuan tau!
Jika masih belum beli baju raya, belum terlambat untuk anda dapatkan sebelum hari raya. Zaman sekarang macam-macam fesyen baju raya ada di pasaran, hanya menunggu untuk dipilih.
Tak tahu nak pilih baju raya yang sesuai? Kembalilah kepada tradisional. Berikut adalah baju raya yang masih menjadi pilihan ramai walaupun sudah berusia ratusan tahun.
Baju Kurung Teluk Belanga
Di era yang ada pelbagai jenis rekaan pakaian kini, baju kurung ini juga dikenali sebagai baju kurung biasa.
Bukan sebab biasa-biasa, tetapi kerana baju kurung Teluk Belanga adalah baju kurung yang paling asas dan mudah didapati di mana sahaja.
Baju kurung Teluk Belanga dijahit dengan berpesak dan berkekek dan labuhnya sehingga ke paras lutut.
Berleher bulat dan mempunyai sedikit belahan di bahagian hadapan dengan dihiasi dengan jahitan tulang belut atau mata lalat dan sebutir butang yang menawan. Dipadankan pula dengan kain susun tepi.
Dahulu, baju kurung Teluk Belanga turut digayakan dengan selendang labuh jenis kain net atau chiffon yang dipakai di atas bahu sekaligus menambahkan seri dan keayuan si pemakai.
Baju Kurung Pahang
Selain baju kurung Teluk Belanga, baju kurung Pahang juga selalu menjadi pilihan wanita yang inginkan gaya ringkas di pagi hari raya.
Rekaan baju kurung Pahang ini dikatakan hasil gabungan kebaya labuh dan baju kurung Teluk Belanga kerana mempunyai pesak kembang dijahit cantum bersama kekek gantung.
Lehernya pula berbentuk teluk belanga atau cekak musang digayakan dengan kain selisih hadapan atau kain susun tepi.
Baju Kurung Kedah
Dipercayai berasal dari Selatan Thailand kerana baju tersebut menyerupai blaus pendek sehingga ke paras punggung di sana.
Rekaan baju kurung Kedah adalah longgar dan dipadankan bersama kain sarung lipat hadapan.
Biasanya baju kurung Kedah diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil serta potongan leher Teluk Belanga.
Dahulu baju kurung Kedah biasa dipakai sebagai pakaian harian atau basahan. Kalau anda perasan, nenek dan mak kita dahulu sangat suka gayakan baju kurung Kedah di rumah.
Baju Kebaya
Baju kebaya seksi, tak sesuai dipakai! Siapa kata? Baju Kebaya ada pelbagai jenis. Untuk menjaga aurat seorang perempuan, anda boleh pilih baju kebaya dengan potongan longgar.
Baju kebaya adalah pakaian tradisional di Jawa Indonesia dan tersebar luas ke Malaysia, Singapura dan Brunei.
Pada awalnya, kebaya diperbuat daripada kain kasa dan dipasangkan dengan kain sarung, batik atau kain songket dengan pelbagai corak dan warna.
Kebaya kini lebih moden dan boleh digayakan dengan seluar.
Baju Melayu Cekak Musang
Baju ini dijahit daripada fabrik kapas atau satin dan didatangkan pakej bersama seluar panjang.
Lengkap dengan 3 poket di bahagian baju, pakaian ini perlu dipadankan dengan samping songket bersama songkok.
Terserlah ketampanan orang yang memakainya. Baju Melayu Cekak Musang biasa digayakan di dalam majlis formal dan sambutan hari raya.
Baju Melayu Teluk Belanga
Baju Melayu Teluk Belanga telah diperkenalkan di Teluk Belanga, Singapura semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.
Almarhum menetapkan supaya orang lelaki memakai baju labuh sehingga ke bawah punggung dengan potongan leher seperti baju kurung dan disulam mata lalat, tulang belut atau insang pari.
Jika Baju Melayu Cekak Musang mempunyai 3 poket, Baju Melayu Teluk Belanga pula pada awalnya hanya mempunyai 2 poket.
Namun kemudian baju ini ditambah 1 lagi poket. Baju Melayu Teluk Belanga juga dipadankan dengan samping dan songkok.
Sesuai digayakan ke tempat kerja
Yang mana satu selalu menjadi pilihan anda untuk menyambut Aidilfitri?
Apa yang lebih penting, baju-baju tradisional ini adalah pakaian yang tepat untuk anda gayakan ke pejabat jika tak tahu nak pakai baju apa.
Malah, baju tradisional juga sangat sesuian untuk digayakan di majlis formal serta majlis ilmu lainnya. Lama bukan sebarang lama, lama pilihan orang dulu kini dan selamanya.
Anda semua boleh memilih gayakan baju-baju tradisional untuk sertai program RichWorks yang akan datang.