6 Sebab Staf Lari Tinggalkan Anda!

6 Sebab Staf Lari Tinggalkan Anda!

Minggu lepas baru je ambil staf baru, hari ni dah hantar surat berhenti. Dengarnya, ada lagi staf yang nak letak jawatan. Ini bukan kali pertama, tapi hampir setiap bulan ada je staf yang nak berhenti.

Dalam pasaran kerja yang kompetitif hari ini, kekalkan staf sangat penting untuk sama-sama membawa perniagaan ke peringkat kejayaan. Kalau staf pun tak boleh nak kekalkan, macam mana pula nak handle perkara-perkara yang lain?

Banyak perniagaan hari ini, hadapi cabaran untuk mengekalkan staf mereka untuk jangka masa panjang. Kalau staf memang bermasalah, mudahlah nak lepaskan. Tapi bila berhadapan dengan staf yang cemerlang, rasa sakit bila nak kena tinggal ni.

Kenapa staf tak kekal?

1. Gaji dan faedah yang rendah 

Kita bekerja kerana duit dan bekerja keras untuk dapat duit lebih. Tipulah jika nak kata kita sanggup bekerja sukarela setiap masa. Mungkin ada segelintir yang bekerja untuk mengisi masa lapang, amal jariah atau sebagainya. Namun majoritinya adalah kerana duit.

Jika staf merasakan mereka tidak dibayar secara adil atau setimpal dengan tugasan yang diberikan, mereka lebih berkemungkinan akan mula mencari tempat lain yang lebih baik. Ini bukan tentang gaji sahaja, malah faedah-faedah lain seperti elaun, bayaran kerja lebih masa, cuti, bonus dan sebagainya.

2. Peluang kerja yang lebih tinggi

Kerja bertahun-tahun, tapi masih duduk di tahap yang sama. Jika tak ada peluang untuk memajukan diri dalam organisasi sekarang, lebih baik cari peluang di tempat lain yang boleh berikan peluang kerjaya yang lebih tinggi.

3. Kerja! Kerja! Kerja!

Sangat penting bagi setiap orang untuk mempunyai keseimbangan hidup serta kerja yang sihat. Kerja untuk hidup dan bukan hidup untuk kerja. Kalau kena kerja lebih masa tu tak ada masalah.

Ini siang malam pagi petang kena bekerja sampai nak makan pun kena curi-curi masa. Nak mohon cuti apatah lagi, dah bergaduh baru dapat. Itu pun kalau bernasib baik.

Akhirnya mereka akan penat dan mula mencari peluang yang baru di tempat lain. Siapa yang rugi?

Jika tak boleh nak berikan 100% keseimbangan, sekurang-kurangnya kurangkanlah bebanan staf anda. Tambah pekerja sesuai dengan tugasan yang ada. Pastikan mereka diberi bayaran yang setimpal!

4. Persekitaran kerja yang toksik

Tak ada siapa yang nak bekerja di tempat yang mereka rasa tidak dihormati, dibuli atau diganggu serta tak diberi kebebasan untuk berkarya serta bersuara. Bahasa yang lebih mudah, persekitaran kerja yang toksik. 

5. Rasa tidak dihargai

Siapa yang tak suka dihargai? Walaupun tidak berharap untuk diberi penghargaan, namun jauh di sudut hati pasti nak layanan yang sedikit istimewa bila dapat pencapaian yang membanggakan syarikat. Asyik dengar rakan-rakan dari syarikat lain dapat, tapi staf kita hanya mampu tengok dan dengar je tanpa dapat merasa.

6. Dah mula rasa bosan

Staf dah mula rasa bosan dengan kerja hakiki.  Asyik buat kerja sama je tanpa apa-apa peningkatan. Anda boleh pertimbangkan untuk menyediakan peluang kepada staf untuk mempelajari kemahiran dan menghadapi cabaran baharu.

Dengan menangani isu biasa ini, syarikat boleh mewujudkan persekitaran kerja di mana staf berasa penting, disokong serta dihargai. Ini akan membantu mengurangkan risiko staf berhenti. 

Cara kurangkan risiko staf berhenti

1. Luangkan masa dengan staf

Bercakap dengan staf anda dengan lebih kerap mengenai perkara yang mereka suka dan tidak suka tentang pekerjaan mereka. Ini akan membantu anda mengenal pasti sebarang masalah yang perlu ditambah baik sebelum menjadi lebih parah.

2. Tawarkan ganjaran yang kompetitif

Pastikan membayar staf anda secara adil dan menawarkan pakej faedah yang baik kepada mereka. Apalah sangat keluarkah modal untuk beri ganjaran kepada staf yang cemerlang jika nak dibandingkan dengan perlu kerap merekrut staf yang baru. Jangan risau, anda tak akan miskin dengan memberi di tempat yang betul.

Anda juga boleh berikan ganjaran dalam bentuk lisan seperti puji-pujian dan juga nasihat yang berguna kepada mereka.

3. Cipta persekitaran kerja yang seronok dan menarik 

Cari cara untuk menjadikan kerja lebih menyeronokkan untuk pekerja anda. Ini boleh termasuk seperti aktiviti team building, acara sosial atau mungkin dengan menyediakan ruang pejabat yang cantik dan selesa.

Sebagai majikan, anda perlu fikir apa yang menguntungkan atau merugikan syarikat di bawah naungan anda. Dengan mengambil langkah untuk menangani isu ini, anda boleh mencipta suasana kerja di mana staf ingin bersama-sama menaikkan jenama syarikat anda.

Artikel terbaru

Leave a Reply