Bila tiba bulan Ramadan, pasti kita dapat melihat banyak jenama dan jenis kurma popular yang dijual di pasaraya. Jenama yang tak pernah dengar pun ada. Bukan satu, tapi banyak.
Bulan-bulan biasa pun ada juga, cuma tidak meriah seperti di bulan Ramadan di mana anda boleh berjumpa buah kurma di mana-mana sahaja.
Buah kurma merupakan makanan sunnah yang sangat popular dimakan ketika berbuka puasa untuk mengembalikan tenaga yang hilang setelah seharian berpuasa.
Zaman sekarang, buah kurma bukan hanya dimakan ketika bulan Ramadan sahaja, malah dah menjadi seperti makanan harian.
Budak kecil pun ramai yang sudah menggemari buah kurma jika nak dibandingkan dengan zaman dahulu.
Bukan sekadar dimakan begitu sahaja, malah ada buah kurma yang dijadikan sebagai masakan, jus, perasa makanan serta dijadikan sebagai ‘topping’ pemanis mulut.
Mempunyai mineral, serat dan vitamin yang bermanfaat bagi kesihatan, buah kurma dipercayai mampu mengekalkan kecerdasan minda, mengekalkan kesihatan jantung, melancarkan proses pencernaan serta banyak lagi khasiat lainnya.
Antara beberapa jenis kurma yang yang popular dan amat digemari di Malaysia.
1. Kurma Ajwa
Kurma Ajwa adalah kurma kesukaan Nabi Muhammad SAW dan merupakan salah satu jenis kurma yang ditanam di Madinah, Arab Saudi. Kurma jenis ini berwarna hitam, bersaiz kecil dan sangat manis.
Ada beberapa hadis menyebut tentang Kurma Ajwa. Salah satu daripadanya adalah daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang memakan 7 biji kurma Ajwa pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Walaupun kurma Ajwa antara kurma yang mahal, namun senantiasa mendapat permintaan yang sangat tinggi.
2. Kurma Mazafati
Kurma yang juga dikenali sebagai kurma Bam ini adalah salah satu daripada pelbagai jenis kurma di Iran.
Kurma Mazafati sangat terkenal dan dijangka menyumbang kepada 20% daripada jumlah eksport kurma di Iran.
Ia mempunyai rasa yang unik dan dianggap salah satu buah kurma yang paling sedap.
3. Kurma Mariami
Siapa suka makan jenis kurma yang kering, tapi tidak terlalu kering?
Anda pasti sukakan kurma Mariami kerana kurma ini dikatakan sebagai salah satu jenis kurma semi-kering yang paling lazat di dunia.
Kurma Mariami juga dikenali sebagai ‘kurma coklat’.
4. Kurma Medjool
Kurma yang berasal dari Timur Tengah dan Afrika Utara serta bersaiz besar ini mempunyai rasa yang manis walaupun bertekstur kering.
Kaya dengan mineral penting menjadikan kurma Medjool sebagai alternatif yang lebih sihat sebagai pencuci mulut.
5. Kurma Deglet Noor
Dalam bahasa Arab, Kurma Deglet Noor yang berasal dari Algeria ini membawa maksud ‘ratu kurma’.
Ia adalah jenis kurma yang bertangkai dan negara asal kurma ini menjadi pengeluar terbesar kurma Deglet Noor di dunia.
Selain Algeria, ia juga banyak ditanam di Arab Saudi, Tunisia, Amerika Syarikat serta banyak negara-negara Mediteranean lain seperti Iran.
6. Kurma Safawi
Selain kurma Mariami, kurma Safawi juga merupakan jenis kurma semi kering.
Kurma jenis ini berwarna hitam, bersaiz sederhana dan panjang. Rasanya mirip kurma Ajwa.
Jika dibandingkan dengan jenis kurma yang lain, kurma Safawi lebih mudah untuk didapati sepanjang tahun.
Kurma jenis ini juga mempunyai permintaan yang tinggi kerana rasanya yang sedap dan banyak manfaat untuk kesihatan. Sebahagian besar kurma ini ditanam di Madinah.
Kurma di negara pengeluar
Selain daripada 6 jenis kurma ini, pakar makanan mendakwa terdapat kira-kira 3,000 jenis buah kurma di negara-negara pengeluar.
Inilah antara jenis-jenis kurma yang sangat dikenali di Malaysia. Kurma yang mana pilihan anda?
3 Comments
SAYA SUKA KURMA MARIAMI..
Terima kasih atas infor tentang kurma. saya makan aje asalkan kurma🤗.
Saya suka kurma