Banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar hanya beberapa tahun selepas dimulakan. Lebih buruk, ada perniagaan yang terpaksa ditutup hanya setelah beberapa bulan beroperasi.
Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan dalam dunia perniagaan. Bisnes tutup kebanyakannya kerana kesilapan peniaga sendiri. Mungkin ini sukar diterima oleh segelintir, tapi apa kata kita cuba berlapang dada dan cari ilmu untuk membinanya kembali.
6 jangan dalam bisnes, yang perlu usahawan ambil ambil perhatian :
- Jangan mudah lupa.
Sekiranya anda baru mula berniaga, elakkan dari bermula dengan megah. Walaupun anda sudah mempunyai pelanggan yang tetap dan ingin memperluaskan pasaran perniagaan dengan membuka kedai, tak salah jika mengamalkan sikap rendah hati.
Jangan sombong dalam berniaga. Itu asas dalam agama juga. Sebesar mana pun perniagaan anda, Allah jugalah yang menggerakkan hati pelanggan untuk berurusan bersama anda.
- Jangan berniaga suka-suka.
Ada orang berniaga hanya untuk suka-suka, dan ikut kawan. Berniaga perlu ada matlamat. Matlamat kena besar dan jelas.
Tanya diri sendiri, kenapa sebenarnya anda nak berniaga? Apa yang anda mahu capai dari berniaga? Apa yang anda nak perbaiki dengan berniaga? Dengan siapa anda nak raikan kejayaan anda? Jasa siapa yang anda mahu balas bila anda berjaya dalam perniagaan?
Cuba jawab soalan ini sekarang, dan tetapkan matlamat berapa besar kejayaan yang anda mahu hasil dari perniagaan anda ini nanti dan bila anda mahu mencapainya.
- Jangan malas.
Satu kerugian yang amat sangat sekiranya anda menjalankan perniagaan, tetapi anda tidak sanggup bekerja keras untuk perniagaan tersebut.
Sebagai usahawan, anda seharusnya perlu menjadi seorang yang berdisiplin dan bermotivasi tinggi supaya anda mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
- Jangan ambil mudah.
Jangan ambil jalan mudah dalam perniagaan, kerana tiada kejayaan yang datang bergolek. Apabila memulakan perniagaan, anda kena sedar banyak halangan yang akan anda hadapi.
Menggunakan jalan singkat sebenarnya lebih sukar dan berbahaya berbanding dengan jalan jauh yang sebenarnya lebih selamat. Terus berusaha dan buat tindakan sampai habis.
- Jangan main redah.
Dalam perniagaan anda perlu ada pelan pemasaran dan penjualan. Pertama, anda perlu mengenalpasti pelanggan serta pasaran terlebih dahulu.
Kedua, pelan untuk mengukur kemajuan serta perkembangan perniagaan anda. Anda memerlukan pelan yang realistik untuk melihat dari mana, bagaimana, bila dan siapa yang membawa masuk jualan.
Jangan berniaga sambil tutup mata dan main redah sahaja.
- Jangan benci teknologi.
Tidak kira sekecil atau sebesar mana perniagaan anda, gunakanlah setiap kemudahan yang ada. Sekiranya anda mempunyai syarikat yang besar, cipta laman web yang boleh dirujuk oleh pelanggan anda.
Manakala, jika anda mempunyai perniagaan yang kecil seperti perniagaan butik, gunakan blog atau Facebook sebagai perhubungan anda dan pelanggan.